Hari ini aku mengambil cuti selama lima hari bermula dari hari Rabu sehingga Ahad. Semua ini untuk membantu Diana menyiapkan keperluan bagi majlis pertunangannya nanti. Walaupun ini bukan majlis pertunangan aku, kegembiraan di dalam hati ini amat mekar sekali. Gubahan hantaran aku dan Diana yang menggilap idea. Pilihan warna tema gold untuk majlis ini sangat sesuai dan cantik.
“Ros, masa aku sibuk membeli alat-alat gubahan ari tu di KL, aku terserempak dengan Hadi. Jadi aku jemput dia sekali ke majlis ni. Dia kata nak datang sebab kebetulan dia memang nak balik ke Temerloh” Diana mula menyingkap cerita lama aku dengan Hadi. Bila dengar nama Hadi aku terus hilang mood hendak meneruskan kerja. Idea yang dari tadi datang mencurah-curah terus padam.
“Kenapa kau ajak dia? Susahlah nanti, aku tak nak jumpa dengan dia.”
“Dia sekarang ni dah single balik, putus tunang kes curang. Dahlah tu Ros, apa yang dah lepas tu lepas. Sekarang buka buku baru. Kalau kau terus macam ni Hadi mesti ingat kau masih mengharapkan dia lagi. lagipun sekarang ni dia dah single semula.” Terang Diana.
“Aku dah lupakan peristiwa tu, aku tak mengharapkan dia langsung…sungguh... aku sentiasa berdoa supaya aku bertemu jodoh dengan orang yang baik-baik…tak nak macam Hadi.”
“Kau tau tak tunang Hadi yang memutuskan pertunangan mereka, sebab dia kata Hadi tak mampu nak berikan apa yang dia mahu dan dia dah jumpa dengan orang yang mampu memberikan segalanya untuk dia.” Dia dah mula nak ajak aku mengumpat. Inilah part yang paling Diana suka.
“Bagus lah tu. Maksudnya sekarang ni aku dan Hadi… satu sama….seri. Dia dah rasa apa yang aku rasa. Walaupun aku tak berdendam… rupanya ada orang yang membalasnya….” Sambil mulut aku bercakap beserta tangan aku berjalan menggubah hantaran pertunangan Diana.
‘Dia ada kata yang dia dah menyesal buat kau macam ni. Kalau dia tahu jadi macam, ni dah lama dia pillih kau jadi peneman hidup dia.” Sambung Diana lagi.
“Tak de maknanya nak menyesal. Aku tak menyesal pun putus dengan dia. Aku bersyukur lagi adalah. Dia tu aku rasa spesis hidung belang. Pandainya dia mencari simpati. Dah..dah..kau tak payah termakan dengan cerita karut-marut dia tu. Kau nak tengok dia main-mainkan aku lagi ye? Cepatlah siapkan gubahan ni…kau juga yang nak bertunang bukannya aku…” Aku menggerlah Diana yang dari tadi asyik berborak sampai kerja tak menjadi.
“Ehhh….Dia cakap, dia nak cari kau balik.. nak sambung semula hubungan yang dah putus.”
“Sambung apa lagi…network aku memang dah tak boleh sambung-sambung dah..bluetooth pun tak boleh…aku dah tak pakai tower lama…aku tengah sain kontrak adakan hubungan yang tak rasmi dengan tower baru…”aku sengaja menggunakan ayat yang susah nak difahami.
“Sain kontrak?? Kau cakap apa ni? Kontrak apa pulak ni? Ada cerita yang aku tak tahu ke?” Bulat mata Diana memandang ke arahku.
“Ni lah yang aku nak cerita ni. Kau ingat tak mamat yang aku ceritakan dengan kau tempoh hari?”
“Ingat..ingat. Kenapa dengan Dia?” Diana seolah-olah tak sabar ingin mengetahui cerita.
“Aku dah tahu nama dia dan tempat kerja dia. Hari tu masa kau ke KL beli alat-alat tunang kau ni, ada keluar dengan, aku terpaksa sebab aku angkat panggilan telefon dia. Mana aku tahu dia yang telefon aku ingat kau yang telefon. Dia siap hafal alamat rumah sewa kita. Tup..tup.. dah terpacul depan rumah.”
“itu je?” soal Diana ringkas.
“Oii..sabar lah dulu..kok ye pun bagi aku telan air liur dulu. Kontraknya terjadi bila aku deal nak betting dengan dia sekiranya aku sakit aku takkan cari dia. Pasal betting tu aku tak jadi masalah. Sure aku tak cari dia punya. Lagi satu aku boleh tertinggal beg galas dalam kereta dia..menonong je aku terus jalan ke stesen bas. Dia pun apalagi ambil kesempatan atas beg aku yang tertinggal, dia tak nak pulangkan beg aku. Sekarang ni aku dah sain kontrak dengan dia. Ni memang kira bodoh punya kontrak.” Cerita ku panjang.
“Apa kau sain kontrak ada cop lawyer ke? kalau kau langgar kontrak tu?” Soal Diana hairan.
“Tak delah sampai melibatkan lawyer. Aku kena jadi tunang dia, terus kena kahwin dengan dia. Aku tak nak kawin kontrak….seksa jiwa raga.”
“Kalau macam tu kau kena mengelak, jangan jumpa dia.”
“Itu memang ada dalam perancangan. Tapi masalahnya dia lagi licik dari aku. Tau-tau ada je muncul kat aku. Aku tak larat la macam ni asyik nak lari je. Aku nak berenti kerja la nak duduk kat kampung je nak cuba mohon jadi cikgu GSTT pula. Lagipun kau dah nak bertunang tak lama nak kawin, berpisah lah kita nanti.” Aku menceritakan perancangan ku.
“Kenapa macam putus asa je? Sikit punya hal. Kalau kau duduk kampung pun bukannya dia tak dapat cari. Sekarang dunia dah maju semuanya dihujung jari.”
“Sebab dunia dah maju baik aku cepat-cepat larikan diri dari Ezran ni. Aku rasa aku ni degil rupanya dia lagi degil dari aku. Adoii..macam bertemu buku dengan ruas….”kata ku lemah.
“Kau pun satu pantang dicabar, yang aku hairan kan kenapa kau keluar dengan dia? Setahu aku kau ni punyalah liat nak diajak keluar.. kau suka kan dia ye?” Diana memancing jawapan ku.
“Adalah sikit-sikit…tapi…”
“Kau takut jadi macam dulu….dengan Hadi? Hadi tu bodoh, tak pandai menilai. Dia tak nampak selama dia bercinta dengan kau..tak pernah pun kau minta apa-apa pun…dengan kata lain tak materialistic.” Diana mengumpat Hadi lagi.
“Dah la sebut nama Hadi….aku malas nak dengar…aku nak siapkan semuanya gubahan lepas tu aku nak makan pulak lapar…” kataku.
************************************************
“Dah siap tolong Diana menggubah hantaran?” Tanya emak padaku.
“Dah mak…”
“Telefon kamu tu asyik berdering dari tadi.”
“kenapa mak tak angkat je?”
“Mak angkat…kawan kamu Ezran yang telefon… dia kata kamu balas sms dia, tak nak angkat telefon... baik budaknya Ezran tu, pandai hormat orang tua walaupun hanya bercakap dalam telefon.”
“Ha a..ye la sangat mak..kalau dah kenal dia mesti menyesal punya!” Aku menyampuk perlahan supaya tidak didengari emak. Pandai kau ye Ezran pancing mak aku pulak.
“Ros kena ingat, kalau berkawan dengan orang lelaki kena hati-hati, jangan mudah terpedaya. Kena selalu ingat kita orang susah, kita tak sepadan dengan orang kaya. Mak tak suka anak mak makan duit orang lelaki, apa orang sekarang ni kata ..yang ada daddy..daddy…” Nasihat emak kepada ku.
Aku tersentuh dengan nasihat emak, tetapi lucu pula bila mendengar emak tidak pandai hendak menyebut perkataan sugar daddy. Orang tua ni ikuti juga perkembangan zaman, hrmm kalaulah dia pandai melayari internet macam manalah agaknya.
“Sugar daddy mak….Ish minta simpang malaikat empat puluh empat orang nak berperangai macam tu…mak… anak mak ni waras lagi setakat hari ni. Lagipun mak, orang dengan budak Ezran tu bukan ada apa-apa pun, kenalan biasa je mak.” terangku supaya mak tak salah sangka. Tapi mak tak tahu pasal betting dan kontrak yang telah dimeterai antara aku dan Ezran.
“Mak tak kisah kalau anak mak ada buah hati, memang lumrah hidup manusia nak bercinta, kalau tak begitu..tak lah mak kahwin dengan abah.”
“Mak ni kira-kira mak dah bagi lampu hijau lah ye….yes..yes….boleh bercinta…”Aku sengaja mengusik emak. Percintaan aku yang dahulu dengan Hadi mak tahu, tapi dia tak bagi aku terlalu serius. Sekarang ni mak bagi pula lepas aku putus dengan Hadi. Firasat orang tua selalunya betul, mungkin mak dapat menjangka perangai Hadi.
“Sesuai dengan umur kamu….nak cari pasangan hidup, Diana pun dah nak bertunang…tapi anak mak ni tak de gaya pun lagi.”
“Mak tak de sape nak kat orang ni….perangai kasar….”
“Bagi mak anak mak ni lawa juga….macam muka abah…hidung mancung, muka bujur, kulit kuning langsat, tinggi sederhana, rambut lurus, mata bujur…dah lawa sangat bagi mak.
“Mak..mak…dah cukup pujinya..takut koyak pulak seluar ni..hehehe…”Gurau ku. Sakit pipiku dicubit emak.
*****************
Dihari pertunangan Diana aku antara orang yang sibuk seperti macam wedding planner. Diana meminta aku menemaninya duduk di bilik. Kalau hendak ikutkan hati, lebih baik aku membantu makcik-makcik membasuh pinggan di belakang rumah ada juga faedahnya.
Perbincangan antara kedua belah pihak baru bermula. Aku yang sudah berasa rimas menuju keluar rumah. Diana aku tinggalkan keseorangan di bilik, bukan ada orang nak kidnap pun. Sengaja mengada-ngada nak ditemankan. Nanti kalau dia dah kahwin nak kena aku teman juga ke? Aku tak nak tengok apa yang tak patut aku tengok..dosa… Ish..apa yang aku mengarut ni? aku berkata dalam hati.
Terasa lega betul bila berada di luar rumah, permandangan pun lawas. Orang ramai masih sibuk ada yang membasuh pinggan, ada yang makan, ada yang duduk berbual-bual beginilah kenduri di kampung.Hubungan antara satu dengan lain masih erat lagi. Gotong-royong masih menjadi amalan masyarakat kampung. Tapi ada yang tidak sedap dipandang bila yang bergotong-royong hanya golongan tua…yang muda mana? Hrmm orang muda semuanya berhijrah ke bandar.
“Ros! Kau tengok apa tu?” sergah suara seorang perempuan. Aku amati muka perempuan ni, aku kenal sah wati anak Mak Melah.
“Heyy..wati..Ya Allah lama tak jumpa… dah lawa kau sekarang ni tak macam dulu…Ehh!! Rambut pun dah lurus…cantiknya.” Puji ku pada wati. Waktu kami kecil dia antara teman sepermainan ku, tapi waktu tu dialah yang paling comot rambut kerinting berkutu pulak tu. Sekarang ni cantiknya bukan main.
“Yang kau ni pula…macam tu juga tak berubah,, kenapa tak nak make up sikit..calit-calit apa yang patut..bukannya tak cantik.. tapi tak pandai nak hargai kecantikan..tengok aku ni menghargai kecantikan.” Wati dah mula mengeluarkan perangai sebenar disebalik kecantikannya. Mulut dia memang laser.
“Sebab aku hargai kecantikan la aku tak make up…kalau make up pun bukannya cantik sangat ..macam hantu... bila dah tanggal make up.. macam jerangkong…heheheh..” Mulut aku yang memang boleh tahan pula bercakap. Wati terus menarik muka masam.
“Kau ni memang… mulut macam longkang…..”Wati bengang dengan kenyataan yang aku keluarkan.
“Tapi hati aku suci beb!” Aku main-mainkan wati.
Kami sama-sama ketawa, bengang Wati biasanya sekejap sahaja. Dia takkan ambil hati dengan apa yang aku cakap. Wati mengajak aku menjamu selera tapi aku menolak sebab aku dah kenyang.
Ramai orang yang duduk di bawah pokok Mangga memanggil namaku. Nampaknya geng-geng makcik Gayah Gosip ada di situ. Hmmm..mesti ada cerita baru. Aku tahu dia mesti hendak bertanya pasal majlis pertunangan Diana, berapa hantaran, berapa belanja, bila kenduri kawin macam-macamlah nanti ditanyanya. Tidak sanggup aku hendak mendengar, macam CSI.... kalau CSI patutlah mereka ada gaji. Aku membalas dengan menunjukkan isyarat tidak boleh. Lebih banyak hal lain yang lebih berfaedah yang aku hendak buat.
Waktu aku sekolah Menengah, Makcik Gayah selalu juga bertandang ke rumahku membawa gosip-gosip terkini. Mak aku pula hanya mengangguk-angguk mendengar cerita dia. Aku memang tidak berkenan dengan aktiviti membawa mulut ni. Tempat dia bergosip biasanya atas pangkin di bawah pokok Duku tepi rumah aku. Satu hari, pada cuti pertengahan tahun, aku tunggu kedatangan Makcik Gayah membawa gossip.
Aku nampak dari jauh dia datang. Aku sudah bersedia hendak mengenakan Makcik Gayah. Sedang Elok dia duduk dipangkin dan mula bergosip, aku pun datang membawa Al-Quran. Aku duduk diantara mak dengan Makcik Gayah, aku terus membaca Surah Yassin. Terdiam Makcik Gayah, dari bersemangat hendak bergosip terus hilang semangat. Muka Makcik Gayah pudar melihat gelagat aku. Mak aku pulak mencuri-curi mencubit peha aku, marah dengan sikap aku. Tapi aku tidak peduli, akhirnya Makcik Gayah meminta diri untuk pulang. Sebulan Makcik Gayah tidak bertegur sapa dengan mak aku, dikatanya pada orang kampung mak aku tidak pandai mendidik anak dan hampir setahun Makcik Gayah tidak berkunjung ke rumah aku kerana peristiwa Al-Quran.
Di kanopi depan aku nampak seseorang yang kenal. Terbantut niat aku pergi kanopi untuk beramah mesra dengan orang-orang di situ. Hrmm lagak aku yang dari tadi seperti YB yang sentiasa sibuk ke sana ke sini. Lebih baik aku masuk ke dalam rumah sebelum makhluk yang ada di bawah kanopi nampak aku. Getus hati aku.
“Diana pebincangan tu dah siap…kejap lagi kau kena keluar…nak sarung cincin pula.” Kata ku menyuruh Diana bersedia.
“Hah! Baru muncul..pergi ke mana tadi?” soal Diana hairan.
“Pergi beramah mesra dengan rakyat jelata kat luar tu.” Gurau ku.
“Berangan la kau! Jomlah orang dah panggil tu.”
“Kau je lah yang pergi…karang tersarung salah jari…sian kau.” Kata ku main-main.
“Kenapa pula salah jari?” soal Diana hairan.
“Ye lah nanti mak Khai ingat aku ni bakal menantu dia. Aku tak nak la jari aku yang runcing ni jadi mangsa.”
“Lawak bodoh…” kata Diana sambil menarik tanganku keluar menemaninya.
Diana duduk bersimpuh di hadapan emak Khai, aku pula duduk bersimpuh disebelahnya. Seksa betul kena control ayu macam ni, kalau boleh bersila macam ala-ala pahlawan melayu alangkah bagusnya. Diana bersalam serentak mencium tangan bakal ibu mertuanya itu. Cincin permata satu tersarung di jari manisnya. Termeterailah janji pertunangan antara Diana dan Khai. Aku yang melihatnya terasa macam mengusik perasaan, terbayang kalau aku yang bertunang. Sempat-sempat je nak berangan tengah-tengah orang ramai.
Diana sedang bergambar untuk kenang-kenangan bersama-sama kedua-dua belah pihak. Aku juga turut sama bergambar. Wajah Diana memang gilang-gemilang hari ini macam pelangi warnanya.
“Diana saya pun tumpang bergambar juga…tapi dengan Ros!” Aku terkedu bila nama aku disebut.
“Hadi!!” kataku
“Kenapa salah ke?” Tanya Hadi. Diana membiarkan aku dan Hadi, dia sibuk bergambar dengan ahli keluarganya. Ciss!! Berjumpa juga aku dengan Hadi.
“Kenapa datang sorang..tak bawa tunang?” kataku seperti memerli.
“Takkan Diana tak cerita..saya dah putus tunang.”
“Tak..” Aku tipu Hadi.
“Ros…lepas kita putus..awak tukar nombor telefon awak ye?”
“Tak….” Ringkas sahaja jawapan aku.
“Saya telefon awak.. tapi tak dapat.”
“Handphone saya tengah charge la tu…tingkatkan usaha…dial lagi.” kata aku yang memang tak boleh nak serius langsung.
“Esok hari Ahad, cuti lagikan? Free tak? Saya nak ajak awak keluar.”
“Saya tak Free, saya ada hal dengan kawan.”
“kalau macam tu lain kali lah kita keluar ye..” cadang Hadi lagi.
“Lain kali pun saya tak free…sentiasa ada hal.”
“Marah betul bunyinya awak dengan saya.”
“kenapa pulak saya nak marah..tak de kerja…tak pe lah saya nak kebelakang dulu…ada orang panggil tadi.” Kataku meminta diri dengan cara tak formal. Aku terus berjalan ke menuju ke belakang rumah Diana.
Apalah Hadi ni.. hendak mengajak aku keluar pula, dulu dia juga yang yang kata aku tidak sepantas bakal tunang dia. Sekarang sibuk pulak hendak mengajak keluar, buang masa melayan orang macam ni. hendak sangat orang menghargai diri dia, tapi dia langsung tidak hargai orang lain. Aku mengomel sendiri.
***********
Sampai di rumah aku terus merebah badan di atas katil, memang best sangat bila dapat meluruskan pinggang setelah seharian membantu Diana. Azan Asar sudah berkumandang di masjid. Aku kenalah menunaikan perkara wajib ini dulu, lepas ini baru sambung berehat.
Selesai solat aku berbaring semula. Sunyi suasana rumah ini, mak dengan abah pergi melawat wan aku yang tidak sihat. Hari ini aku tidak berkesempatan hendak melawat wan aku. Mungkin esok aku akan pergi. Aku sayang wan aku kerana dialah satu-satu nenek yang aku ada.
Handphone aku belek manalah tau kot-kot ada sms masuk. Betul telahan aku, sms dari Ezran pun ada juga. Yang lain-lain dari teman-teman sepejabat pun ada. Lepas kes betting-betting tempoh hari, aku tertarik sangat hendak membaca sms yang dihantar oleh Ezran. semenjak hari itu juga Ezran dah tidak menefon aku lagi hanya sms sahaja yang dihantar.
Dalam hati aku ni macam sudah ada mekar setaman bila teringatkan Ezran. Nekad aku, walau suka macam mana pun aku dekat Ezran aku tidak akan tunjukkan. Sekarang aku dah tukar prinsip, biarlah ego tinggi macam gunung.
“Assalamualaikum..” Suara dari luar rumah. Tidak sempat lagi aku nak berangan.
“Waalaikumsalam.” Aku keluar melihat siapa yang datang.
“Makcik Gayah…mak tak de kat rumah, dia pergi rumah wan…tengok wan demam.”
‘Takpelah..saje je kebetulan makcik lalu kat sini, singgah kejap kat sini.”
“Kebetulan ke saja-saja buat kebetulan makcik?” soal ku sengaja buat-buat bodoh.
“Kau ni kan..aku cilikan mulut tu baru tau. Dahlah aku malas nak layan kau. Aku nak balik dulu.” Marah makcik Gayah.
“Assalamualaikum Makcik..bye..bye.”
Eleh macam la aku tidak tahu, mesti ada cerita yang nak disampaikannya. Perangainya tidak ubah-ubah dari aku kecik sampai aku sudah besar panjang, itulah kerjanya. Kalau bab menyiasat hal orang memang pro sangat. Makcik Gayah yang sudah beberapa kali berganyang dengan orang-orang kampung tapi masih tidak serik-serik. Insaf aku menengok perangai orang macam ini.
*********
Aku mencium pipi emak, beg aku dah pun aku letakkan dalam boot kereta myvi Diana. Emak perasan ada yang kurang padaku.
“Ros..mana beg galas? Tak nampak pun..biasanya tak pernah tinggal.” Tanya emak hairan.
“Ada..tak bawa tinggal kat rumah sewa.” Aku membuat helah. Emak mengangguk faham.
Aku masuk ke dalam kereta dan melambaikan tangan selamat jalan kepada emak dan abah. Jari manis Diana ku pandang. Cantik cincin tunang Diana, teringin aku nak cincin macam ni. Tapi kalau aku bertunang aku tidak mahu cincin emas, aku mahu cincin berlian baru cantik. Biar meleleh air liur Makcik Gayah membawa cerita ke sana ke mari… aku bertunang dapat cincin berlian…baru gempak. Aku ketawa kecil dengan angan-angan ku.
“Hoi! Ketawa sorang je…kongsi sikit cerita dengan aku.” Sergah Diana.
“Aku tengah berangan merancang majlis pertunangan aku nanti….”
“Kau tak cerita pun dengan aku…bila kau nak bertunang..dengan Hadi ke?”
“Bulan Disember tahun belum tentu lagi…bakal tunang tak tahu sape… mungkin jodoh aku On the way lagi.”
“Bercakap dengan kau ni tak pernahnya nak serius..main-main je..aku tinggal kau kat tepi jalan baru kau tau.” Gertak Diana. Tapi aku tak pernah takut dengan gertaknya.
“Tadi yang aku ketawa tu berangan je…salah ke..nak layan perasaan.”
“Kau memang kuat berangan…Hadi cakap apa hari tu?”
“Ajak aku keluar…aiyoo itu orang dah ludah nak jilat balik…bengong…Sori la..dia salah orang..memanglah aku ni macam bodoh-bodoh alang sikit..tapi tak lah sampai tak de prinsip hidup.”
“Aku tau sangat…muka je ganas..dalam hati ada mekar setaman…kih kih..kih..” Ketawa Diana.
“Nasib kau faham….penatlah esok nak kerja pulak..kan bagus kalau duduk goyang kaki kat rumah…tapi duit sentiasa ada..tak payah nak susah-susah cari duit.” Aku berangan lagi.
“Duduk kat rumah pun kena buat kerja juga..takkan nak biar rumah bersepah…” Sampuk Diana.
“Hrmm..terimalah kenyataan..kalau nak duit kena kerja…” Kenyataan yang aku keluar untuk diri sendiri.
Perjalanan kami dah sampai ke Jerantut, sebelum balik ke rumah aku mengajak Diana membeli makanan untuk malam nanti. Diana terus memandu masuk ke bandar Jerantut.
“Aku nak makan KFC je malam ni…kau?”
“Sama…ikut je..janji tak payah masak. Kau turun pergi beli ye..aku tunggu dalam kereta.” Diana memberhentikan kereta di depan KFC.
“Ok..ok…No hal. Ari ni aku belanja..sian kau..dah banyak abis duit untuk majlis tunang”. Kataku sanggup.
Restoran makanan segera itu aku tuju. Laju kaki aku melangkah supaya cepat sampai. Dari cermin luar restoran kelihatan tidak ramai orang di dalamnya. Bagus, cepatlah aku dapat order nanti. Kata hatiku. Kaunter… tempat yang aku terus tuju, memang aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan. Biarlah orang hendak tengok aku, bukannya hot sangat pun aku ni. Kataku dalam hati..perasan lagi.
“Saya nak Dinner plate dua..bungkus” kataku kepada budak kaunter.
“Ok…ada apa-apa lagi cik?” Tanya budak kaunter.
“Itu saja.”kataku. aku berdiri ditepi kaunter menunggu order.
“Adik kaunter!! Order cik baju biru tu biar saya bayar.” Aku kerling.. Ezran sudah ada disebelahku.
Aku memandang Ezran dengan muka tidak puas hati. Ezran buat-buat bodoh macam tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia terus ke kaunter membayar harga KFC 2 set yang aku order. Aku yang ada di tepi kaunter menggigit jari.
“Ros..jom duduk..kejap je” Kata Ezran.
“Awak pergi mana? Sms satu pun tak balas. Biasanya ada juga yang awak balas setidak-tidaknya satu. Risau saya.”
“Balik kampung. Saya tak boleh lama. Diana tunggu dalam kereta.”
“Cik..dah siap.” Panggil budak kaunter.
Aku dan Ezran sama-sama bangun tapi Ezran lebih dahulu mengambil bungkusan KFC, diberikan pada ku.
“Siapa tu Encik Ezran? beria-ia benar Encik Ezran ambil berat.” sempat lagi budak kaunter bertanya kepada Ezran. Kenal pulak budak ni dengan Ezran.
“Tunang saya.” Kata Ezran sambil tersenyum ke arah budak kaunter. Bila dia berpaling menghadap aku, dia mengangkat kening seraya tersenyum puas hati.
“Kita memang berjodoh! Instinct saya kuat mengatakan akan berjumpa awak disini.” Kata Ezran seakan berbisik.
“Hrmm…saya pun rasa macam tu.. kita memang berjodoh untuk bermusuh…disebabkan dalam KFC ni saya tak nak buat spoil kat sini…terima kasih sebab belanja saya. Maknanya saya hutang awak satu.” Kataku yang juga seakan berbisik sambil mengetap gigi.
“Awak jangan lupa kontrak kita dah start…hrmm…segala janji perlu dipatuhi.” Beritahu Ezran lagi.
“Pasti saya akan patuhi. Assalamualaikum. Terima kasih sekali lagi.” kataku perlahan.
“Sayang! Hati-hati..Dah sampai rumah bagitau!” Kata Ezran dengan nada agak kuat. Aku rasa dia sengaja membuat aku marah dan malu.
Lantaklah kau Ezran, yang penting perut aku boleh kenyang malam. Aku sudah tidak kisah dengan kau. Kita sama-sama degil hendak buat macam mana. Aku masuk ke dalam kereta, Diana memandang aku seperti ada udang disebalik batu.
“Jumpa buah hati ye?”
“itu bukan buah hati….menyakitkan hati namanya. Tapi ni dia yang belanja.”
“hrmm..itu sudah bagus…ini jodoh bukan musuh…hehehe.”
“Banyak la jodohnya…jom la balik!”
****************
Kontrak antara aku dengan Ezran sudah pun bermula. Ada beberapa perjanjian yang aku ingat antaranya kena tolong dia kemas rumah, tolong masak untuk dia, temankan dia pergi makan…ishh!! Banyak lagi lah. Tapi itu semua mengikut kehendak dia. selagi tidak keterlaluan aku boleh buat. Kalau sudah melampau buat aku macam hamba abdi, makan juga penumbuk si Ezran ni nanti.
Sungguhpun begitu semenjak akhir-akhir ini aku sudah berasa agak selesa apabila bersama Ezran. Ada kalanya aku sudah mula teringat-ingatkan dia. Mungkin aku sudah jatuh cinta agaknya, kalau tidak masakan aku ingatkan dia. Haishh!! Aku pula memang cepat sangat cair bila tengok yang jenis muka ala-ala korea ni..aduhai Lee Min Ho… Arghh!! Tak mungkinnn.
Malas hendak berfikir pasal hal ni, aku melayan drama bersiri korea Secret Garden. Penuh perasaan aku menontonnya, boleh pulak bertukar-tukar roh…bila hujan turun roh mereka berdua akan bertukar…dari situlah mereka mula memahani perasaan masing-masing..dari benci jadi jatuh cinta. Yang si lelaki ni kerek gila, maklumlah orang kaya. Tapi boleh menjadi seorang pencinta yang sangat setia dengan cintanya. Hrmmm…..seronoknya.
“Ros…masuk tidur…jangan nak berangan dengan drama korea tu…esok nak kerja!” Arah Diana kepadaku seperti aku budak umur sepuluh tahun.
*********************
Harap ada yang masih sudi membacanya. Berikan teguran sewajarnya.
No comments:
Post a Comment