BAB 7
Seperti yang telah dijanjikan oleh Doktor Erlanda, hari ini aku boleh pulang ke rumah. Gembira tak terkata di dalam hati. Diana membantu aku mengemas barang supaya tidak ada yang tertinggal. Diana sudah berjanji akan belanja aku makan, mintalah apa saja semuanya akan ditunaikan. Katanya nak meraikan aku yang sudah sembuh. Aku bercadang nak minta kambing Panggang dan Nasi Pilaf.
“Kok ye pun mintalah benda yang ada kat sini.Sini bandar kecik je weh. Kalau KL lainlah. Bongok la kau ni.” Marah Diana.
“Aku gurau je.. kau tu yang cepat emo.. hehehe.. KFC dan Strawberry Float.. okey?” Tanya ku tersengih sambil mengangkat kening. Makan free siapa tak mahu, rugilah.
“Kalau yang tu boleh…” Giliran Diana tersenyum. Semua barang dan beg sudah siap dikemas. Hanya menunggu kebenaran untuk discharge je. Tak sabar-sabar rasanya nak keluar dari penjara hospital ni.
Kak Ju jururawat bertugas membawa discharge note dan MC. Aku meneliti MC yang dikeluarkan oleh Doktor Erlanda.. ya menepati janji.. yess! Kataku dalam hati.
“Hai senyum sorang nampak. Maklumlah yang mengeluarkan MC buah hati. untunglah badan. mintak je berapa hari yang nak.”
“Haish! Mana boleh macam tu, boleh dikira tak beretika tu.” Kataku serius memandang muka Diana yang sedang mencebikkan bibirnya.
“Oh! Kiranya tak nak ambil kesempatanlah ye?”Tanya Diana.
“Tau tak pe. Aku budak baik, budi pekerti pun baik kira-kira semuanya baik-baik belaka. Itulah aku.” Kataku memuji diri sendiri.
“Aduh! Tetiba je aku jadi tak sedap perut. Tekak aku ni rasa macam nak muntah la pulak bila mendengar kau cakap macam tu.” Diana memerli aku.
“Kau mengandung tak? Tu pasal mual-mual.” Aku mengenakan Diana.
“Ni satu soalan bodoh. Bila masa pulak aku mengandung, kawin pun belum. Mengarut alam sekitar betullah kau ni.” Kata Diana.
“Ok! Beg pun semua dah siap. Jom kita bergerak.” Kataku.
Sebelum keluar dari wad aku bersalam dengan semua jururawat yang berada di Wad Anggerik. Aku juga mengucapkan terima kasih kerana menjaga aku dengan baik. Kak Ju wakil dari pihak mereka memohon maaf atas kekasaran Elya ke atasku tempoh hari. Aku mengatakan aku sudah melupakan hal itu walaupun sebenarnya ia akan menjadi kenangan dalam hidup aku sampai bila-bila. Bagi aku ada masanya kita perlu menyembunyikan perasaan kita yang sebenar demi menjaga hati orang sekeliling kita.
“Ros jangan lupa jemput kami kalau bertunang dengan Doktor Erlanda nanti.” Pesan Kak Ju kepadaku. Diana membulatkan mata memandang ke arah. Riak air muka Diana penuh tanda tanya. Aku buat muka selamba dan menganggukkan kepala.
“Pasti tak lupa… akak cakaplah dengan Doktor Erlanda juga ye..” Kataku mengingatkan Kak Ju. Wah..wah.. pandai betul aku berlakon. Dia tidak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Sedangkan Diana kawan baik aku sendiri tidak tahu aku akan bertunang Doktor Erlanda. Aku dan Diana meminta Diri untuk beredar dari Wad Anggerik.
Semasa kami berjalan Diana tiba-tiba memegang dahi aku. “Aku dah sihatlah.. tak demam dah.” Aku tersenyum memandang Diana.
“Kau tak cerita pun kat aku nak bertunang dengan Doktor Erlanda tu.” Kata Diana.
“Jap!! Aku dah keluar dari hospital.. dah tak de Doktor Erlanda.. yang ada sekarang ni Ezran.. tak kuasa aku nak ber-doktor doktor .. aku nak panggil dia Ezran je.” Kataku kepada Diana.
“Kenapa kau tak cerita dengan aku kau nak bertunang?” Tanya Diana yang masih tak puas hati.
“Itu bukan perancangan aku, Ezran yang buat statement tu masa Elya tampar aku. Ni yang aku tengah pening ni… nak cakap aku cinta dia.. aku tak cinta.. nak cakap aku suka dia..adalah sikit-sikit, aku pun pening dengan situasi aku sekarang ni. Lagi satu macam mana aku nak cerita pada mak abah aku.” Kataku sambil mencebikkan bibir.
“Alah bukannya susah pun kau ceritalah dengan mak kau yang kau nak bertunang dengan Ezran. Habis cerita.”
“Ehermm.. senang betul mulut kau bercakapkan. Diana.. jap..jap ada sms masuk..” Aku mengeluarkan Handphone dari poket seluar terus membaca sms yang diterima. Aku memegang tangan Diana supaya berhenti berjalan sebentar.
“Siapa?” Tanya Diana ringkas.
“Jom ke café jap… Ezran dah tunggu kita kat situ.”
“Aikk.. pelik ni biasanya kau asyik mengelak je dari bertemu dia.. hari ni siap boleh pergi kat dia pulak.. ini memang luar biasa.” Diana memerli aku sambil ketawa seperti ada sesuatu yang menggeletek badannya.
“Aduh.. sakitnya telinga aku mendengarnya.. tak tahan..tak tahan.. ni kes budi punya pasal... kau tak nak jaga aku.. nilah jadinya.” Kami terus berjalan menghala ke café. Sambil berjalan kami terus berbual tidak menghiraukan orang kiri dan kanan.
“Ehh!! Bukan aku yang tak nak jaga kau. Doktor Erlanda yang suruh aku balik malam tu.. dia kata jangan risau sebab dia ada boleh tengokkan kau… aku hanya menurut perintah doktor. Itu aje. Aku tak sempat nak bercerita hal ni dengan kau tempoh hari.” Diana memberitahu cerita sebenar.
“Ya Allah.. macam tu ke kisahnya. Kau tau tak sampai ke pagi dia jaga aku. Malu betul aku.” Kataku mengaku.
“Dia betul-betul sukakan kau. Kau terima jelah dia.” Diana membuat kenyataan. aku hanya mengelengkan kepala tanda tidak setuju dengan kenyataan yang Diana keluarkan. Kami sudah sampai di café. Aku dan Diana memandang sekeliling, ternampak Ezran sedang di duduk di sudut café. Kami terus berjalan ke arahnya. Dah la bakul dengan beg pun kami bawa sekali.. kenapalah tak terfikir nak hantar barang ni ke kereta dulu.. ada juga bodohnya aku ni.
“Assalamualaikum..” Aku menyapa. Ezran menjawab salam dan mempelawa aku dan Diana duduk. Kami menurut hanya menurut perintah.
“Sorrylah Diana menyusahkan awak hari ni, terpaksa ambil Ros kat sini.. sepatutnya saya yang hantar dia balik.. Eh! Korang tak nak minum ke..makan ke?” Ezran mempelawa kami manakala kami tidak menjawab hanya mengeleng-ngelengkan kepala tanda tak mahu.
“Aku tak kisah pasal tu langsung tak de masalah. Tapi adalah satu benda yang aku tak puas hati ni. Korang tak cakap dengan aku pun yang korang nak bertunang.”
“Oh! Pasal hal tu.. betullah.. Dia kalah betting.. dia kenalah tunaikan janji” terang Ezran kepada Diana.
“kontrak dah dipersetujui.. betting pun dah kalah.. betullah tu kena tunai janji. Cinta boleh dipupuk kemudian.” Pandai-pandai Diana mengatur hidup aku. Dia pasti ke aku nak sangat ke doktor depan mata ni.. haish!!!
“Alah bertunang je bukan kena kawin pun…” Selamba aku menjawab sebenarnya ada juga part yang aku tak tahan bila dihentam begitu. Aku terus menarik muka masam.
“Ros..Aku nak ke toilet…. Kejap ye..” Diana terus melangkah mencari tandas, aku ditinggalkan bersama Ezran. Ezran merenung muka aku yang masam seperti tiada perasaan.
“susahnyalah nak cairkan hati awak ni… susah ke awak nak terima saya ni?” Ezran bertanya.
“Encik doktor, kita ni macam enggang dengan pipit. Sedar tak? Langsung tak sepadan. Tahu tak tahap akademik saya sampai SPM je.” Terangku.
“itu semua tak penting. Awak nak jadi tunang saya pun dah cukup. Saya lansung tak memandang itu semua.” Terang Ezran
“Macam ni… saya tahu kontrak saya dengan awak masih berjalan… saya setuju jadi tunang awak. Saya tak nak juga jadi orang munafik tak menepati janji.” Kataku sambil bangun mengangkat semua barang-barangku. Diana ni kalau ke tandas memang lama entah apalah yang dibuangkannya sampai lama begini. Ezran membantu aku mengangkat barang.
“Awak ni memang degil.. tengok barang-barang ni semua awak nak angkat sendiri, dahlah baru je sembuh.. susah hati saya kalau awak sakit.. makan minum saya semuanya tak tentu hala.. jom saya hantar ke kereta.” Ezran membebel. Aku hanya buat-buat tak tahu, mata aku memandang sekeliling café. Ada juga mata yang memandang aku dengan doktor ni dari jauh. Biarlah diaorang nak pandang bukan kena denda pun.
“Tapi Diana belum keluar lagi dari tandas…kita tunggu dia dulu..” aku mengingatkan Ezran.
“Saya tak nak tunggu dia.. saya berjalan berdua dengan awak je.. jomlah..”
“Haish.. mengada-ngadalah pulak..saya ni semangat setia kawan tinggi… haa..tu dia keluar dah pun” Diana berjalan melenggang lenggok ke arah kami. Diana ni kalau berjalan memang ala-ala model. Aku dan Ezran masih terpacak menunggu di tepi meja.
“Amboi lama betul ke tandas.. berapa banyak pelaburan kau buat?” Soalku sambil tersengih nakal. Diana yang malu-malu menampar pipi aku perlahan. Ezran pula sedikit tergelak mendengar pertanyaanku.
“Eeeii… tak senonoh.. malu kat doktor tu.” Diana menjawab. Aku hanya ikut sedap mulut je apa yang aku nak cakap langsung tak mengira siapa yang berada dekat denganku. Aku tersengih sambil memandang Ezran.. lambang peace dijari kutunjukkan kepada Ezran.
“Saya tak kisah… dia ni memang macam nikan… ikut suka dia je nak cakap apa… jomlah! Kita ke kereta.. nanti saya nak bertugas pulak…” Ezran mengajak kami berjalan keluar dari café. Beg dan bakul semuanya di tangan Ezran. Diana hanya berjalan melenggang aku pula menggalas beg kesayanganku.
“Hai untung betul ada buah hati doktor ni... Layanan memang terbaik.. confirm doktor lulus kalau ditemuduga mak ayah Ros untuk jadi calon menantu dia…hehe” Diana seolah-olah memerli aku. Aku menjeling ke arah Diana sambil menggetap bibir..Geramnya!!
“Saya dah bercakap dengan bakal mak mertua saya masa dia masuk ke hospital ni.. bakal mak mertua saya memang marvellouslah.. baik betul.”Aku mengalihkan pandangan ke muka Ezran memandang seperti tak puas hati. Tapi aku malas nak ambil kisah apa yang dia bualkan dengan mak aku. Ikut suka kau la Ezran.
“Kau dengar tu Ros betapa seriusnya Ezran ni nakkan kau.. yang kau ni keras sangat hati kenapa? Aku ingat kau ni kena mandi bunga la.. bagi semangat untuk bercinta pulih balik” selamba Diana mengenakan aku didepan Ezran.
“Diana kau pernah dengar tak orang makan pasu bunga?” Tanyaku serius seolah-olah perkara itu pernah terjadi sebelum ini.
“Ish awak ni mana ada orang makan pasu bunga.” Ezran mencelah. Kami bertiga berhenti seketika. Mungkin kerana mereka terkejut dengan pertanyaanku.
“Nilah yang saya nak bagi tau ni… mungkin hari ada yang akan makan tengahari pasu bunga cecah tanah hari ni.” Aku ketawa, Diana pula sudah faham yang aku maksudkan dia yang akan makan pasu bunga lantas lenganku dicubit. Ezran masih lagi terkebil-kebil tidak faham.
“Tak usah layanlah dia ni doktor.. dah gila agaknya.. atau salah makan ubat.” Kata Diana bercampur bengang.
“Ohh! Faham..faham..”Cepat Ezran mencelah lagi. aku lihat Ezran tersengih. Diana pula seakan merajuk dengan gurauanku.
“Janganlah merajuk..aku gurau je.. nanti kita pegi beli lollipop ye…” Aku mengusap-usap belakang Diana, dia mencubit lenganku sekuat hatinya. Ezran ketawa melihat aku yang kesakitan dicubit Diana. Kami sampai tempat parking kereta. Diana membuka boot kereta, Ezran terus meletakkan barang ke dalam boot.
“Doktor hantarlah sendiri budak degil ni balik ke rumah… saya tak nak tumpangkan dia balik..” Kata Diana memandang ke arahku. Aku tahu giliran dia untuk mengenakan aku lagi.
“Kalau tak nak tumpang tak pe saya balik jalan kaki… Eh!! Doktor..Elok rasanya doktor menyambung tugas semula…bimbang nanti ada yang komplen doktor tuang kerja..” Aku menyuruh Ezran pergi dengan cara agak sopan. Sebenarnya aku risau juga sekiraya ada mata-mata yang tidak puas hati memandang dan sengaja mencari kesalahan.
“Oklah Diana.. Thanks a lot..sebab tolong ambil SAYANG saya and awak pastikan dia selamat sampai ke rumah… awak.. take care.. berat hati saya nak bagi awak balik… esok saya datang rumah awak ye…ok Assalamualikum..” Ucap Ezran.
“Waalaikumsalam..Awakkk….take care jugak..jaga makan minum…” Pesan aku kepada Ezran. Dia mengangguk faham. Dia berjalan meninggalkan aku dan Diana. Aku setia menunggu hingga Ezran sudah tidak kelihatan lagi. Diana juga seperti faham perasaan aku walaupun aku tidak tunjukkan apa yang ada jauh di dalam lubuk hati aku.
“Ehemm… buah hati dah bertugas semula tu… jomlah kita balik..esok boleh jumpalah…” Kata Diana. Aku mencebik memandang Diana.
*****************
Resah hati aku menunggu kedatangan Ezran ke rumahku. Mak dan Abah juga turut menantikan kedatangan Ezran. Seperti biasa mak dan abah siap menyuruh aku masak untuk makan tengahari untuk menyambut kedatangan Ezran. Amboi..amboi mak abah aku ni dah lebih ni. Sikit-sikit sudahlah ajak minum air the ‘o’ cecah biskut kering pun sedap apa. Mahu tak mahu aku kena ikut arahan big bos in the house. Kalau aku tak ikut alamatnya pecah gegendang telinga aku mendengar bebelan yang tak henti-henti tujuh hari tujuh malam.
Hidangan wajib menyambut tetamu datang kerumah ialah Gulai Masam Tempoyak. Ini dah jadi macam hidangan tradisi untuk keluarga kami bila tetamu berkunjung. Mentang-mentanglah mak aku tauke tempoyak sekali musim durian beratus-ratus kilo dia produce tempoyak. Tapi yang bagusnya tempoyak dia memang mendapat sambutan hangat dan laris sekali.
“Pukul berapa kawan awak nak sampai? Ni dah dekat waktu makan tengahari dah ni.” Mak bertanya.
“Kejap lagi sampailah tu mak… tak usah risau la.. pandai-pandailah dia nak cari jalan mak..dah besar panjang pun…”Jawabku acuh tak acuh.
“Hai… kawan nak datang rumah pun tak suka.. dia dah banyak tolong awak tau.. setidak-tidaknya awak mesti hargai dia.. awak ingat senang ke nak cari kawan yang boleh tolong menolong macam tu.. dah lah selama awak kat hospital mak langsung tak pergi jengok.. nasib baiklah kawan awak ni ada menolong siap bagi tau dengan mak jangan susah hati dia boleh tengokkan awak.” Mak dah mula memanaskan enjin turbo bebelannya. Abah yang duduk di sebelah mengiyakan apa yang mak katakan. Ramai betul yang memenangkan Ezran. Tapi satu je yang aku harap janganlah Ezran membuka kisah untuk bertunang. Aku betul-betul tak bersedia nak jadi tunangan orang. Lagi satu mesti mak aku akan terkejut sebab langsung tak de angin sepoi-sepoi bahasa dari aku nak bertunang. Walau apa pun aku kena juga tunggu apalah yang akan berlaku lagi.
“Ye mak..orang hargai sangat bantuan dan jasa baik yang kawan orang ni berikan.. kalau tak takkan orang bagi dia datang rumah jumpa dengan mak dan abah…” Aku akur walaupun dalam hati ada bantahan. Kalau nak ikutkan hati nak je aku ceritakan yang sebenarnya.
Sebuah kereta Mistubishi warna merah yang ku kenali masuk ke halaman rumah. Ezran meletakkan kereta betul-betul dihadapan halaman rumahku. Kalaulah ditakdirkan Makcik Gayah lalu kat depan rumah aku, confirm jadi berita hangat tajuk utama dalam minggu ni.
Aku ke pintu rumah, mak dan abah bersamaku menyambut kedatangan Ezran. Aku lihat Ezran tidak datang seorang, dia sebelahnya ada bibik. Pandai Ezran mengaburi mata-mata orang yang belum kabur. Ezran Keluar dari kereta, bibik pun sama keluar. Ezran menjinjit satu plastik buah limau. Dia menghulurkan salam kepada abah dan bertanya khabar emakku. Bibik pula bersalam dengan emak dan aku. Kami menjemput mereka masuk. Ezran menghulurkan buah limau yag dijinjitnya kepadaku. Aku menyambutnya dengan membuat muka. Mak dan abah memandang ke arah kami berdua dengan pandangan hairan. Sama-sama aku dan Ezran tersenyum memandang mak dan abahku. Bibik pula buat-buat tidak tahu apa yang berlaku.
“Jemputlah duduk doktor…. Maknya pun sekali..duduklah.” pelawa mak.
“Tima kasih makcik.. yang ni bibik saya makcik..kira-kira bibik mengasuh saya sejak dari saya kecil lagi..dah macam mak pun.” Terang Ezran.
“Terlanjur sudah berjumpa, makcik nak ucap terima kasih banyak-banyak pada doktor ni. Dah banyak tolong si Ros ni masa kat hospital.” Mak aku memulakan perbualan.
“Lah! Kenapa tercegat lagi kat situ.. pergi la buat air...tak pun terus buat hidangan untuk kita makan tengahari.” Abahku pula mengarahkan aku.
“Okey abah..beres..” Kataku sambil menggaru-garukan kepala.
“Apa dianya lagi??” Tanya abah. Ezran tersenyum memandang kearahku.
“Tak pelah abah..saya nak ke dapurlah ni. Abah, mak, bibik dan Ezran.. berbuallah ye..” Aku menunjukkan muka yang tak senang hati. aku terus berjalan ke dapur untuk menghidangkan apa yang dah aku masak untuk makan tengahari.
Dalam hati aku berdoa janganlah si Ezran bercerita benda yang bukan macam cerita nak main tunang-tunang ke..kahwin-kahwin ke. Bibik tiba-tiba terpacul disebelahku.
“Eh! Bibik kenapa tak duduk dekat ruang tamu je? Bibik pergi la duduk kat situ curi-curi dengar apa yang dia orang cakap..” Kataku.
“Bibik lagi senang membantu ibu Ros di dapur. Ibu.. bibik rasa, hari ini majikan bibik mau menanyakan hal ibu sama orang tua ibu.” Cerita bibik bersungguh.
“Ish! bibik ni lebih baik Ezran tanya terus je dengan saya lagi senang.. hal saya mesti saya yang tau.. mak abah saya tak tau sangat hal saya..”Aku yang lurus kayu terus bercakap. Aku sendiri pun kurang faham apa yang bibik cakapkan.
“Ya Ampun ibu… maksud bibik.. Bapak Doktor itu mau meminang ibu.. dia mau tanya sama orang tuanya ibu..apa setuju atau enggak… pokoknya itu yang dicerita sama bibik semasa perjalanan ke sini tadi, noktoh titik..faham?” Kata bibik yang agak emosi dengan gaya aku yang lurus kayu.
“Ya Allah.. kenapa bibik tak cakap terus tadi.. ni bibik pusing sana..pusing sini..dah saya tak faham.. alamak! Ini dah lebih. Hari tu dia cakap tak nak cerita apa-apa. Hari ni dah lain.” kataku kalut.
“Beruntung ibu mendapatkan calon tunangan seperti majikan bibik itu… dia baik bangat.. ganteng bangat..” Puji bibik.
“Bibik… saya masih belum kenal majikan bibik tu sepenuhnya.. saya pun tak tau dari planet mana dia datang.. tup..tup.. ikut saya ke sana sini..” Hidangan di atas meja sudah aku siapkan. Bolehlah aku memanggil tetamu kehormat menjamu selera bersama-sama.
“Ibu.. cinta boleh dipupuk kemudian aja.. pokoknya ibu sangat beruntung…” Kata bibik lagi.
“Bibik pokoknya bisa ditebang… kalau udah ditebang nanti takut ditimpa pokok tu bibik…” Aku memainkan bibik pula. Senang je cakap cinta boleh datang kemudian. Kalau cinta tu datang.. dibuatnya cinta tak pernah datang bukan ke haru jadinya nanti.
“Ya ampun.. nakal benar ini anak… Astagfirullah Hal adzim… dikira bibik main-main kali.” Bibik pening mendengar apa yang aku katakan tadi.
“Tak..tak… Ampun ya bibik.. saje je nak gurau dengan bibik… bibik tunggu sini ye.. saya nak panggil mak abah dan Ezran kejap..” kataku berlalu ke ruang tamu.
**************
“Kenapa tak cerita dengan mak sebelum ni? Rupanya dah ada yang melekat di hati. Pandai anak mak simpan rahsia.” Emak tersenyum. Aku membalas dengan senyuman yang kurang ikhlas.
“Tak delah mak. Jodoh dah sampai agaknya.” Aku meningkah terlebih dahulu. Kalaulah aku ceritakan hal sebenarnya macam mana? Ish!! Jangan naik mendadak darah tinggi mak aku nanti. Hati aku mula berkata sendiri.
“Mak dengan abah lansung tak ada halangan. Mak dan abah setuju sangat. Memang sesuai dengan umur kamu untuk berumahtangga.” Kata emak lagi.
“Mak sekarang ni rumah dah tak ada tangga. Rumah batu semuanya mak.” Kataku yang mula berseloroh.
“Budak ini! Aku ni baru je nak memberi nasihat dia dah mula dah.” Kata emak sambil jarinya mencubit lengan aku.
“Mak ni! Sakitlah. Yelah saya dengarlah nasihat mak. Ye masa yang sesuai untuk berumah tapi tak bertangga je.” Kataku seakan akur cakap emak.
“Dahlah! Mak dah penat ni. Nak masuk tidur dah ni. Abah awak tu dah lama belayarnya lepas isyak tadi terus je tidur. Senang hati agaknya anak dia dah nak berpunya.” Kata emak . Tiba-tiba sahaja aku teringatkan CD yang diberikan Ezran tempoh hari aku masih belum sempat menontonnya. Entah cerita apalah yang dia berikan… agak-agaknya cerita IP Man kot. Segera aku melangkah masuk ke bilik. Tak sabar rasanya hendak mengetahui cerita di dalam CD itu.
**********
Terima kasih kepada pembaca. Teguran membina amat hargai.
No comments:
Post a Comment