Tuesday, 27 December 2011

CINTA KFC 4- KAWAN....FIANCEE.....COUPLE...


BAB 4

Seawal 7.15 pagi aku dan Diana sudah sampai ke LKL Sdn. Bhd. Kerja aku dan Diana membuat order dan memastikan order sampai tepat pada masanya.  Aku memeriksa kerja-kerja yang tidak beres, manalah tau kot-kot masih  ada yang aku terlupa order alamatnya mengamuk bos kami.

Sedang asyik berbincang mengenai projek yang akan datang bersama teman sepejabat, Kami semua diarahkan masuk ke dalam bilik mesyuarat oleh bos kami iaitu Mr. Leong. Aku, Diana, Danial, Halim, Mr. Tee, Izad, Kak Siti, Miss. Jenny dan Azrul duduk di kerusi masing-masing. Mata kami tertumpu kepada Mr. Leong. Aku yang duduk di sebelah Diana, menyepak-nyepak kaki Diana rasa macam tidak sabar hendak mendengarnya.  Jarang kami dipanggil oleh Mr. Leong untuk berkumpul begini.

Biasanya kalau Mr. Leong panggil antara dua martabat, sama ada dapat pujian atau dapat maki. Mulut Mr. Leong memang boleh tahan juga walaupun  pelat-pelat cina apabila berbahasa  melayu tetapi amat menyakitkan hati apabila  memaki.

Kak Siti Incharge bengkel, pernah dimakinya kerana tersalah mengukur alumunium untuk membuat signboard tunjuk arah. Seminggu Kak Siti menghilangkan diri sedih sangat katanya. Semasa ketiadaan Kak Siti, kerja-kerja di bengkel banyak yang tertangguh kerana bab membuat signboard, chevron, bridge panel, temporary signboard hanya Kak Siti seorang sahaja yang pro. Puas Mr. Leong pujuk Kak Siti untuk bekerja semula sehingga terpaksa menaikkan gaji Kak siti untuk mengambil hati. Padan muka Mr. Leong!

Danial dan Halim sales marketing syarikat ini,  mereka akan pergi ke mana-mana pejabat JKR di semenanjung untuk memperkenal syarikat kami dan produk-produk yang kami jual. Biasanya mereka inilah yang akan mencari projek untuk syarikat ini.Mereka berdua sangat pemurah selalu membelikan makanan untuk kami, jika mereka tidak ke luar daerah perut kami sentiasa kenyang semasa di pejabat.

Mr. Tee dan Izad adalah Incharge di tapak projek, segala kerja dan masalah di tapak projek mereka akan selesaikan. Mr. Tee berumur lingkungan 40-an ramah dan baik hati tetapi takut isteri. Isteri Mr. Tee sangat cemburu jika dia berbual-bual dengan orang perempuan lain. Sama spesis dengan Diana, boleh tubuhkan kelab cemburu ni.

Miss Jenny pula kerani akaun. Dia seorang yang pendiam tapi baik hati. Umur dia sebaya dengan aku. Azrul P.A merangkap pemandu kepada Mr. Leong. Azrul seorang lelaki yang boleh tahan handsomenya tapi playboy sentiasa bertukar-tukar girlfriend. Bagusnya Azrul ni dia boleh beramah mesra dengan sesiapa sahaja.

Mr. Leong mula sudah mula berucap. Dia mengucapkan terima kasih kerana  kami telah berusaha sedaya upaya kami untuk memajukan syarikat ini. Dia juga sangat berpuas hati dengan kerjasama yang kami berikan kepada syarikat ini. Usaha gigih kami sangat dihargainya. Menurutnya keuntungan syarikat telah melebihi sasaran, Jadi sebagai ganjarannya syarikat akan memberikan bonus kepada semua pekerja tetap sebanyak dua bulan gaji. Kami semua gembira mendengar berita tersebut serta bertepuk tangan  dan mengucapkan terima kasih kepada bos kami.

************
Aku terima sms dari Ezran semasa waktu rehat pukul 1.00 tengahari tadi. Dia menyuruh aku menyediakan makan malam mengikut menu yang dia beri. Dia kata aku boleh datang ke rumahnya selepas waktu kerja kerana tidak mahu kerja aku terganggu. Ezran  juga memberitahu aku bahawa tidak perlu bimbang kerana dia tidak ada di rumah. Seseorang sudah ada menunggu kedatangan aku di rumahnya.

Semua barang-barang keperluan untuk makan malam sudah pun aku beli bersama Diana di Pasaraya waktu rehat selepas menerima sms darinya. Aku mengajak Diana menemani aku memasak di sana,  Dia menolak kerana Khai hendak berjumpa untuk berbincang mengenai majlis perkahwinan mereka.

“Lain kalilah aku teman kau..hari ni aku betul-betul tak dapat tolong kau.  Kau baca sms yang Khai hantar.” Diana menghulurkan handphonenya kepada ku. Aku membaca sms yang dihantar oleh Khai. Aku tersengih macam kerang busuk.

“Amboi ayat….semenjak dah jadi tunang ni…romantik giler…”

“Hrmm..kau bukan tak tahu Khai tu macam mana..aku lambat sikit mulalah membebel macam mak nenek.”

“Biasalah..tu namanya sayang..”

Aku meminta Diana menghantar aku ke rumah Ezran mengikut alamat yang diberi. Diana membaca alamat yang dihantar oleh Ezran kehandphone aku.

“Eh! Rumah budak ni dekat sangat dengan perumahan kita..sebelah je…kita berkongsi taman tempat kau selalu jogging tu..tapi kawasan perumahan dia ni untuk orang golongan elit rasanya...” beritahu  Diana.

“Lantak dialah elit ke..selit ke....janji dekat..boleh jalan kaki je kan?…..kalau macam tu kita balik rumah dululah…aku nak salin baju.”

Diana terus membelok menghala ke rumah kami. Sampai di rumah aku terus menyalin pakaian, aku mengenakan track dan t-shirt barulah selesa hendak buat kerja. Diana menyuruh aku memandu keretanya ke rumah Ezran, tapi aku lebih suka menapak lagipun bukannya jauh sangat rumahnya.

Makcik Yah yang dari tadi duduk di luar sedang mencabut anak-anak rumput yang tumbuh di dalam pasu bunga melemparkan senyuman. Suaminya Pakcik Harun hanya berkain pelikat duduk di atas kerusi malas sambil membaca buku.

“Ros nak pergi mana..banyaknya barang..”Tanya Makcik Yah hairan. Biasanya dia nampak aku menjinjit barang masuk ke rumah, tapi kali ni aku jinjit barang ke luar rumah.

“Nak ke rumah kawan kat perumahan sebelah….. dia minta tolong masak-masak sikit.” Kataku yang serba salah. Minta-minta janganlah ditanya kawan aku tu perempuan ke lelaki.

“Ha ye lah..hati-hati..anjing banyak petang-petang macam ni…”Pesan Makcik Yah yang sudah maklum betapa alahnya aku dengan haiwan ni.

“Yelah makcik..tima kasih..Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam….jalan elok-elok.” pesan Makcik Yah lagi.

Lebih kurang lima belas minit berjalan melalui jalan short-cut aku sampai ke rumah Ezran. betullah rumah dia di belakang taman tempat aku selalu jogging. Patutlah dia kata sudah lama dia perhatikan aku..dia intai aku dari rumah rupanya. Aku tahu memang taman itu dikongsi untuk tiga kawasan perumahan di sini. Tapi aku tidak tahu pula yang Ezran duduk di sini dan aku berkongsi taman yang sama. Hrmm..suratan atau kebetulan?

Mengikut alamat yang diberi, aku telah sampai betul-betul di hadapan rumah Ezran. Memang betul kata Diana memang kawasan ini untuk golongan elit. Rumah dua tingkat yang besar tersergam indah. Aku juga nampak ada landskap taman bunga, banyak bunga-bunga orkid, dan siap ada air terjun mini dalam kawasan rumah Ezran. paling aku pasti ini adalah rumah Ezran, kereta Mitsubishi Lancer merahnya ada di depan rumah.

Dari luar kelihatan seorang perempuan tua lingkungan umur awal 50-an duduk di buaian di dalam taman. Inilah orang yang tunggu aku agaknya. Getus hatiku.

“Assalamualaikum…Makcik.” Kataku sambil menghulur tangan untuk bersalam. Barang yang dijinjit ditangan aku letakkan ke bawah.

“Waalaikumsalam…” Tangan ku disambut. Aku tersenyum kepada makcik itu tapi makcik ini macam orang seberang. Mak Ezran orang seberang rupanya. Kataku dalam hati.

“Makcik ini rumah Ezran ke?” Tanya aku.

“Iya..iya...anak ini Ibu Ros ya? Saya pembantu rumah ini. ”jelasnya. Barang yang  aku letak diambilnya.

“Ya saya..tak usah panggil saya ibu makcik…panggil Ros je…” aku mengambil semula barang yang ada ditangannya.

“Ngak bisa Bu…Pak Ezran udah pesan disuruh memanggil Ibu. Panggil saya bibik aja”

“Tak pelah makcik..eh bibik..saya tak kisah…”

Bibik menarik tangan aku diajak masuk ke dalam rumah. Melangkah masuk ke rumah Ezran terpegun aku melihat rumahnya cantik, perabot dan perhiasan semuanya teratur,  kemas sekali. terpandang satu lukisan di dinding..cantik..kataku dalam hati.

“Lukisan itu bapak sendiri yang melukisnya bu…” Beritahu bibik. Aku menoleh rupanya bibik ada disebelah aku.

Aku terus ke dapur untuk memasak. Bibik membantu aku menyediakan bahan-bahan. Kami berbual mengenai tuan rumah ini. Puas aku mengorek rahsia dari bibik untuk mengetahui Ezran bekerja sebagai apa sebenarnya. Bibik memberitahu dia juga tidak tahu pekerjaan dan tempat kerja majikannya itu.

“Kira-kira bibik lagi teruk dari sayalah..langsung tak tahu Ezran kerja apa…” kataku ketawa sambil menumis bahan untuk ayam masak kurma.

“Iya…bibik gak tahu..mahu ketemu bapak Ezran juga susah walaupun satu rumah..”

“Dia jarang-jarang pulang ke rumah?”

“Tidak menentu gitu…macam biskut…sebentar ada sebentar ngak..hehehe” Bibik ketawa.

Aku meminta bibik membantu aku menyediakan bahan-bahan untuk membuat acar buah. Banyak songeh betullah si Ezran ni. Pembantu rumah ada tapi kenapa hendak suruh aku pula yang masak.Lupa seketika, ini semua kontrak beg punya pasal. Nasib baik betting masa dalam hujan renyai selamat.

“Ok.. bibik sekarang ni kita tunggu ayam empuk dan kuah dia pekat sikit..rasa semuanya dah okey..bagi saya..cuba bibik pulak yang rasa.”

“Tak perlu…baunya aja sudah harum…bibik tau pasti sedap. Untung ya bapak Ezran punya pacar seperti Ibu.”

“Belum pacar-pacar lagi Bik..kawan je.”

“Masa…Bibik ngak percaya ah…liat saja sudah masak-masak segala…”

“Bibik..saya pun tak nak masak-masak macam ni..bak kata pepatah orang tua terlajak perahu bisa ku undur..terlajak kata buruk padahnya…bibik tengok sekarang ni saya sudah terima padah la ni….padah yang lain saya belum tahu lagi apa akan jadi…”kataku sambil mencebik bibir.

Ayam masak kurma sudah pun masak, sekarang masa untuk aku memasak acar buah. Semua bahan-bahan untuk acar buah sudah siap.

“Now…masa untuk goreng cili…bibik…hari ini saya nak buat acar buah yang paling pedas di abad ini…secara tidak sengaja saya akan cilikan mulut majikan bibik...iaitu Bapak Ezran…” kataku sambil menggayakan seperti di atas pentas teater.

“Kok gitu….kenapa mulutnya…bikin sakit hati?”

“Kalau bibik nak tahu..mulut majikan bibik tu tak de cop sirim….suka-suka dia je nak cakap apa…dibilangnya saya ini tunangannya…malu lah saya bik….bila masa pulak saya bertunang dengan dia.”

“Ibu…bibik udah kenal lama sama bapak Ezran…dulu masa bapak Ezran masih kuliah, bibik kerja dirumah ibunya…sekarang bibik kerja pula di rumah ini…setahu bibik, bapak tidak punya pacar selain Ibu Ros…bapak ngak pernah bawa perempuan ke rumah…benar ni.”

“Bik…Bapak Ezran bagi rasuah suruh bibik puji dia depan saya ye…Bik kalau dia ada pacar takkan dia nak bagi tau Bibik.”

“Ya ampun Ibu…ngak..yang benar nih..kok dibilangnya bibik lagi dikorupsi..” Jujur je muka bibik.

“Bibik ni..saya gurau je..jangan ambil hati….elok bibik tolong saya hidang apa yang patut..kejap lagi masaklah acar buah ni…biar saya cuci pinggan mangkuk..”

Laju tangan aku mencuci pinggan mangkuk sekaligus aku membersihkan dapur yang sudah berselerak. Semuanya aku letakkan ditempat yang aku ambil tadi. Barulah nampak kemas dan cantik seperti mula-mula aku melangkah ke dapur.

Bibik pula menghidangkan makanan untuk Ezran. Dia melarang aku membantunya disuruhnya aku duduk di sofa ruang tamu. aku hanya mengikut arahan bibik. Terasa macam tidak sedap badan. Kemungkinan aku penat sangat hari ini. Aku menghempaskan badan ke sofa..Ya Allah lega betul dapat duduk rasa macam hendak sangat  berbaring, sofa ni pulak empuknya kalaulah dapat letak kepala gerenti tidur.
******************
“Ibu..Ibu….” Terdengar suara bibik memanggil nama ku.

“Astagfirullah hal adzim…bibik..sekarang ni pukul berapa? Kenapa bibik tak kejut saya tadi.” Aku tertidur di sofa patutlah lena sangat aku tidur.

“9.30 malam bu… saya kasihan melihat muka ibu..capek bangat..Pak Ezran yang ngak mau saya mengejutkan Ibu.”

“Tak pe lah bik..mmm..bik ada panadol tak? Saya rasa macam nak demam pulak.” Tanya ku sambil memicit-micit kepala.

“Ada bu..ada…bentar..” Bibik menuju ke dapur mengambil panadol.

Ezran melangkah menuruni anak tangga. Dia hanya berbaju melayu dan berkain pelikat seperti baru selesai solat. Dia duduk di sofa bersamaku. Dia memandang muka aku dengan tanda tanya.

“Kenapa lemah je ni?” Tegur Ezran.

“Tak selesa badan……” balas ku.

Bibik datang membawa segelas air dan dua biji panadol. Aku menyambut air dan panadol yang diberikan Bibik.

“Sampai makan panadol ni…kalau macam ni jom pergi kliniklah…”

“Tak payah..nanti lepas makan panadol ..oklah ni..” aku menolak pelawaan  Ezran.

“Bapak…makanan sudah sedia ni.....ayuh makan..” Panggil Bibik.

“Jom makan….”

“Tima kasih jelah..saya nak balik dah ni…dah malam pun..”

“Jangan balik lagi…nanti lepas makan saya hantar awak balik…..kali ni tolong dengar cakap saya..kali ni je…” Rayu Ezran.

Oleh kerana badan aku yang rasa macam tidak berapa sihat aku dengar cakap Ezran. Lagi pula bila sudah malam macam ini aku pun takut juga hendak berjalan balik seorang diri. Ezran pula berkeras mengajak aku menemaninya makan. Aku  mengikutnya kemeja makan, bukannya kerja susah hanya  duduk di meja dan tengok dia makan. Kalau diajak aku pergi berperang itu lain lah pula ceritanya.

“Silakan makan bapak..ibu…” Kata bibik sambil menyendukkan nasi ke dalam pinggan.

“Bik..tak payah sendukkan nasi untuk saya..saya tak nak makan..” kataku menolak.

“Kenapa tak nak makan…rasalah sikit.” Pelawa Ezran.

“Saya tak nak…saya tak de selera….awak makanlah…bibik pun makanlah juga..rasa masakan saya.” Kataku pada Bibik.

“Ngak mau..ngak mau….Biar bapak sama Ibu makan dulu…”Bibik juga menolak.

“Tak pe Bik…duduk je kat sini..mari makan sama.” Ezran mempelawa Bibik.

Bibik akur dan terus duduk di meja makan manakala aku pula hanya melihat mereka menjamu selera. Ezran mengangkat ibu jari menunjukkan isyarat sedap untuk ayam masak kurma. Aku senyum sinis..sebab sebentar lagi dia akan angkat tangan isyarat surrender untuk acar buah.

“Ya Allah…Pedas giler acar buah ni..Bik..air..air..saya nak air…”

“Kok yang benar pedasnya bu…Bibik kira Ibu hanya bercandi tadi….ya ampun..bapak ngak apa-apa?” Bibik cepat-cepat memberikan air kepada Ezran. Risau Bibik juga dengan majikannya.

“Sesuai untuk mulut yang takde cop sirim..jangan marah nanti saya masak lagi pedas dari ni.” Kataku sambil mengangkat kening double jerk.

“Sampai hati awak…cilikan mulut saya secara tak sengaja macam ni..tengoklah Bik dia bukan sayang dengan saya ni.”

Bibik ketawa melihat kami yang seperti anjing dengan kucing. Aku pula sentiasa senyum dan senyum lagi sungguh puas hati dapat mengenakan Ezran. Selesai makan Ezran mengajak aku duduk di ruang tamu sementara bibik mengemas meja makan. Selang lima minit Bibik datang membawa sepinggan buah limau oren yang telah dipotong. Ezran terus mengambilnya satu dan menyuapkannya ke mulut. aku hanya melihat Ezran makan…dalam hati aku berkata kuatnya makan tapi badan tak juga gemuk…apa rahsianya? Rasa hendak bertanya tapi malu. Lupakanlah.

“Awak..ni CD untuk awak…ada masa awak tengok lah..?”

“Cerita apa ni?” Tanyaku.

“Awak tengoklah sendiri, mana boleh cerita..awak tengok la dulu..best cerita ni..” Kata Ezran.

“Oklah..nanti bila saya habis tengok…saya pulang semula ye…”

“Tak payah..CD ni saya bagi awak terus..”

“tima kasih…awak saya nak baliklah…”

“Cepatnya..tak puas lagi saya tengok awak…dah nak balik..jomlah saya hantar.”

Ezran memberitahu Bibik yang dia mahu menghantar aku pulang ke rumah. Kami sama-sama keluar dari rumahnya menuju ke kereta proton wira. Aku masuk ke dalam kereta duduk di sebelah Ezran. Fikiran tiba-tiba teringat kepada beg galas aku.

“Awak…beg saya mana…?” spontan aku bertanya.

“Ada..kat atas..awak nak beg..tu”

“Mestilah itukan beg saya….awak ada buka tak beg saya?....kalau boleh saya nak semula beg tu?”

“sumpah saya tak buka….awak tunggu sini..saya pergi ambil..kat atas..”

Ezran keluar dari kereta menuju masuk ke rumah. Tidak lama dia pun masuk semula ke dalam kereta bersama dengan beg galas. Dia memulangkan beg aku. Aku mengucapkan terima kasih yang teramat sangat kepadanya. Ezran mengundurkan kereta..perlahan-lahan kereta proton wiranya bergerak meninggalkan rumahnya.

“Sedap awak masak..kena dengan selera saya..perfect…Cuma acar buah pedas sangat.”

“Sengaja saya masak pedas untuk awak….” Aku membuat pengakuan. Aku memandang muka Ezran. Dia langsung tak marah dengan kenyataan aku.

“Awak kita pergi pusing-pusing bandar dulu nak?” Cadang Ezran

“ Saya tak larat la…penat sangat ni…tak rehat langsung hari ni.” Kataku dengan nada rendah.

“Dah tahu penat kenapa awak masak…bibik kan ada…biarlah dia buat.”

“Dalam perjanjian tak membabitkan bibik….awak nak saya yang masak bukan bibik…jadi saya tak nak langgar perjanjian”

“Saya tak tak suka tengok awak macam ni..lemah…tak macam selalu..gaduh-gaduh manja…lain kali kalau tak larat cakap..jangan paksa diri..saya rasa bersalah sebab suruh awak masak ari ni…kalau saya tahu saya takkan suruh awak masak…kita ke klinik ye..” Pujuk Ezran. dia ingat aku makan pujuk. Kirim salam.

“Tak payah..ubat demam saya ada lagi…tadi saya dah makan panadol ..esok okey lah ni.”kata ku menolak.

“Senang betul awak buat kesimpulan..kalau demam melarat macam mana?..risau saya…kalau demam teruk telefon ye jangan senyap je..”

“Tak payah..kalau saya telefon maknaya saya kalah betting ….biarlah saya tanggung sorang-sorang…pandai-pandailah saya nanti….”

“Awak ni ego tinggi menggunung…ciri-ciri degil memang banyak sangat.”

Ezran memberhentikan kereta dihadapan rumah sewa aku. Sebelum aku turun dia meletakkan tapak tangannya di dahi aku. Aku menguis tangan Ezran.

“Bukan Muhrim.…tima kasih hantar saya sampai ke rumah.” ucapku.

“Sama-sama…telefon saya kalau demam kuat!.”Pesan Ezran sebelum aku turun dari kereta.

Aku turun dari kereta dengan memegang beg dan CD ditanganku . Diana sudah membuka pintu,  menunggu aku dipintu rumah. Ezran menunggu sehingga aku masuk ke dalam rumah barulah dia bergerak balik ke rumah. Aku senyum tawar memandang Diana. Melangkah masuk ke rumah aku terus merebahkan badan ke atas sofa.

“Kenapa ni? Demam ye?”

“Ha a…..dah makan panadol tadi…ok dah ni….”

“Ok apanya..muka monyok semacam je..tak happy langsung.”

“Biasalah..jarang-jarang demam…bila dah demam macam nilah.”

Diana pula faham keadaan aku, dia membasahkan tuala diletakkan di atas dahi aku. Dia memicit-micit kepala aku. Aku berasa lega aku terlena di atas sofa sementara Diana menghamparkan narita untuk menemani aku tidur di luar.
****************
 Aku mengejutkan Diana, jam baru pukul 11.30 malam. Aku meminta Diana menghantar aku ke klinik atau ke hospital. Diana bingkas bangun, dia pergi keluar menghidupkan enjin kereta. Aku yang tidak berdaya untuk berjalan dipapahnya hingga ke kereta. Nasib baik kudrat Diana kuat. Diana masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil beg duit aku. Diana memandu terus ke Hospital.

Aku hanya ingat Diana memandu terus ke wad kecemasan. Diana membuka pintu kereta dan memapah aku sampai ke katil. Aku juga dengar suara Diana cemas. Lain-lain aku sudah tidak tahu apa yang terjadi.

“Doktor..tolong..dia demam sangat ni…”
*************************
Harap ada yang sudi membaca. Teguran anda amat saya hargai.

2 comments: