Tuesday, 27 December 2011

CINTA KFC 4- KAWAN....FIANCEE.....COUPLE...


BAB 4

Seawal 7.15 pagi aku dan Diana sudah sampai ke LKL Sdn. Bhd. Kerja aku dan Diana membuat order dan memastikan order sampai tepat pada masanya.  Aku memeriksa kerja-kerja yang tidak beres, manalah tau kot-kot masih  ada yang aku terlupa order alamatnya mengamuk bos kami.

Sedang asyik berbincang mengenai projek yang akan datang bersama teman sepejabat, Kami semua diarahkan masuk ke dalam bilik mesyuarat oleh bos kami iaitu Mr. Leong. Aku, Diana, Danial, Halim, Mr. Tee, Izad, Kak Siti, Miss. Jenny dan Azrul duduk di kerusi masing-masing. Mata kami tertumpu kepada Mr. Leong. Aku yang duduk di sebelah Diana, menyepak-nyepak kaki Diana rasa macam tidak sabar hendak mendengarnya.  Jarang kami dipanggil oleh Mr. Leong untuk berkumpul begini.

Biasanya kalau Mr. Leong panggil antara dua martabat, sama ada dapat pujian atau dapat maki. Mulut Mr. Leong memang boleh tahan juga walaupun  pelat-pelat cina apabila berbahasa  melayu tetapi amat menyakitkan hati apabila  memaki.

Kak Siti Incharge bengkel, pernah dimakinya kerana tersalah mengukur alumunium untuk membuat signboard tunjuk arah. Seminggu Kak Siti menghilangkan diri sedih sangat katanya. Semasa ketiadaan Kak Siti, kerja-kerja di bengkel banyak yang tertangguh kerana bab membuat signboard, chevron, bridge panel, temporary signboard hanya Kak Siti seorang sahaja yang pro. Puas Mr. Leong pujuk Kak Siti untuk bekerja semula sehingga terpaksa menaikkan gaji Kak siti untuk mengambil hati. Padan muka Mr. Leong!

Danial dan Halim sales marketing syarikat ini,  mereka akan pergi ke mana-mana pejabat JKR di semenanjung untuk memperkenal syarikat kami dan produk-produk yang kami jual. Biasanya mereka inilah yang akan mencari projek untuk syarikat ini.Mereka berdua sangat pemurah selalu membelikan makanan untuk kami, jika mereka tidak ke luar daerah perut kami sentiasa kenyang semasa di pejabat.

Mr. Tee dan Izad adalah Incharge di tapak projek, segala kerja dan masalah di tapak projek mereka akan selesaikan. Mr. Tee berumur lingkungan 40-an ramah dan baik hati tetapi takut isteri. Isteri Mr. Tee sangat cemburu jika dia berbual-bual dengan orang perempuan lain. Sama spesis dengan Diana, boleh tubuhkan kelab cemburu ni.

Miss Jenny pula kerani akaun. Dia seorang yang pendiam tapi baik hati. Umur dia sebaya dengan aku. Azrul P.A merangkap pemandu kepada Mr. Leong. Azrul seorang lelaki yang boleh tahan handsomenya tapi playboy sentiasa bertukar-tukar girlfriend. Bagusnya Azrul ni dia boleh beramah mesra dengan sesiapa sahaja.

Mr. Leong mula sudah mula berucap. Dia mengucapkan terima kasih kerana  kami telah berusaha sedaya upaya kami untuk memajukan syarikat ini. Dia juga sangat berpuas hati dengan kerjasama yang kami berikan kepada syarikat ini. Usaha gigih kami sangat dihargainya. Menurutnya keuntungan syarikat telah melebihi sasaran, Jadi sebagai ganjarannya syarikat akan memberikan bonus kepada semua pekerja tetap sebanyak dua bulan gaji. Kami semua gembira mendengar berita tersebut serta bertepuk tangan  dan mengucapkan terima kasih kepada bos kami.

************
Aku terima sms dari Ezran semasa waktu rehat pukul 1.00 tengahari tadi. Dia menyuruh aku menyediakan makan malam mengikut menu yang dia beri. Dia kata aku boleh datang ke rumahnya selepas waktu kerja kerana tidak mahu kerja aku terganggu. Ezran  juga memberitahu aku bahawa tidak perlu bimbang kerana dia tidak ada di rumah. Seseorang sudah ada menunggu kedatangan aku di rumahnya.

Semua barang-barang keperluan untuk makan malam sudah pun aku beli bersama Diana di Pasaraya waktu rehat selepas menerima sms darinya. Aku mengajak Diana menemani aku memasak di sana,  Dia menolak kerana Khai hendak berjumpa untuk berbincang mengenai majlis perkahwinan mereka.

“Lain kalilah aku teman kau..hari ni aku betul-betul tak dapat tolong kau.  Kau baca sms yang Khai hantar.” Diana menghulurkan handphonenya kepada ku. Aku membaca sms yang dihantar oleh Khai. Aku tersengih macam kerang busuk.

“Amboi ayat….semenjak dah jadi tunang ni…romantik giler…”

“Hrmm..kau bukan tak tahu Khai tu macam mana..aku lambat sikit mulalah membebel macam mak nenek.”

“Biasalah..tu namanya sayang..”

Aku meminta Diana menghantar aku ke rumah Ezran mengikut alamat yang diberi. Diana membaca alamat yang dihantar oleh Ezran kehandphone aku.

“Eh! Rumah budak ni dekat sangat dengan perumahan kita..sebelah je…kita berkongsi taman tempat kau selalu jogging tu..tapi kawasan perumahan dia ni untuk orang golongan elit rasanya...” beritahu  Diana.

“Lantak dialah elit ke..selit ke....janji dekat..boleh jalan kaki je kan?…..kalau macam tu kita balik rumah dululah…aku nak salin baju.”

Diana terus membelok menghala ke rumah kami. Sampai di rumah aku terus menyalin pakaian, aku mengenakan track dan t-shirt barulah selesa hendak buat kerja. Diana menyuruh aku memandu keretanya ke rumah Ezran, tapi aku lebih suka menapak lagipun bukannya jauh sangat rumahnya.

Makcik Yah yang dari tadi duduk di luar sedang mencabut anak-anak rumput yang tumbuh di dalam pasu bunga melemparkan senyuman. Suaminya Pakcik Harun hanya berkain pelikat duduk di atas kerusi malas sambil membaca buku.

“Ros nak pergi mana..banyaknya barang..”Tanya Makcik Yah hairan. Biasanya dia nampak aku menjinjit barang masuk ke rumah, tapi kali ni aku jinjit barang ke luar rumah.

“Nak ke rumah kawan kat perumahan sebelah….. dia minta tolong masak-masak sikit.” Kataku yang serba salah. Minta-minta janganlah ditanya kawan aku tu perempuan ke lelaki.

“Ha ye lah..hati-hati..anjing banyak petang-petang macam ni…”Pesan Makcik Yah yang sudah maklum betapa alahnya aku dengan haiwan ni.

“Yelah makcik..tima kasih..Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam….jalan elok-elok.” pesan Makcik Yah lagi.

Lebih kurang lima belas minit berjalan melalui jalan short-cut aku sampai ke rumah Ezran. betullah rumah dia di belakang taman tempat aku selalu jogging. Patutlah dia kata sudah lama dia perhatikan aku..dia intai aku dari rumah rupanya. Aku tahu memang taman itu dikongsi untuk tiga kawasan perumahan di sini. Tapi aku tidak tahu pula yang Ezran duduk di sini dan aku berkongsi taman yang sama. Hrmm..suratan atau kebetulan?

Mengikut alamat yang diberi, aku telah sampai betul-betul di hadapan rumah Ezran. Memang betul kata Diana memang kawasan ini untuk golongan elit. Rumah dua tingkat yang besar tersergam indah. Aku juga nampak ada landskap taman bunga, banyak bunga-bunga orkid, dan siap ada air terjun mini dalam kawasan rumah Ezran. paling aku pasti ini adalah rumah Ezran, kereta Mitsubishi Lancer merahnya ada di depan rumah.

Dari luar kelihatan seorang perempuan tua lingkungan umur awal 50-an duduk di buaian di dalam taman. Inilah orang yang tunggu aku agaknya. Getus hatiku.

“Assalamualaikum…Makcik.” Kataku sambil menghulur tangan untuk bersalam. Barang yang dijinjit ditangan aku letakkan ke bawah.

“Waalaikumsalam…” Tangan ku disambut. Aku tersenyum kepada makcik itu tapi makcik ini macam orang seberang. Mak Ezran orang seberang rupanya. Kataku dalam hati.

“Makcik ini rumah Ezran ke?” Tanya aku.

“Iya..iya...anak ini Ibu Ros ya? Saya pembantu rumah ini. ”jelasnya. Barang yang  aku letak diambilnya.

“Ya saya..tak usah panggil saya ibu makcik…panggil Ros je…” aku mengambil semula barang yang ada ditangannya.

“Ngak bisa Bu…Pak Ezran udah pesan disuruh memanggil Ibu. Panggil saya bibik aja”

“Tak pelah makcik..eh bibik..saya tak kisah…”

Bibik menarik tangan aku diajak masuk ke dalam rumah. Melangkah masuk ke rumah Ezran terpegun aku melihat rumahnya cantik, perabot dan perhiasan semuanya teratur,  kemas sekali. terpandang satu lukisan di dinding..cantik..kataku dalam hati.

“Lukisan itu bapak sendiri yang melukisnya bu…” Beritahu bibik. Aku menoleh rupanya bibik ada disebelah aku.

Aku terus ke dapur untuk memasak. Bibik membantu aku menyediakan bahan-bahan. Kami berbual mengenai tuan rumah ini. Puas aku mengorek rahsia dari bibik untuk mengetahui Ezran bekerja sebagai apa sebenarnya. Bibik memberitahu dia juga tidak tahu pekerjaan dan tempat kerja majikannya itu.

“Kira-kira bibik lagi teruk dari sayalah..langsung tak tahu Ezran kerja apa…” kataku ketawa sambil menumis bahan untuk ayam masak kurma.

“Iya…bibik gak tahu..mahu ketemu bapak Ezran juga susah walaupun satu rumah..”

“Dia jarang-jarang pulang ke rumah?”

“Tidak menentu gitu…macam biskut…sebentar ada sebentar ngak..hehehe” Bibik ketawa.

Aku meminta bibik membantu aku menyediakan bahan-bahan untuk membuat acar buah. Banyak songeh betullah si Ezran ni. Pembantu rumah ada tapi kenapa hendak suruh aku pula yang masak.Lupa seketika, ini semua kontrak beg punya pasal. Nasib baik betting masa dalam hujan renyai selamat.

“Ok.. bibik sekarang ni kita tunggu ayam empuk dan kuah dia pekat sikit..rasa semuanya dah okey..bagi saya..cuba bibik pulak yang rasa.”

“Tak perlu…baunya aja sudah harum…bibik tau pasti sedap. Untung ya bapak Ezran punya pacar seperti Ibu.”

“Belum pacar-pacar lagi Bik..kawan je.”

“Masa…Bibik ngak percaya ah…liat saja sudah masak-masak segala…”

“Bibik..saya pun tak nak masak-masak macam ni..bak kata pepatah orang tua terlajak perahu bisa ku undur..terlajak kata buruk padahnya…bibik tengok sekarang ni saya sudah terima padah la ni….padah yang lain saya belum tahu lagi apa akan jadi…”kataku sambil mencebik bibir.

Ayam masak kurma sudah pun masak, sekarang masa untuk aku memasak acar buah. Semua bahan-bahan untuk acar buah sudah siap.

“Now…masa untuk goreng cili…bibik…hari ini saya nak buat acar buah yang paling pedas di abad ini…secara tidak sengaja saya akan cilikan mulut majikan bibik...iaitu Bapak Ezran…” kataku sambil menggayakan seperti di atas pentas teater.

“Kok gitu….kenapa mulutnya…bikin sakit hati?”

“Kalau bibik nak tahu..mulut majikan bibik tu tak de cop sirim….suka-suka dia je nak cakap apa…dibilangnya saya ini tunangannya…malu lah saya bik….bila masa pulak saya bertunang dengan dia.”

“Ibu…bibik udah kenal lama sama bapak Ezran…dulu masa bapak Ezran masih kuliah, bibik kerja dirumah ibunya…sekarang bibik kerja pula di rumah ini…setahu bibik, bapak tidak punya pacar selain Ibu Ros…bapak ngak pernah bawa perempuan ke rumah…benar ni.”

“Bik…Bapak Ezran bagi rasuah suruh bibik puji dia depan saya ye…Bik kalau dia ada pacar takkan dia nak bagi tau Bibik.”

“Ya ampun Ibu…ngak..yang benar nih..kok dibilangnya bibik lagi dikorupsi..” Jujur je muka bibik.

“Bibik ni..saya gurau je..jangan ambil hati….elok bibik tolong saya hidang apa yang patut..kejap lagi masaklah acar buah ni…biar saya cuci pinggan mangkuk..”

Laju tangan aku mencuci pinggan mangkuk sekaligus aku membersihkan dapur yang sudah berselerak. Semuanya aku letakkan ditempat yang aku ambil tadi. Barulah nampak kemas dan cantik seperti mula-mula aku melangkah ke dapur.

Bibik pula menghidangkan makanan untuk Ezran. Dia melarang aku membantunya disuruhnya aku duduk di sofa ruang tamu. aku hanya mengikut arahan bibik. Terasa macam tidak sedap badan. Kemungkinan aku penat sangat hari ini. Aku menghempaskan badan ke sofa..Ya Allah lega betul dapat duduk rasa macam hendak sangat  berbaring, sofa ni pulak empuknya kalaulah dapat letak kepala gerenti tidur.
******************
“Ibu..Ibu….” Terdengar suara bibik memanggil nama ku.

“Astagfirullah hal adzim…bibik..sekarang ni pukul berapa? Kenapa bibik tak kejut saya tadi.” Aku tertidur di sofa patutlah lena sangat aku tidur.

“9.30 malam bu… saya kasihan melihat muka ibu..capek bangat..Pak Ezran yang ngak mau saya mengejutkan Ibu.”

“Tak pe lah bik..mmm..bik ada panadol tak? Saya rasa macam nak demam pulak.” Tanya ku sambil memicit-micit kepala.

“Ada bu..ada…bentar..” Bibik menuju ke dapur mengambil panadol.

Ezran melangkah menuruni anak tangga. Dia hanya berbaju melayu dan berkain pelikat seperti baru selesai solat. Dia duduk di sofa bersamaku. Dia memandang muka aku dengan tanda tanya.

“Kenapa lemah je ni?” Tegur Ezran.

“Tak selesa badan……” balas ku.

Bibik datang membawa segelas air dan dua biji panadol. Aku menyambut air dan panadol yang diberikan Bibik.

“Sampai makan panadol ni…kalau macam ni jom pergi kliniklah…”

“Tak payah..nanti lepas makan panadol ..oklah ni..” aku menolak pelawaan  Ezran.

“Bapak…makanan sudah sedia ni.....ayuh makan..” Panggil Bibik.

“Jom makan….”

“Tima kasih jelah..saya nak balik dah ni…dah malam pun..”

“Jangan balik lagi…nanti lepas makan saya hantar awak balik…..kali ni tolong dengar cakap saya..kali ni je…” Rayu Ezran.

Oleh kerana badan aku yang rasa macam tidak berapa sihat aku dengar cakap Ezran. Lagi pula bila sudah malam macam ini aku pun takut juga hendak berjalan balik seorang diri. Ezran pula berkeras mengajak aku menemaninya makan. Aku  mengikutnya kemeja makan, bukannya kerja susah hanya  duduk di meja dan tengok dia makan. Kalau diajak aku pergi berperang itu lain lah pula ceritanya.

“Silakan makan bapak..ibu…” Kata bibik sambil menyendukkan nasi ke dalam pinggan.

“Bik..tak payah sendukkan nasi untuk saya..saya tak nak makan..” kataku menolak.

“Kenapa tak nak makan…rasalah sikit.” Pelawa Ezran.

“Saya tak nak…saya tak de selera….awak makanlah…bibik pun makanlah juga..rasa masakan saya.” Kataku pada Bibik.

“Ngak mau..ngak mau….Biar bapak sama Ibu makan dulu…”Bibik juga menolak.

“Tak pe Bik…duduk je kat sini..mari makan sama.” Ezran mempelawa Bibik.

Bibik akur dan terus duduk di meja makan manakala aku pula hanya melihat mereka menjamu selera. Ezran mengangkat ibu jari menunjukkan isyarat sedap untuk ayam masak kurma. Aku senyum sinis..sebab sebentar lagi dia akan angkat tangan isyarat surrender untuk acar buah.

“Ya Allah…Pedas giler acar buah ni..Bik..air..air..saya nak air…”

“Kok yang benar pedasnya bu…Bibik kira Ibu hanya bercandi tadi….ya ampun..bapak ngak apa-apa?” Bibik cepat-cepat memberikan air kepada Ezran. Risau Bibik juga dengan majikannya.

“Sesuai untuk mulut yang takde cop sirim..jangan marah nanti saya masak lagi pedas dari ni.” Kataku sambil mengangkat kening double jerk.

“Sampai hati awak…cilikan mulut saya secara tak sengaja macam ni..tengoklah Bik dia bukan sayang dengan saya ni.”

Bibik ketawa melihat kami yang seperti anjing dengan kucing. Aku pula sentiasa senyum dan senyum lagi sungguh puas hati dapat mengenakan Ezran. Selesai makan Ezran mengajak aku duduk di ruang tamu sementara bibik mengemas meja makan. Selang lima minit Bibik datang membawa sepinggan buah limau oren yang telah dipotong. Ezran terus mengambilnya satu dan menyuapkannya ke mulut. aku hanya melihat Ezran makan…dalam hati aku berkata kuatnya makan tapi badan tak juga gemuk…apa rahsianya? Rasa hendak bertanya tapi malu. Lupakanlah.

“Awak..ni CD untuk awak…ada masa awak tengok lah..?”

“Cerita apa ni?” Tanyaku.

“Awak tengoklah sendiri, mana boleh cerita..awak tengok la dulu..best cerita ni..” Kata Ezran.

“Oklah..nanti bila saya habis tengok…saya pulang semula ye…”

“Tak payah..CD ni saya bagi awak terus..”

“tima kasih…awak saya nak baliklah…”

“Cepatnya..tak puas lagi saya tengok awak…dah nak balik..jomlah saya hantar.”

Ezran memberitahu Bibik yang dia mahu menghantar aku pulang ke rumah. Kami sama-sama keluar dari rumahnya menuju ke kereta proton wira. Aku masuk ke dalam kereta duduk di sebelah Ezran. Fikiran tiba-tiba teringat kepada beg galas aku.

“Awak…beg saya mana…?” spontan aku bertanya.

“Ada..kat atas..awak nak beg..tu”

“Mestilah itukan beg saya….awak ada buka tak beg saya?....kalau boleh saya nak semula beg tu?”

“sumpah saya tak buka….awak tunggu sini..saya pergi ambil..kat atas..”

Ezran keluar dari kereta menuju masuk ke rumah. Tidak lama dia pun masuk semula ke dalam kereta bersama dengan beg galas. Dia memulangkan beg aku. Aku mengucapkan terima kasih yang teramat sangat kepadanya. Ezran mengundurkan kereta..perlahan-lahan kereta proton wiranya bergerak meninggalkan rumahnya.

“Sedap awak masak..kena dengan selera saya..perfect…Cuma acar buah pedas sangat.”

“Sengaja saya masak pedas untuk awak….” Aku membuat pengakuan. Aku memandang muka Ezran. Dia langsung tak marah dengan kenyataan aku.

“Awak kita pergi pusing-pusing bandar dulu nak?” Cadang Ezran

“ Saya tak larat la…penat sangat ni…tak rehat langsung hari ni.” Kataku dengan nada rendah.

“Dah tahu penat kenapa awak masak…bibik kan ada…biarlah dia buat.”

“Dalam perjanjian tak membabitkan bibik….awak nak saya yang masak bukan bibik…jadi saya tak nak langgar perjanjian”

“Saya tak tak suka tengok awak macam ni..lemah…tak macam selalu..gaduh-gaduh manja…lain kali kalau tak larat cakap..jangan paksa diri..saya rasa bersalah sebab suruh awak masak ari ni…kalau saya tahu saya takkan suruh awak masak…kita ke klinik ye..” Pujuk Ezran. dia ingat aku makan pujuk. Kirim salam.

“Tak payah..ubat demam saya ada lagi…tadi saya dah makan panadol ..esok okey lah ni.”kata ku menolak.

“Senang betul awak buat kesimpulan..kalau demam melarat macam mana?..risau saya…kalau demam teruk telefon ye jangan senyap je..”

“Tak payah..kalau saya telefon maknaya saya kalah betting ….biarlah saya tanggung sorang-sorang…pandai-pandailah saya nanti….”

“Awak ni ego tinggi menggunung…ciri-ciri degil memang banyak sangat.”

Ezran memberhentikan kereta dihadapan rumah sewa aku. Sebelum aku turun dia meletakkan tapak tangannya di dahi aku. Aku menguis tangan Ezran.

“Bukan Muhrim.…tima kasih hantar saya sampai ke rumah.” ucapku.

“Sama-sama…telefon saya kalau demam kuat!.”Pesan Ezran sebelum aku turun dari kereta.

Aku turun dari kereta dengan memegang beg dan CD ditanganku . Diana sudah membuka pintu,  menunggu aku dipintu rumah. Ezran menunggu sehingga aku masuk ke dalam rumah barulah dia bergerak balik ke rumah. Aku senyum tawar memandang Diana. Melangkah masuk ke rumah aku terus merebahkan badan ke atas sofa.

“Kenapa ni? Demam ye?”

“Ha a…..dah makan panadol tadi…ok dah ni….”

“Ok apanya..muka monyok semacam je..tak happy langsung.”

“Biasalah..jarang-jarang demam…bila dah demam macam nilah.”

Diana pula faham keadaan aku, dia membasahkan tuala diletakkan di atas dahi aku. Dia memicit-micit kepala aku. Aku berasa lega aku terlena di atas sofa sementara Diana menghamparkan narita untuk menemani aku tidur di luar.
****************
 Aku mengejutkan Diana, jam baru pukul 11.30 malam. Aku meminta Diana menghantar aku ke klinik atau ke hospital. Diana bingkas bangun, dia pergi keluar menghidupkan enjin kereta. Aku yang tidak berdaya untuk berjalan dipapahnya hingga ke kereta. Nasib baik kudrat Diana kuat. Diana masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil beg duit aku. Diana memandu terus ke Hospital.

Aku hanya ingat Diana memandu terus ke wad kecemasan. Diana membuka pintu kereta dan memapah aku sampai ke katil. Aku juga dengar suara Diana cemas. Lain-lain aku sudah tidak tahu apa yang terjadi.

“Doktor..tolong..dia demam sangat ni…”
*************************
Harap ada yang sudi membaca. Teguran anda amat saya hargai.

Tuesday, 6 December 2011

CINTA KFC 3- KAWAN....FIANCEE.....COUPLE...


Hari ini aku mengambil cuti selama lima hari bermula dari hari Rabu sehingga Ahad. Semua ini untuk membantu Diana menyiapkan keperluan bagi majlis pertunangannya nanti. Walaupun ini bukan majlis pertunangan aku, kegembiraan di dalam hati ini amat mekar sekali. Gubahan hantaran aku dan Diana yang menggilap idea. Pilihan warna tema gold untuk majlis ini sangat sesuai dan cantik.

“Ros, masa aku sibuk membeli alat-alat gubahan ari tu di KL, aku terserempak dengan Hadi. Jadi aku jemput dia sekali ke majlis ni. Dia kata nak datang sebab kebetulan dia  memang nak balik ke Temerloh” Diana mula menyingkap cerita lama aku dengan Hadi. Bila dengar nama Hadi aku terus hilang mood hendak meneruskan kerja. Idea yang dari tadi datang mencurah-curah terus padam.

“Kenapa kau ajak dia? Susahlah nanti, aku tak nak jumpa dengan dia.”

“Dia sekarang ni dah single balik, putus tunang kes curang. Dahlah tu Ros, apa yang dah lepas tu lepas. Sekarang buka buku baru. Kalau kau terus macam ni Hadi mesti ingat kau masih mengharapkan dia lagi. lagipun sekarang ni dia dah single semula.” Terang Diana.

“Aku dah lupakan peristiwa tu, aku tak mengharapkan dia langsung…sungguh... aku sentiasa berdoa supaya aku bertemu jodoh dengan orang yang baik-baik…tak nak macam Hadi.”

“Kau tau tak tunang Hadi yang memutuskan pertunangan mereka, sebab dia kata Hadi tak mampu nak berikan apa yang dia mahu dan dia dah jumpa dengan orang yang mampu memberikan segalanya untuk dia.” Dia dah mula nak ajak aku mengumpat. Inilah  part yang paling Diana suka.

“Bagus lah tu. Maksudnya sekarang ni aku dan Hadi… satu sama….seri. Dia dah rasa apa yang aku rasa. Walaupun aku tak berdendam… rupanya ada orang yang membalasnya….” Sambil mulut aku bercakap beserta tangan aku berjalan menggubah hantaran pertunangan Diana.

‘Dia ada kata yang dia dah menyesal buat kau macam ni. Kalau dia tahu jadi macam, ni dah lama dia pillih kau jadi peneman hidup dia.” Sambung Diana lagi.

“Tak de maknanya nak menyesal. Aku tak menyesal pun putus dengan dia. Aku bersyukur lagi adalah. Dia tu aku rasa spesis hidung belang. Pandainya dia mencari simpati. Dah..dah..kau tak payah termakan dengan cerita karut-marut dia tu. Kau nak tengok dia main-mainkan aku lagi ye? Cepatlah siapkan gubahan ni…kau juga yang nak bertunang bukannya aku…” Aku menggerlah Diana yang dari tadi asyik berborak sampai kerja tak menjadi.

“Ehhh….Dia cakap, dia nak cari kau balik.. nak sambung semula hubungan yang dah putus.”

“Sambung apa lagi…network aku memang dah tak boleh sambung-sambung dah..bluetooth pun tak boleh…aku dah tak pakai tower lama…aku tengah sain kontrak adakan hubungan yang tak rasmi dengan tower baru…”aku sengaja menggunakan ayat yang susah nak difahami.

“Sain kontrak??  Kau cakap apa ni? Kontrak apa pulak ni? Ada cerita yang aku tak tahu ke?” Bulat mata Diana memandang ke arahku.

“Ni lah yang aku nak cerita ni. Kau ingat tak mamat yang aku ceritakan dengan kau tempoh hari?”

“Ingat..ingat. Kenapa dengan Dia?” Diana seolah-olah tak sabar ingin mengetahui cerita.

“Aku dah tahu nama dia dan tempat kerja dia. Hari tu masa kau ke KL beli alat-alat tunang kau ni, ada keluar dengan, aku terpaksa sebab aku angkat panggilan telefon dia. Mana  aku tahu dia yang telefon aku  ingat kau yang telefon. Dia siap hafal alamat rumah sewa kita. Tup..tup.. dah terpacul depan rumah.”

“itu je?” soal Diana ringkas.

“Oii..sabar lah dulu..kok ye pun bagi aku telan air liur dulu. Kontraknya terjadi bila aku deal nak betting dengan dia sekiranya aku sakit aku takkan cari dia. Pasal betting tu aku tak jadi masalah. Sure aku tak cari dia punya. Lagi satu aku boleh tertinggal beg galas dalam kereta dia..menonong je aku terus jalan ke stesen bas. Dia pun apalagi ambil kesempatan atas beg aku yang tertinggal, dia tak nak pulangkan beg aku. Sekarang ni aku dah sain kontrak dengan dia. Ni memang kira bodoh punya kontrak.” Cerita ku panjang.

“Apa kau sain kontrak ada cop lawyer ke? kalau kau langgar kontrak tu?” Soal Diana hairan.

“Tak delah sampai melibatkan lawyer. Aku kena jadi tunang dia, terus kena kahwin dengan dia. Aku tak nak kawin kontrak….seksa jiwa raga.”

“Kalau macam tu kau kena mengelak, jangan jumpa dia.”

“Itu memang ada dalam perancangan. Tapi masalahnya dia lagi licik dari aku. Tau-tau ada je muncul  kat aku. Aku tak larat la macam ni asyik nak lari je. Aku nak berenti kerja la nak duduk kat kampung je nak cuba mohon jadi cikgu GSTT pula. Lagipun kau dah nak bertunang tak lama nak kawin, berpisah lah kita nanti.” Aku menceritakan perancangan ku.

“Kenapa macam putus asa je? Sikit punya hal. Kalau kau duduk kampung pun bukannya dia tak dapat cari. Sekarang dunia dah maju semuanya dihujung jari.”

“Sebab dunia dah maju baik aku cepat-cepat larikan diri dari Ezran ni. Aku rasa aku ni degil rupanya dia lagi degil dari aku. Adoii..macam bertemu buku dengan ruas….”kata ku lemah.

“Kau pun satu pantang dicabar, yang aku hairan kan kenapa kau keluar dengan dia? Setahu aku kau ni punyalah liat nak diajak keluar.. kau suka kan dia ye?” Diana memancing jawapan ku.

“Adalah sikit-sikit…tapi…”

“Kau takut jadi macam dulu….dengan Hadi? Hadi tu bodoh, tak pandai menilai. Dia tak nampak selama dia bercinta dengan kau..tak pernah pun kau minta apa-apa pun…dengan kata lain tak materialistic.” Diana mengumpat Hadi lagi.

“Dah la sebut nama Hadi….aku malas nak dengar…aku nak siapkan semuanya gubahan lepas tu aku nak makan pulak lapar…” kataku.
************************************************

“Dah siap tolong Diana menggubah hantaran?” Tanya emak padaku.

“Dah mak…”

“Telefon kamu tu asyik berdering dari tadi.”

“kenapa mak tak angkat je?”

“Mak angkat…kawan kamu Ezran yang telefon… dia kata kamu balas sms dia, tak nak angkat telefon... baik budaknya Ezran tu, pandai hormat orang tua walaupun hanya bercakap dalam telefon.”

“Ha a..ye la sangat mak..kalau dah kenal dia mesti menyesal punya!” Aku menyampuk perlahan supaya tidak didengari emak.  Pandai kau ye Ezran pancing mak aku pulak.

“Ros kena ingat, kalau berkawan dengan orang lelaki kena hati-hati, jangan mudah terpedaya. Kena selalu ingat kita orang susah, kita tak sepadan dengan orang kaya. Mak tak suka anak mak makan duit orang lelaki, apa orang sekarang ni kata ..yang ada daddy..daddy…” Nasihat emak kepada ku.

Aku tersentuh dengan nasihat emak, tetapi lucu pula bila mendengar emak tidak pandai hendak menyebut perkataan sugar daddy. Orang tua ni ikuti juga perkembangan zaman, hrmm kalaulah dia pandai melayari internet macam manalah agaknya.

“Sugar daddy mak….Ish minta simpang malaikat empat puluh empat orang nak berperangai macam tu…mak… anak mak ni waras lagi setakat hari ni. Lagipun mak, orang dengan budak Ezran tu bukan ada apa-apa pun, kenalan biasa je mak.” terangku supaya mak tak salah sangka. Tapi mak tak tahu pasal betting dan kontrak yang telah dimeterai antara aku dan Ezran.

“Mak tak kisah kalau anak mak ada buah hati, memang lumrah hidup manusia nak bercinta, kalau tak begitu..tak lah mak kahwin dengan abah.”

“Mak ni kira-kira mak dah bagi lampu hijau lah ye….yes..yes….boleh bercinta…”Aku sengaja mengusik emak. Percintaan aku yang dahulu dengan Hadi mak tahu, tapi dia tak bagi aku terlalu serius. Sekarang ni mak bagi pula lepas aku putus dengan Hadi. Firasat orang tua selalunya betul, mungkin mak dapat menjangka perangai Hadi.

“Sesuai dengan umur kamu….nak cari pasangan hidup, Diana pun dah nak bertunang…tapi anak mak ni tak de gaya pun lagi.”

“Mak tak de sape nak kat orang ni….perangai kasar….”

“Bagi mak anak mak ni lawa juga….macam muka abah…hidung mancung, muka bujur, kulit kuning langsat, tinggi sederhana, rambut lurus, mata bujur…dah lawa sangat bagi mak.

“Mak..mak…dah cukup pujinya..takut koyak pulak seluar ni..hehehe…”Gurau ku. Sakit pipiku dicubit emak.
*****************
Dihari pertunangan Diana aku antara orang yang sibuk seperti macam wedding planner. Diana meminta aku menemaninya duduk di bilik. Kalau hendak ikutkan hati, lebih baik aku membantu makcik-makcik membasuh pinggan di belakang rumah ada juga faedahnya.

Perbincangan antara kedua belah pihak baru bermula. Aku yang sudah berasa rimas menuju keluar rumah. Diana aku tinggalkan keseorangan di bilik, bukan ada orang nak kidnap pun. Sengaja mengada-ngada nak ditemankan. Nanti kalau dia dah kahwin nak kena aku teman juga ke? Aku tak nak tengok apa yang tak patut aku tengok..dosa… Ish..apa yang aku mengarut ni? aku berkata dalam hati.

Terasa lega betul bila berada di luar rumah, permandangan pun lawas. Orang ramai masih sibuk ada yang membasuh pinggan, ada yang makan, ada yang duduk berbual-bual beginilah kenduri di kampung.Hubungan antara satu dengan lain masih erat lagi. Gotong-royong masih menjadi amalan masyarakat kampung. Tapi ada yang tidak sedap dipandang bila yang bergotong-royong hanya golongan tua…yang muda mana? Hrmm orang muda semuanya berhijrah ke bandar.

“Ros! Kau tengok apa tu?” sergah suara seorang perempuan. Aku amati muka perempuan ni, aku kenal sah wati anak Mak Melah.

“Heyy..wati..Ya Allah lama tak jumpa… dah lawa kau sekarang ni tak macam dulu…Ehh!! Rambut pun dah lurus…cantiknya.” Puji ku pada wati. Waktu kami kecil dia antara teman sepermainan ku, tapi waktu tu dialah yang paling comot rambut kerinting berkutu pulak tu. Sekarang ni cantiknya bukan main.

“Yang kau ni pula…macam tu juga tak berubah,, kenapa tak nak make up sikit..calit-calit apa yang patut..bukannya tak cantik.. tapi tak pandai nak hargai kecantikan..tengok aku ni menghargai kecantikan.” Wati dah mula mengeluarkan perangai sebenar disebalik kecantikannya. Mulut dia memang laser.

“Sebab aku hargai kecantikan la aku tak make up…kalau make up pun bukannya cantik sangat ..macam hantu... bila dah tanggal make up.. macam jerangkong…heheheh..” Mulut aku yang memang boleh tahan pula bercakap. Wati terus menarik muka masam.

“Kau ni memang… mulut macam longkang…..”Wati bengang dengan kenyataan yang aku keluarkan.

“Tapi hati aku suci beb!” Aku main-mainkan wati.

Kami sama-sama ketawa, bengang Wati biasanya sekejap sahaja. Dia takkan ambil hati dengan apa yang aku cakap. Wati mengajak aku menjamu selera tapi aku menolak sebab aku dah kenyang.

Ramai orang yang duduk di bawah pokok Mangga memanggil namaku. Nampaknya geng-geng makcik Gayah Gosip ada di situ. Hmmm..mesti ada cerita baru. Aku tahu dia mesti hendak bertanya pasal majlis pertunangan  Diana, berapa hantaran, berapa belanja, bila kenduri kawin macam-macamlah nanti ditanyanya. Tidak sanggup aku hendak mendengar, macam CSI.... kalau CSI patutlah mereka ada gaji. Aku membalas dengan menunjukkan isyarat tidak boleh. Lebih banyak hal lain yang lebih berfaedah yang aku hendak buat.

Waktu aku sekolah Menengah, Makcik Gayah selalu juga bertandang  ke rumahku membawa gosip-gosip terkini. Mak aku pula hanya mengangguk-angguk mendengar cerita dia. Aku memang tidak berkenan dengan aktiviti membawa mulut ni. Tempat dia bergosip biasanya atas pangkin di bawah pokok Duku tepi rumah aku. Satu hari, pada cuti pertengahan tahun, aku tunggu kedatangan Makcik Gayah membawa gossip.

Aku nampak dari jauh dia datang. Aku sudah bersedia hendak mengenakan Makcik Gayah. Sedang Elok dia duduk dipangkin dan mula bergosip, aku pun datang membawa Al-Quran. Aku duduk diantara mak dengan Makcik Gayah,  aku terus membaca Surah Yassin. Terdiam Makcik Gayah, dari bersemangat hendak bergosip terus hilang semangat. Muka Makcik Gayah pudar melihat gelagat aku. Mak aku pulak mencuri-curi mencubit peha aku, marah dengan sikap aku. Tapi aku tidak peduli, akhirnya Makcik Gayah meminta diri untuk pulang. Sebulan Makcik Gayah tidak bertegur sapa dengan mak aku, dikatanya pada orang kampung mak aku tidak pandai mendidik anak dan hampir setahun Makcik Gayah tidak berkunjung ke rumah aku kerana peristiwa Al-Quran.

Di kanopi depan aku nampak seseorang yang kenal. Terbantut niat aku pergi kanopi untuk beramah mesra dengan orang-orang di situ. Hrmm lagak aku yang dari tadi seperti YB yang sentiasa  sibuk ke sana ke sini. Lebih baik aku masuk ke dalam rumah sebelum makhluk yang ada di bawah kanopi nampak aku. Getus hati aku.

“Diana pebincangan tu dah siap…kejap lagi kau kena keluar…nak sarung cincin pula.” Kata ku menyuruh Diana bersedia.

“Hah! Baru muncul..pergi ke mana tadi?” soal Diana hairan.

“Pergi beramah mesra dengan rakyat jelata kat luar tu.” Gurau ku.

“Berangan la kau! Jomlah orang dah panggil tu.”

“Kau je lah yang pergi…karang tersarung salah jari…sian kau.” Kata ku main-main.

“Kenapa pula salah jari?” soal Diana hairan.

“Ye lah nanti mak Khai ingat aku ni bakal menantu dia. Aku tak nak la jari aku yang runcing ni jadi mangsa.”

“Lawak bodoh…” kata Diana sambil menarik tanganku keluar menemaninya.

Diana duduk bersimpuh di hadapan emak Khai, aku pula duduk bersimpuh disebelahnya. Seksa betul kena control ayu macam ni, kalau boleh bersila macam ala-ala pahlawan melayu alangkah bagusnya. Diana bersalam serentak mencium tangan bakal ibu mertuanya itu. Cincin permata satu tersarung di jari manisnya. Termeterailah janji pertunangan antara Diana dan Khai. Aku yang melihatnya terasa macam mengusik perasaan, terbayang kalau aku yang bertunang. Sempat-sempat je nak berangan tengah-tengah orang ramai.

Diana sedang bergambar untuk kenang-kenangan bersama-sama kedua-dua belah pihak. Aku juga turut sama bergambar. Wajah Diana memang gilang-gemilang hari ini macam pelangi warnanya. 

“Diana saya pun tumpang bergambar juga…tapi dengan Ros!” Aku terkedu bila nama aku disebut.

“Hadi!!” kataku

“Kenapa salah ke?” Tanya Hadi. Diana membiarkan aku dan Hadi, dia sibuk bergambar dengan ahli keluarganya. Ciss!! Berjumpa juga aku dengan Hadi.

“Kenapa datang sorang..tak bawa tunang?” kataku seperti memerli.

“Takkan Diana tak cerita..saya dah putus tunang.”

“Tak..” Aku tipu Hadi.

“Ros…lepas kita putus..awak tukar nombor telefon awak ye?”

“Tak….” Ringkas sahaja jawapan aku.

“Saya telefon awak.. tapi tak dapat.”

“Handphone saya tengah charge la tu…tingkatkan usaha…dial lagi.” kata aku yang memang tak boleh nak serius langsung.

“Esok hari Ahad, cuti lagikan? Free tak? Saya nak ajak awak keluar.”

“Saya tak Free, saya ada hal dengan kawan.”

“kalau macam tu lain kali lah kita keluar ye..” cadang Hadi lagi.

“Lain kali pun saya tak free…sentiasa ada hal.”

“Marah betul bunyinya awak dengan saya.”

“kenapa pulak saya nak marah..tak de kerja…tak pe lah saya nak kebelakang dulu…ada orang panggil tadi.” Kataku meminta diri dengan cara tak formal. Aku terus berjalan ke menuju ke belakang rumah Diana.

Apalah Hadi ni.. hendak mengajak aku keluar pula, dulu dia juga yang yang kata aku tidak sepantas bakal tunang dia. Sekarang sibuk pulak hendak mengajak keluar, buang masa melayan orang macam ni. hendak sangat orang menghargai diri dia, tapi dia langsung tidak hargai orang lain. Aku mengomel sendiri.
***********

Sampai di rumah aku terus merebah badan di atas katil, memang best sangat bila dapat meluruskan pinggang setelah seharian membantu Diana. Azan Asar sudah berkumandang di masjid. Aku kenalah menunaikan perkara wajib ini dulu, lepas ini baru sambung berehat.

Selesai solat aku berbaring semula. Sunyi suasana rumah ini, mak dengan abah pergi melawat wan aku yang tidak sihat. Hari ini aku tidak berkesempatan hendak melawat wan aku. Mungkin esok aku akan pergi. Aku sayang wan aku kerana dialah satu-satu nenek yang aku ada.

Handphone aku belek manalah tau kot-kot ada sms masuk. Betul telahan aku, sms dari Ezran pun ada juga. Yang lain-lain dari teman-teman sepejabat pun ada. Lepas kes betting-betting tempoh hari, aku tertarik sangat hendak membaca sms yang dihantar oleh  Ezran. semenjak hari itu juga Ezran dah tidak menefon aku lagi hanya sms sahaja yang dihantar.

Dalam hati aku ni macam sudah ada mekar setaman bila teringatkan Ezran. Nekad aku, walau suka macam mana pun aku dekat Ezran aku tidak akan tunjukkan. Sekarang aku dah tukar prinsip, biarlah ego tinggi macam gunung.

“Assalamualaikum..” Suara dari luar rumah. Tidak sempat lagi aku nak berangan.

“Waalaikumsalam.” Aku keluar melihat siapa yang datang.

“Makcik Gayah…mak tak de kat rumah, dia pergi rumah wan…tengok wan demam.”

‘Takpelah..saje je kebetulan makcik lalu kat sini, singgah kejap kat sini.”

“Kebetulan ke saja-saja buat kebetulan makcik?” soal ku sengaja buat-buat bodoh.

“Kau ni kan..aku cilikan mulut tu baru tau. Dahlah aku malas nak layan kau. Aku nak balik dulu.” Marah makcik Gayah.

“Assalamualaikum Makcik..bye..bye.”

Eleh macam la aku tidak tahu, mesti ada cerita yang nak disampaikannya. Perangainya tidak  ubah-ubah dari aku kecik sampai aku sudah besar panjang, itulah kerjanya. Kalau bab menyiasat hal orang memang pro sangat. Makcik Gayah yang sudah beberapa kali berganyang dengan orang-orang kampung tapi masih tidak serik-serik. Insaf aku menengok perangai orang macam ini.
*********
Aku mencium pipi emak, beg aku dah pun aku letakkan dalam boot kereta myvi Diana. Emak perasan ada yang kurang padaku.

“Ros..mana beg galas? Tak nampak pun..biasanya tak pernah tinggal.” Tanya emak hairan.

“Ada..tak bawa tinggal kat rumah sewa.” Aku membuat helah. Emak mengangguk faham.

Aku masuk ke dalam kereta dan melambaikan tangan selamat jalan kepada emak dan abah. Jari manis Diana ku pandang. Cantik cincin tunang Diana, teringin aku nak cincin macam ni. Tapi kalau aku bertunang aku tidak mahu cincin emas, aku mahu cincin berlian baru cantik. Biar meleleh air liur Makcik Gayah membawa cerita ke sana ke mari… aku bertunang dapat cincin berlian…baru gempak. Aku ketawa kecil dengan angan-angan ku.

“Hoi! Ketawa sorang je…kongsi sikit cerita dengan aku.” Sergah Diana.

“Aku tengah berangan merancang majlis pertunangan aku nanti….”

“Kau tak cerita pun dengan aku…bila kau nak bertunang..dengan Hadi ke?”

“Bulan Disember tahun belum tentu lagi…bakal tunang tak tahu sape… mungkin jodoh aku On the way lagi.”

“Bercakap dengan kau ni tak pernahnya nak serius..main-main je..aku tinggal kau kat tepi jalan baru kau tau.” Gertak Diana. Tapi aku tak pernah takut dengan gertaknya.

“Tadi yang aku ketawa tu berangan je…salah ke..nak layan perasaan.”

“Kau memang kuat berangan…Hadi cakap apa hari tu?”

“Ajak aku keluar…aiyoo itu orang dah ludah nak jilat balik…bengong…Sori la..dia salah orang..memanglah aku ni macam bodoh-bodoh alang sikit..tapi tak lah sampai tak de prinsip hidup.”

“Aku tau sangat…muka je ganas..dalam hati ada mekar setaman…kih kih..kih..” Ketawa Diana.

“Nasib kau faham….penatlah esok nak kerja pulak..kan bagus kalau duduk goyang kaki kat rumah…tapi duit sentiasa ada..tak payah nak susah-susah cari duit.” Aku berangan lagi.

“Duduk kat rumah pun kena buat kerja juga..takkan nak biar rumah bersepah…” Sampuk Diana.

“Hrmm..terimalah kenyataan..kalau nak duit kena kerja…” Kenyataan yang aku keluar untuk  diri sendiri.

Perjalanan kami dah sampai ke Jerantut, sebelum balik ke rumah aku mengajak Diana membeli makanan untuk malam nanti. Diana terus memandu masuk ke bandar Jerantut.

“Aku nak makan KFC je malam ni…kau?”

“Sama…ikut je..janji tak payah masak. Kau turun pergi beli ye..aku tunggu dalam kereta.” Diana memberhentikan kereta di depan KFC.

“Ok..ok…No hal. Ari ni aku belanja..sian kau..dah banyak abis duit untuk majlis tunang”. Kataku sanggup.

Restoran makanan segera itu aku tuju. Laju kaki aku melangkah supaya cepat sampai. Dari cermin luar restoran kelihatan tidak ramai orang di dalamnya. Bagus, cepatlah aku dapat order nanti. Kata hatiku. Kaunter… tempat yang aku terus tuju, memang aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan. Biarlah orang hendak tengok aku, bukannya hot sangat pun aku ni. Kataku dalam hati..perasan lagi.

“Saya nak Dinner plate dua..bungkus” kataku kepada budak kaunter.

“Ok…ada apa-apa lagi cik?” Tanya budak kaunter.

“Itu saja.”kataku. aku berdiri ditepi kaunter menunggu order.

“Adik kaunter!! Order cik baju biru tu biar saya bayar.” Aku kerling.. Ezran sudah ada disebelahku.

Aku memandang Ezran dengan muka tidak puas hati. Ezran buat-buat bodoh macam tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia terus ke kaunter membayar harga KFC 2 set yang aku order. Aku yang ada di tepi kaunter menggigit jari.

“Ros..jom duduk..kejap je” Kata Ezran.

“Awak pergi mana? Sms satu pun tak balas. Biasanya ada juga yang awak balas setidak-tidaknya satu. Risau saya.”

“Balik kampung. Saya tak boleh lama. Diana tunggu dalam kereta.”

“Cik..dah siap.” Panggil budak kaunter.

Aku dan Ezran sama-sama bangun tapi Ezran lebih dahulu mengambil bungkusan KFC, diberikan pada ku.

“Siapa tu Encik Ezran? beria-ia benar Encik Ezran ambil berat.” sempat lagi budak kaunter bertanya kepada Ezran. Kenal pulak budak ni dengan Ezran.

“Tunang saya.” Kata Ezran sambil tersenyum ke arah budak kaunter. Bila dia berpaling menghadap aku, dia mengangkat kening seraya tersenyum puas hati.

“Kita memang berjodoh! Instinct saya kuat mengatakan akan berjumpa awak disini.” Kata Ezran seakan berbisik.

“Hrmm…saya pun rasa macam tu.. kita memang berjodoh untuk bermusuh…disebabkan dalam KFC ni saya tak nak buat spoil kat sini…terima kasih sebab belanja saya. Maknanya saya hutang awak satu.” Kataku yang juga seakan berbisik sambil mengetap gigi.

“Awak jangan lupa kontrak kita dah start…hrmm…segala janji perlu dipatuhi.” Beritahu Ezran lagi.

“Pasti saya akan patuhi. Assalamualaikum. Terima kasih sekali lagi.” kataku perlahan.

“Sayang! Hati-hati..Dah sampai rumah bagitau!” Kata Ezran dengan nada agak kuat. Aku rasa dia sengaja membuat aku marah dan malu.

Lantaklah kau Ezran, yang penting perut aku boleh kenyang malam. Aku sudah tidak kisah dengan kau. Kita sama-sama degil hendak buat macam mana. Aku masuk ke dalam kereta, Diana memandang aku seperti ada udang disebalik batu.

“Jumpa buah hati ye?”

“itu bukan buah hati….menyakitkan hati namanya. Tapi ni dia yang belanja.”

“hrmm..itu sudah bagus…ini jodoh bukan musuh…hehehe.”

“Banyak la jodohnya…jom la balik!”
****************

Kontrak antara aku dengan Ezran sudah pun bermula. Ada beberapa perjanjian yang aku ingat antaranya kena tolong dia kemas rumah, tolong masak untuk dia, temankan dia pergi makan…ishh!! Banyak lagi lah. Tapi itu semua mengikut kehendak dia. selagi tidak keterlaluan aku boleh buat. Kalau sudah melampau buat aku macam hamba abdi,  makan juga penumbuk si Ezran ni nanti.

Sungguhpun begitu semenjak akhir-akhir ini aku sudah berasa agak selesa apabila bersama Ezran. Ada kalanya aku sudah mula teringat-ingatkan dia. Mungkin aku sudah jatuh cinta agaknya, kalau tidak masakan aku ingatkan dia. Haishh!! Aku pula memang cepat sangat cair bila tengok yang jenis muka ala-ala korea ni..aduhai  Lee Min Ho… Arghh!! Tak mungkinnn.

Malas hendak berfikir pasal hal ni, aku melayan drama bersiri korea Secret Garden. Penuh perasaan aku menontonnya, boleh pulak bertukar-tukar roh…bila hujan turun roh mereka berdua akan bertukar…dari situlah mereka mula memahani perasaan masing-masing..dari benci jadi jatuh cinta. Yang si lelaki ni kerek gila, maklumlah orang kaya. Tapi boleh menjadi seorang pencinta yang sangat setia dengan cintanya. Hrmmm…..seronoknya.

“Ros…masuk tidur…jangan nak berangan dengan drama korea tu…esok nak kerja!” Arah Diana kepadaku seperti aku budak umur sepuluh tahun.
*********************

Harap ada yang masih sudi membacanya. Berikan teguran sewajarnya.