Thursday, 16 February 2012

CINTA KFC 6- KAWAN....FIANCEE.....COUPLE...


BAB 6

Peristiwa pertelingkahan Elya telah aku lupakan, tapi itu adalah sejarah dalam hidupku yang akan aku kenang sampai bila-bila. Selepas dari kes itu, Elya tidak lagi bertugas di Wad Anggerik dia telah ditukarkan ke wad lain. Pada mula aku ditampar oleh Elya memang rasa sakit hati, tetapi bila aku fikir semula aku kasihan kerana Elya sangat menyintai Doktor Erlanda. Dia sanggup melakukan apa sahaja demi orang yang dicintai. Mungkin itu yang dikatakan cinta sejati. Aku pun tidak pasti.

Kesungguhan yang ditunjukkan oleh Doktor Erlanda menjaga aku sepanjang aku berada di sini membuat hati aku tersentuh. Aku tidak akan mengatakan suka walaupun aku betul-betul suka. Biarlah perasaan aku pendam sedalam-dalamnya. Apa yang aku pasti selepas ini aku perlu menjadi tunang kepada doktor ini atas kekalahan aku dalam pertaruhan bodoh kami.

Doktor Erlanda pula sudah dua hari sibuk. Dia hanya dapat melawat aku ketika dia membuat lawatan pada waktu pagi sahaja. Dia hanya akan datang selepas semua kerjanya selesai. Aku tidak ambil pusing sekiranya dia tidak datanag melawat aku. Bagi aku semuanya tidak menjadi masalah, kalau dia datang pun bagus tak datang lagi bagus.

Setelah lima hari aku terlantar dihospital barulah Diana dan Khai datang melawat aku pada waktu petang.

“Sampai hati tinggalkan aku sorang kat hospital ni.. kesian aku.” Kataku merajuk.

“Aku ke KL.. kan aku dah bagi tau.. aku janji, kalau kau boleh keluar nanti aku ambil.. aku belanja okey.” Kata Diana memujuk.

“Eleh.. dah tua bangka macam ni pun nak merajuk lagi.” Kata Khai mencebik memandang aku.

“Suka hatilah nak merajuk ke tak. Cemburu ke?” Tanyaku pula kepada Khai.

“Yelah.. tunang kita tu. Mestilah kita cemburu.” Kata Khai lagi.

“ Aii.. dengan orang pun nak cemburu ke. Lainlah kalau orang ni lelaki.” Giliran aku pula mencebik. Aku selesa membahasakan diri sebagai orang bila bercakap dengan Khai.

“Eh! Awak berdua ni kalau bertemu tak bergaduh tak sahkan. Bergaduh tu macam satu perkara wajib. Kalau tak buat berdosa ye?” Tanya Diana kepada kami berdua.

“Mana ada dosa. Makruh je.” Jawab Khai.

“Betul.. betul.. Makruh.” Kataku menyampuk. Seronok rasa hati apabila ada kawan-kawan yang datang menjenguk kita di hospital. Sudahlah mak dan abah tidak dapat datang hanya telefon yang menghubungkan aku dengan mak.


Sedan g asyik kami berbual-bual  Kawan-kawan sepejabat, Miss Jenny, Mr. Tee dan Izad  sampai.

“Ros! Kau berbuallah dulu dengan dia orang. Aku dengan Khai nak ke Cafe dululah. Lapar ni.” Kata Diana.

“Aik!! Takkan nak mengelak jumpa dengan kita orang kot?” Cepat Izad bertanya.

“Ishh! Kau ni Izad tak faham-faham pulak. Bagi la chance.” Kataku tersengih memandang Izad.

“Ntahnya Izad ni. Kau janganlah cemburukan aku. Lain kali cepat sikit cari jodoh.” Kata Diana sambil berlalu pergi. Khai pula hanya tersenyum mendengar perbualan kami.

“Ros! Kau dah ok?” Izad bertanya.

“Cuba kau tengok aku ni ok ke tak?” kataku tersenyum sambil mengangkat kening.

“Aiyaa!! Mesti sudah oklah.. awak tengok dia lagi boleh senyum ma..” Sampuk Mr. Tee. Miss Jenny tersengih memandang Izad.

“Mr. Leong sama Azrul tak dapat datang. Mereka hanya kirim salam saja. Ini ada bunga sama buah mereka kirim untuk awak.” Giliran Miss Jenny pula berkata sambil menghulurkan sejambak bunga tiruan dan seplastik buah epal merah.

“Terima kasih.”Kataku tersenyum.

“Eh!! Tak habis lagi, aku pun ada bawa bunga juga untuk kau. Bunga warna kuning ni dari Danial. Yang warna putih campur merah ni dari Halim. Kak siti dia kirim salam je. Yang warna biru ni pulak dari aku.” Kata Izad. Penuh satu katil dengan bunga. Lepas ni bolehlah aku bunga kedai bunga.

“Terima kasih banyak-banyak. Terharu la pulak.” Kataku.

“Semoga cepat sembuh. Ros, saya tak boleh lama.. saya ada janji.” Kata Miss Jenny.

“Saya pun sama juga. Semoga cepat sembuh ya.” Sampuk Mr. Tee.

“Ok… terima kasih banyak-banyak, sudi melawat saya.”  Balasku. Aku melambaikan tangan ke arah Miss Jenny dan Mr. Tee yang sudah melangkah keluar dari Wad.

“Ros, Aku pun tak boleh lama.. ada janji dengan buah hati aku.” Kata Izad pula.

“Hrmm.. untung orang ada buah hati. Tak macam aku, tak laku-laku.” Kataku dalam nada bergurau.

“Hish! Kau ni mana boleh tak de orang nak.. mesti ada punya. Kau je yang jual mahal.”

“Aku rasa elok kau pergi jumpa buah hati dulu. Nanti karang merajuk pulak. Aku ni memang dah terkurung kat sini.” Kataku sambil ketawa.

“Okeylah aku chow dululah. Kau tu jaga diri. Jangan lupa makan ubat.” Pesan Izad.

“Baik bos!” Kataku sambil melambaikan-lambaikan tangan ke arah.

Gembira rasa di dalam hati apabila ada kawan-kawan yang  mengambil berat. Katil aku sudah seperti taman bunga dan kedai buah-buahan. Mana tidaknya setiap yang datang mesti membawa bunga dan buah. Paling koman pun buah limau. Mereka semua harap aku cepat sembuh. Kawan-kawan, walaupun hanya bunga plastik yang kalian bawa, aku sangat menghargainya. Di bandar kecil begini susah nak cari bunga segar. Getus hatiku.

“Kata pergi minum-minum. Sekejapnya?” Tanyaku hairan bila melihatkan Diana dan Khai sampai di Wad Anggerik.

“Saja je buat gimik. Tak nak bertembung dengan geng pejabat kita tu. Tak tahan telinga mendengar sindiran mereka nanti.” Kata Diana.

“Betul…betul. Nanti takut hangus pulak telinga mendengar Izad memerli.” Kataku sambil ketawa kecil.

“Aku bersyukur sangat malam yang kau demam teruk tu. Sampai je kat hospital aku tengok Ezran yang merawat kau. Mulanya aku tak percaya. Tapi bila semuanya dah selesai barulah dia memperkenalkan diri.” Diana tiba-tiba bercerita kejadian demam aku.

“OO.. jadi kau dah taulah yang dia tu doktor kat sini? Kenapa kau tak bawak aku balik je semula kerumah?”

“Yelah…tapi kau teruk sangat malam tu. Takkan aku nak angkat kau bawa balik. Gila ke apa? Bukan kerja. aku pun cemas malam tu tau. Doktor tu lagilah cemas bila tengok kau yang sakit. Aku rasa dia betul-betul suka dengan kau. Elok kau terima je. Tak payah fikir dah.”

“Amboi-amboi senang je kau cakapkan. Lidah tak bertulang. Kau ingat aku nak percaya ke? Aku pun tak tau dari planet mana dia datang.” Kataku lagi. Aku dan Diana langsung tidak mengendahkan Khai yang berada di sebelah Diana.

“Betul ke ni sayang?” Khai mencelah perbualan kami secara tiba-tiba.

“Sayang tak percaya ke? Nampak sangat Doktor tu sukakan dia..sayang ingat tak masa kita jumpa dekat Temerloh sebelum kita bertunang…..” Diana menceritakan segalanya kepada Khai mengenai aku dan Doktor Erlanda. Aku pula masih menafikannya.

“Serius sungguh doktor ni ye. Tapi sejak bila dia kenal dengan Ros. Wah! Dia ada admire rupanya.”

“Bukan… orang  tak de apa-apa pun dengan doktor ni..tolonglah. Kenapa nak percaya dengan orang yang langsung kita tak kenal. Betulkan?” aku menafikannya walaupun dalam hati aku sudah ada rasa macam coklat Cadbury.

“Yang tu tolak tepi. Yang penting dia sukakan kau. Sayang ni kenapa pulak cuak semacam je?” Tanya Diana kepada Khai.

“Takdelah abang  ada call hadi bagi tau dia yang Ros masuk wad..demam dan ada jangkitan kuman dalam darah. Tak taulah pulak Ros ni dah ada buah hati.” Kata Khai.

“Opss!! itu bukan buah hati. Kadang-kadang menyakitkan hati tu.” Kataku lagi.

“Sayang tengok Ros ni memang jual mahal. Sah..sah doktor tu sukakan dia. Tapi,  kenapa sayang bagi tau dengan Hadi pulak?  Dia nak datang ke?” Diana bertanya kepada Khai.

“Entah..abang pun tak tahu.  Ros..Hadi tu sayang dengan Ros lagi tau.. dia sanggup nak sambung balik dengan Ros.” Khai memberitahu dengan penuh perasaan.

“Untuk pengetahuan abang Khai..orang dah tak nak bersambung-sambung dah… satelit orang dah tak boleh terima maklumat langsung mengenai Hadi. Bila masuk je gelombang bunyi nama Hadi terus jammed serta- merta.” Kataku sambil mencebik. Perkataan dua maksud memang kami selalu gunakan ketika berbual. Khai memang cepat faham apa yang hendak sampaikan.

“Ada part yang rosak..tu sebab tak boleh terima maklumat pasal Hadi.” kata Khai. Diana pula menjadi penonton sahaja.

“Tak boleh. Nama tu dah disenarai hitamlah rasanya.” kataku.

“Ros kesian Hadi dia dah menyesal sangat, dia mengaku diri dia bodoh tak bagi pandai memilih.. terimalah dia.” Khai merayu bagi pihak Hadi. Berapalah gaji yang dibayar oleh Hadi kepada Khai.

“Tak de tempat dah nak diisi ..memory semua penuh.” Kataku menolak.

“Susah betullah bercakap dengan budak degil macam ni. Hati keras macam apa ntah.” Rungut Khai.

“Tak payah merungut-rungut macam tu. Buat rugi air liur je. Bukan sayang tak tau dia ni memang degil.” Celah Diana pula.

“Amboi dua-dua marahkan aku ni. Degil sangat ke?” Aku tanya sendiri.

“Memang degil. Sangat-sangat degil.” Jawab Diana. Aku tersengih memandang Diana dan Khai bila mendengarkan jawapan dari Diana. Aku akur, aku memang degil dan keras hati.

Sedang-sedang elok menyebut nama Hadi..terpacul dia di pintu Wad Anggerik. Sejambak bunga Ros merah segar ditangannya. Huh! macam akan ada adegan romantik, silap-silap boleh jatuh hati semula. Ya Allah! lindungilah aku dari lelaki hidung belang ini. Drama apa pula yang akan berlaku seterusnya?

“Ros aku rasa elok aku dan Khai balik dulu. Lain macam je aku tengok si Hadi ni.” Kata Diana.

“Aduh! Tak payahlah balik lagi. takkan kau nak biarkan aku sorang kat sini menghadap muka Hadi. Tolonglah jangan balik.” Kataku merayu pada Khai dan Diana.

“Tak boleh. Tak sanggup aku nak dengar rayuan Hadi pada kau. Kau pandai-pandailah selesai sendiri. Kau dah besarkan.” Kata Diana lagi. Khai pergi mendapatkan Hadi mereka berbual dipintu Wad. Apa yang dibualkan aku sendiri tak pasti.

“Ni kalau tak pasal si tunang kau yang bagi tau, mana dia nak tau aku dekat sini. Adoi! Migraine la perut aku kalau macam ni.”

“Abis tu kau nak aku tunggu juga ke?” Tanya Diana.

“Yelah, kau nak balikkan.. bolehlah.. silakan.. aku dah merajuk ni. Sebagai balasannya kau belanja aku makan bila aku keluar hospital nanti ye.” Gurauku.

“Okey, mem besar… aku janji.” Kata Diana sambil menghulurkan salam kepadaku.

Perasaan aku terus tidak keruan apabila melihat Hadi. Aku terpaksa mengawal supaya aku nampak cool. Aku menunggu Hadi datang dekat denganku.

“Duduklah.” Aku dulu yang mempelawa Hadi duduk. Hadi sudah berumur 26 tahun masih tidak berubah tetap macam dulu sangat menjaga penampilan. Itulah yang membuat aku dan dia sangat bersilang pendapat. Sesuai dengan kerjanya Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat swasta mestilah kena bergaya. Sejambak bunga ros merah dihulurkan kepadaku, aku sambut dengan baik kerana aku sudah tidak mahu ada adegan gaduh dalam drama kali ini.

“Dah lima hari masuk hospital kenapa langsung tak beritahu, nasib baik Khai yang info..kalau tak, langsung Hadi tak tahu.” Kata Hadi. Aku pula tiba-tiba rasa macam meloya bila dia begitu baik terhadap aku dan membahasakan dirinya dengan panggilan Hadi.

“Tak delah saya ok demam sikit je, Khai tu yang kecoh-kecoh.”

“Demam sikit awak cakap. Sampai lima hari terlantar.” Kata Hadi

“Biasalah tu. Hamba Allah mestilah sakit. Kena Redha.” Kataku tersenyum.

“Hari tu masa di majlis pertunangan Diana awak lari tinggalkan saya sorang…. Awak pergi mana masa tu? Awak marah lagi ke pasal hal dulu-dulu?” hadi bertanya.

“Marah?? Tak kuasa saya.. langsung tak de kaitan dengan saya.. lupa dah pun .”

“Habis tu kenapa awak lari? Awak memang benci tengok muka Hadikan?” Tanya Hadi.

“Uiihhh! Dalam kamus hidup saya tak de istilah membenci orang. Allah tak suka kalau kita saling membenci.” Kataku lagi.

“Ros.. saya nak terus terang dengan awak… saya minta awak terimalah saya semula.. dulu saya yang bodoh tak dapat menilai yang mana baik yang mana buruk.. awak tolonglah terima saya semula.” Rayu Hadi kepadaku.

“Saya minta maaf sangat-sangat..saya memang tak boleh.. langsung tak boleh terima.. awak kena ingat apa yang awak dah cakap dulu masa awak nak putus dengan saya.. awak dah  lupa?  Itu adalah pengajaran buat saya yang tak sedar diri. Sekarang saya dah sedar siapa saya.” Tenang sahaja pertanyaan itu keluar dari mulut aku.

“Awak tolonglah saya… saya betul-betul menyesal.. takkan langsung takde rasa kasihan terhadap saya..” Rayu Hadi lagi.

“Hadi awak carilah orang yang sudi… saya tidak setanding orang yang awak suka…siapa saya.. awak tengok penampilan saya.. kalau ada yang suka sah! Orang tu bukan orang biasa, dia pasti Orang Utan.” Kataku lurus tanpa simpang siur sambil tersenyum.

“Awak kok ye pun janganlah buat lawak yang merendah diri sampai macam tu sekali.. awak yang terbaik pernah saya jumpa..”

“Awak cari orang lainlah.. saya..” Tidak dapat aku menghabiskan kata-kata kerana aku lihat Doktor Erlanda berlari-lari ke arahku.  Sampai dekat aku dia masih termengah-mengah, tangannya menghulurkan salam kepada Hadi. Hadi memperkenalkan dirinya dan Doktor Erlanda juga begitu.

“Haik!! Kenapa macam kena kejar hantu?” Tanyaku selamba walaupun Hadi ada dekat dengan kami.

“ Sorry buat awak terkejut. Amboi! dah macam taman bunga saya tengok katil awak ni. Saya Singgah dua minit je. busy sangat ari ni..sorry langsung tak dapat jenguk awak melainkan waktu pagi tadi je. By the way awak nak makan apa?  nanti lepas maghrib saya nak datang sini kita makan sama.” Kata Doktor Erlanda. Laju tutur kata yang keluar dari mulutnya. Hadi pula tercengang melihat kebaikan Doktor Erlanda terhadapku.

“Makan? tak kisahlah apa-apa je.” jawabku. Dalam hati aku bersyukur sangat. Doktor Erlanda datang menyelamatkan keadaan. Biasanya dia tak tanya aku nak makan apa sebab dia tahu aku akan menolak. Tapi petang ni boleh tergerak pulak hati dia nak bertanya. Hai! Ada chemistry gayanya.

“Siapa ni Ros?” Tanya Hadi.

“Saya ni bakal tunang dia.?” Celah Doktor Erlanda cepat.

“Bakal tunang?” Tanya Hadi kehairanan. Doktor Erlanda mengangguk. Aku menggeleng pun tidak mengangguk pun tidak.

“Okeylah Hadi, saya minta diri dululah.” Kata Doktor Erlanda. Laju kaki Doktor Erlanda melangkah meninggalkan Wad Anggerik. Nampaknya dia betul-betul sibuk. Kasihan dia walaupun sibuk tapi masih lagi mengambil berat makan minum aku.

“Patutlah awak tak terima saya, rupanya awak dah nak bertunang.. apapun tahniah..” Ucap Hadi seakan kecewa. Dia meminta diri untuk pulang kerana masih ada hal di Kuala Lumpur. Aku mengucapkan terima kasih kerana sudi datang melawat aku. Sebelum dia pergi dia amat berharap supaya aku dapat menerimanya semula walaupun dia tahu aku akan bertunang. Kes sama macam Elya tapi Cuma Hadi lebih terbuka. Elok kalau aku temukan Hadi dengan Elya memang sesuai.
***********

“Assalamualaikum.. termenung jauh nampak, fikir masa depan ye?” Suara Doktor Erlanda mengejutkan anganku.

“Waalaikumsalam.. tak perasan awak datang..” jawabku. Doktor Erlanda memberikan beberapa buah majalah kepadaku. Bekal makanan dia letakkan almari tepi katil aku. Aku membelek-belek majalah yang diberikan sementara dia meletakkan nasi dan dan lauk ke dalam pinggan diberikan kepadaku.

“Tuan Doktor..esok saya boleh discharge tak? Saya dah tak larat nak duduk sini. Antibiotik saya boleh sambung dekat rumah.” pintaku. Nasi putih bersama kari ayam membuka selera makanku.

“Suka hati dia je nak panggil kita tuan…Kenapa nak keluar pulak… saya jaga awak tak cukup bagus atau saya ada buat salah?..”

“Semuanya bagus..terima kasih sebab ambil berat pasal saya…tapi saya dah tak larat nak berkurung macam ni.” kataku sambil tersenyum.

“Saya rasa sepanjang saya bekerja.. dalam minggu ni saya betul-betul merasa keseronokan bekerja walaupun penat… saya rasa semangat saya datang dari awak agaknya.. sebelum ni seronok juga tapi tak macam ni.” Doktor Erlanda melemparkan senyuman manis manakala  aku  menjelirkan lidah ke arahnya. Geram dengan perbuatanku cepat-cepat dia bangun dan mengetuk kepalaku. Aku tersengih dan mengangkat kening, terus makan. Doktor Erlanda bertongkat dagu duduk di kerusi sambil memandang aku yang sedang makan.

“Ros.. petang tadi siapa budak tu? Siap bawa bunga Rose Merah tu.. goyah perasaan saya masa tu, nasib baik saya dapat mencelah perbualan korang tadi. Terus dalam hati saya rasa macam lega sangat.” Terang Doktor Erlanda jujur.

“Dia tu dulu Ex-boyfriend saya…….” Panjang lebar aku bercerita kepada Doktor Erlanda kisah Hadi kepadanya. Dia menjadi pedengar setia Cuma sesekali ada juga dia bertanya itu dan ini. Aku juga memberitahu Doktor Erlanda bahawa Hadi minta aku menerimanya semula tapi aku menolaknya secara baik.

“Ooo… Patutlah dia datang rupanya tunang kawan awak yang beritahu… mana bunga yang dia bagi.. nak tengok..” Minta Doktor Erlanda. Aku menunjukkan dalam bakul sampah di penjuru katil.

“Ya Allah! Kenapa buang dalam tong sampah?” Doktor Erlanda terkejut.

“Buangkan apa yang tak perlu jika rasa mengganggu… tak susah-susah nak fikir… saya takkan undur keputusan yang saya dah buat..muktamad..”kataku.

“Awak ada prinsip.. nampak tegas sangat...” Kata Doktor Erlanda.

“Prinsip sentiasa saya pegang..harga diri tu.”

“Kalau macam tu, esok awak dah boleh discharge … tapi saya tak dapat hantar awak balik kampung.. saya bertugas, err.. kawan awak boleh ambil awakkan?” Tanya Doktor Erlanda.

“Haa! Boleh balik.. Yesss.. seronoknya.. bagi MC lama sikit.. boleh rehat kat kampung..” kataku

“Okey.. MC sampai hari Rabu je… jangan lupa makan ubat.. hari Isnin saya Off.. saya datang rumah awak kat kampung ye..”

“Ayyoo…awak nak datang rumah saya ke? Tapi buat apa?” Tanya ku

“Salah ke saya nak jumpa dengan keluarga awak?”

“Tak delah salah sampai kena masuk lock-up, tapi buat apa nak jumpa keluarga saya. mak ayah saya sama je macam orang lain. Ada mata, ada telinga, ada hidung lagi satu dia orang bukan alien.” Kataku cuba mengalih topik.

“Awak ni selalu buat saya tergelak. Saya tau lah mak ayah bukan alien. Kalaulah mak ayah awak tu alien saya pun tak nak jumpa.” Kata Doktor Erlanda sambil ketawa.

“Saya rasa tak payahlah awak datang ke rumah saya. lagipun saya ni ada masalah ingatan. Mungkin disebabkan doktor bagi saya salah ubat agaknya. Tiba-tiba je saya lupa alamat rumah saya. serius ni.” Kataku. Riak air muka aku bersahaja memandang muka Doktor Erlanda. Kalau boleh aku tak mahu mak abah tahu tentang dia. Susah nanti.

“Kalau macam tu cancel la discharge esok.. saya tahan awak sebulan lagi kat sini.. MC sampai hari rabu saya tarik balik.” Gertak Doktor Erlanda. Aisehh!! Macam mana aku boleh lupa yang dia ni doktor sah-sah dia yang benarkan aku discharge. Langsung tak boleh nak menipu.

“Guna kuasa nampak.”Aku pula menggertak Doktor Erlanda.

“Kenapa awak takut saya cakap dengan mak ayah awak pasal kontrak bertunang kita?”

“Taklah. Takkan awak nak cakap dengan dia orang saya ni kalah betting.. then kena bertunang dengan awak tanpa kerelaan hati saya. macam tu ke?”

“Bukan macam tu, saya dah cakapkan saya nak kenal dengan keluarga awak je. Sebab kalau saya tengok awak ni unik sangat. Tu yang saya nak tau pulak keluarga awak macam mana.” Terang Doktor Erlanda.

“ Hrmm..betul kalau awak jumpa dengan mak ayah saya awak tak cakap pasal hal ni?” Aku bertanya untuk kepastian.

“ Betul.. sumpah saya tak cakap.”

“Okey.. tapi saya betul-betul lupa alamat rumah saya. nampak gayanya awak kena tunggu sampai ingatan saya pulih dulu.” Kataku.

“Kalau awak tak nak bagi alamat tu saya tak kisah pun.. saya telefon mak awak je. Lagi senang berurusan.” Kata Doktor Erlanda. Aku terkedu seketika.

“Okey.. okey.. saya bagi. Jangan telefon mak saya. Saya surrender. Ish! nak menipu sikit pun tak boleh.” Kataku kepada Doktor Erlanda yang sedang tersenyum puas hati melihat aku marah.
 **********************

Terima kasih kepada pembaca yang masih sudi membaca. Diharap dapat memberikan teguran yang membina.

Friday, 20 January 2012

CINTA KFC 5- KAWAN....FIANCEE.....COUPLE...


BAB 5

“Cik bangun, sekejap lagi doktor nak melawat.” Jururawat yang bertugas mengejutkan aku.

 “Hospital...?” kataku perlahan. Aku memegang dahi, masih panas rasanya. Memang aku demam. Mesti Diana yang menghantar aku ke hospital. Ya betul! Malam tadi Aku yang minta Diana menghantar aku ke klinik atau hospital. Tapi kenapa Diana tidak ada. Aku berkata di dalam hati.

 Aku memandang ke kiri dan ke kanan. Lengang dalam wad ni Cuma ada tiga orang pesakit sahaja, itupun diletakkan berjauhan mungkin untuk memberikan keselesaan. Aku tidak puas hati, aku memandang keadaan sekeliling wad, barulah aku tahu ini wad kelas kedua. Macam mana aku boleh duduk di wad ini, biasanya pesakit macam aku hanya ditempatkan di wad biasa.

Badan aku terasa lega sedikit, air yang dimasukkan ke badan aku hanya tinggal suku botol. Oleh kerana mengantuk masih lagi berbaki aku menarik selimut dan terus tidur semula.
******
Kedengaran bunyi bising di kaunter wad Anggerik, manakala aku masih lagi berselimut. Sungguh lena tidurku tanpa diganggu. Biasanya waktu-waktu begini aku sudah sibuk di pejabat menguruskan berbagai-bagai kerja. Aku memejamkan mata untuk menyambung tidur lagi, teringat pesan jururawat…ahh!! Lantaklah aku mengantuklah doktor.

“Nurse pesakit yang ni saya boleh handle….jadi saya tak perlukan bantu kamu semua..boleh beredarlah dari sini..buat kerja masing-masing ye.” Arah doktor. Semua jururawat Wad Anggerik patuh kepada arahan doktor, terus pergi ke kaunter. Cuma seorang sahaja yang tidak mengikut arahannya.

“Doktor biar kita tolong doktor ye.. kita bosan tak de kerja ni...” Kata Jururawat Elya yang tergedik-gedik di sebelah doktor.

“Terima kasih Elya…saya boleh buat sendiri…tolong jangan ganggu ye..” Tegas doktor. Elya yang tidak berpuas hati beredar sambil menjeling marah. Doktor menarik langsir supaya kerjanya tidak diganggu.

Aku yang dari tadi mendengar perbualan doktor dengan jururawat, tapi aku tidak ambil kisah. Itu semua bukan urusanku. Aku menggosok-gosok mataku yang masih mengantuk. Samar-samar kelihatan seorang lelaki berjubah putih disebelahku.

Mula-mula sekali nampak tanda namanya…Erlanda…hmm sedap nama doktor ni kataku dalam hati.Aku memegang kepala yang masih terasa pening. Langkah kedua aku  pandang pula muka Doktor. Hensem…kataku dalam hati. Aku tersenyum sendiri.

“Bangun sayang…. saya nak ambil darah kita hantar pergi lab nak tengok ada kuman lagi tak.” Lembut sahaja suara doktor mengejutkan aku dari tidur. Kalau macam nilah layanan doktor dekat hospital confirm pesakit cepat sembuh. Aku yang masih mamai hanya menurut kata doktor. 
“Doktor kalau nak cucuk jangan kuat-kuat. Saya tak nak jarum besar.. nanti sakit.” Kataku memberi arahan kepada doktor. Doktor tersenyum memandang aku.

“Confirm tak sakit… relaks.” Pujuk doktor. Lenganku diikat, jarum sudah ditusuk ke urat. Setabung kecil darahku diambil.

“Terima kasih doktor. Betul tak sakit.” Kataku sambil bangun dan duduk bersila di atas katil. aku tesenyum memandang doktor. Macam mana aku boleh nampak muka Doktor Erlanda sama macam muka Ezran. Angau ke aku ni? Pasti disebabkan demam yang kuat malam tadi. Aku beristighfar beberapa kali supaya pandangan itu lenyap. Aku mengosok-gosok mata berharap aku dapat melihat muka Doktor Erlanda yang sebenar.

“Tarik nafas.. lepas.” Kata Doktor Erlanda tangannya meletakkan statuskop ke dada aku. Setiap kali statuskop dialihkan aku disuruh menarik nafas dan lepas mengikut arahannya. Aku akur sahaja apa yang diarahkan oleh doktor. Pandangan mata aku tidak lepas dari wajahnya.

“Awak patient last yang saya lawat..sebab boleh saya melepak dekat awak sekejap..sepuluh minit pun cukuplah.” Doktor Erlanda mengambil kerusi terus duduk ditepi katilku. Dia langsung tidak mempedulikan jururawat di wad Anggerik yang asyik memandang ke arahnya.

Tangan kanan aku  menampar pipi kiri dan kanan…betulkah apa yang aku dengar? Sahih aku tak mimpi. Ini memang betul dia yang aku kenal.

“Doktor ni…Ezran??” kataku perlahan, aku tidak mahu perbualan kami didengari oleh jururawat dan pesakit lain.

“Ye.. kenapa?.” Terangnya.

“Tapi nama.. Erlanda? Kembar?” Tanyaku.

“Ezran Erlanda nama saya. kenapa?”

Bagai hendak tersedak apabila aku mendegar dia menyebut namanya. Serta-merta aku menepuk-nepuk bantal dan menarik selimut. Terasa demam semula badanku. Mungkin kali ini suhu akan mencecah seratus darjah celcius. Aku terus berbaring tanpa mempedulikan Ezran yang duduk di atas kerusi agak hampir denganku.

“Saya rasa saya dah baiklah. Nampak gayanya bolehlah saya discharge harikan? Lagipun membazir je letak pesakit macam saya ni dalam wad. Orang lain lebih memerlukan dari saya.” Kataku kepada Doktor Erlanda.

“ermm.. jangan cuba nak mengelak lari dari betting kita ye. sampai ke lubang cacing saya akan cari awak.” Balas Doktor Erlanda sambil tersenyum.

“Jadi awak yang merawat saya malam tadi?” Tanyaku sambil tersenyum paksa.

“Yalah…Sayalah..lepas hantar awak balik rumah …saya pun balik ke rumah tukar baju then terus ke hospital.”

“Patutlah.. saya tak tahu pulak awak doktor kat sini… ” kataku gugup bercampur malu. Susah rasanya hendak mengeluarkan kata-kata. Patutlah dia berani nak betting dengan aku, rupanya dia doktor. Memanglah kalau sakit cari kena jumpa dia. aduh!! Apalah bengapnya aku ni tak terlintas langsung difikiran aku. Kataku dalam hati.

“Saya tau apa yang awak fikir.. tapi jangan risaulah..saya just buat line kat belakang tapak tangan je. Saya minta tolong dengan kawan saya gantikan saya betugas sekejap malam tadi. Sebab nak jaga awak..ni tangan kanan saya ni kebas tau tak..sepanjang malam awak pegang je tangan saya..tak boleh lepas langsung..kalau terlepas mulalah awak meracau…macam-macam ayat Quran saya baca tiup kat ubun-ubun awak. Dalam pukul 6.30pagi  saya tengok awak dah stabil baru saya keluar itu pun sebab saya bertugas pagi ni.”

“Pegang tangan awak? Saya..saya.. maksud saya tangan awak…. Saya pegang.. saya letak …” Kalut bercampur mauli besar. Ini lagi mencemaskan aku seperti hujan bersama ribut akan melanda. Kalaulah dia kata aku letak kat dada…tidakkkkk!! Silap-silap haribulan lari aku dari hospital hari ini.

“Pasal tu tak payah nak terlalu teliti sangat dan tak usah risau tak de perkara yang memalukan berlaku….lupakan je..saya nak awak sihat semula..tu je..” Pintas Doktor Erlanda memberikan jawapan yang melegakan hatiku.

“Awak saya dah banyak susahkan awak sampai kerja pun dah terganggu..minta maaf  banyak-banyak.” Kataku perlahan.

 “Saya tak kisah pun malah saya rasa bertambah gembira.. sebab awak cari juga saya bila dah jatuh sakit. Hrmm gembiranya.” Kata Doktor Erlanda sambil tersenyum lebar.

“Maksud awak saya.. kena.. betul-betul…?” kenapalah mulut ni langsung tak boleh bercakap terus. Tergagap-gagap bila mengeluarkan kata-kata. Orang kiri kanan aku sudah tidak hiraukan. Ini kes besar ni.

“Sayang…saya tak boleh lama..nak pergi hantar darah awak ke lab..terus nak sambung kerja..bila saya free saya datang sini…lagi satu bila awak dah betul-betul sihat nanti..kita bertunang...”  Ezran bangun mengambil sample darah aku untuk dibawa ke makmal.

“Maksudnya serius sungguh… tak main-main.. tunang..tunang?” Aku bertanya dalam keadaan kalut. Aku segera bangun dan turun dari katil.

“Ye sayang.. serius tunang. Nak pergi mana tu?” Suara Ezran gembira sangat sebab dah dapat mengenakan aku.

“Nak pergi cari public phone nak telefon mak..dia tak tahu saya kat sini..” aku menipu walhal aku sendiri ada handphone.

“Saya dah telefon dia malam tadi.. bagitau dia awak kat sini…bakal mak mertua saya tak dapat datang..sebab dia kena jaga anak bakal abang ipar saya..dia orang berdua ke Australia dua minggu…faham.” Doktor Erlanda yang seakan berbisik. Aduh.. tiba-tiba terasa kepala seperti ditimpa buah kelapa gugur.

Kalau macam inilah keadaannya lagi susah demam aku ni hendak sembuh. Ada saja perkara yang mengejutkan aku. Macam mana dia siap telefon mak aku, apalah dia cerita dengan mak aku. Aku naik semula ke atas katil..selimutku tarik lagi dan terus berbaring memejamkan mata pura-pura tidur. Sebelum dia pergi, Ezran mengusap-usap rambutku namun cepat-cepat aku tepis tangannya walaupun mataku terpejam.

“Bukan muhrim!” kataku perlahan.
******************************

Sementara di kaunter jururawat, masing-masing hairan melihat perlakuan Doktor Erlanda hari ini. Biasanya dia tidak pernah ambil kisah jika jururawat ada berdekatan dengannya, tetapi hari ini dia ambil kisah dan tidak mahu kerja-kerjanya diganggu. Aku nampak mereka saling berbisik-bisik dan menjeling ke arahku. Aku pula pura-pura buat tidak nampak.

“Kak Ju kita terasa hati sangat dengan doktor tu..dia halau kita tadi depan patient pulak tu..geramnya!!” kata Elya jururawat yang bertugas.

“Awak pun satu yang mengedik-gedik dekat doktor tu kenapa..dia dah cakapkan patient tu dia nak handle sendiri..ikut dialah…” Bidas Kak Ju yang juga jururawat di wad tiga.

“Kak Ju.. for your information.. doktor tu memang suka kat kita…la…kita cantik dia kacak..memang sesuai.. dah banyak kali dah doktor tu try usha kita.. kita je yang tak layan.” Kata Elya.

“Perasan la kau Elya.. bertuah badan kalau kau dapat doktor tu.” Kata kak Ju. perbualan mereka mati disitu sahaja.

Elya datang ke arahku, dia menanggalkan line air yang masuk ke badan ku kerana suhu badan aku sudah normal hanya perlu makan ubat. Dia duduk di atas kerusi di tepi katil. Dapat aku membaca pandangan dia terhadap aku, memang ada satu pandangan marah jauh di dalam hati. aku pula terus bertongkat dagu memandang muka jururawat Elya yang sedang memandang muka aku. Kami bertentang muka, aku mengerdipkan mataku beberapa kali seraya tersenyum. Dia terkejut dengan tingkah laku aku. Perlakuanku seolah-olah aku tidak tahu perasaan yang tersirat dalam dirinya.

“Awak ada apa-apa hubungan ke dengan doktor kacak tu..mmm maksud saya Doktor Erlanda?” Tiba-tiba terpacul soalan keluar dari mulut Elya. Penuh dengan makna disebalik pertanyaan itu. Muka Elya aku pandang seketika sebelum aku menjawab soalannya.

“Langsung tak de.”

“Mustahillah…takkan dia layan awak special je…macam mana awak kenal dia?” Elya terus bertanya.

“Tak delah dia jiran saya….mak saya pesan suruh dia tolong tengokkan saya..mak saya tak dapat datang ada hal penting.” Aku menipu supaya dia tidak bertanya lagi.

“Oh..jiran dia patutlah rapat…hensemkan doktor tu…”Elya berkata dengan nada riang.

“Hensem?? Boleh la…” Kata ku.

“Boleh la..? Awak ni tak pandai menilai ke apa?” Tanya Elya seperti marah.

“Itu pendapat saya… dari sudut penilaian mata saya. kenapa nurse ada masalah ke dengan doktor tu?” tanyaku kepada Elya.

“Takdelah… saja tanya pendapat awak.” Kata Elya. Dari riak wajahnya nampak dia sukakan doktor tu. Perbualan kami terhenti seketika.

Dari Kad pengenalan Pekerja yang dipakainya. Elya berumur 25 tahun bermaksud tua dari aku 2 tahun, orangnya comel kecil molek, kulit putih, pandai bersolek, tapi mulutnya boleh tahan.

“Kalau macam tu hot jugalah kiranya doktor tu kat sini ye..habis tu nurse dah dapat tackle ke belum?” tanyaku sambil menongkat dagu.

“Hampir-hampir…rasanya tak lama lagi dapatlah akak tackle doktor kacak tu. Biar terbelalak sikit biji mata dia orang yang mengata akak ni.” Kata Elya yang membahasakan dirinya akak.

“Baguslah tu nurse.. cepat sikit tackle doktor tu.. takut melepas nanti.” Kataku.

Haishh!! Memang gedik, dahsyat! ada juga orang spesis macam ni. Macam manalah hati dan perasaan dia langsung tidak ada perasaan malu. Getus hati aku.

“Akak nak ingatkan kau ni, jangan nak terlalu rapat sangat dengan boyfriend akak tu.. akak tak suka kalau ada yang cuba-cuba rapat dengan dia. Akak sanggup buat apa saja kepada sesiapa yang menjadi penghalang cinta kami.” Kata  Elya seakan memberi amaran kepadaku.

“Siapalah saya ni nurse nak rapat dengan orang macam tu.. tak setaraf.. macam enggang dengan pipit… kenalah sedar diri.” Kataku lagi.

“Baguslah kalau sedar diri.” Kata Elya sambil berlalu dari katil aku. Amboi mulut dia boleh tahan sedap bila bercakap.
************

Waktu makan Tengahari Doktor Erlanda datang  membawa mangkuk tingkat  dan sekotak KFC. Kehadirannya ke Wad Anggerik amat mengejutkan jururawat yang bertugas terutama Elya. Doktor Erlanda berhenti di kaunter seketika bercakap-cakap dengan jururawat di kaunter dan barulah dia datang kepadaku. Elya mukanya masam mencuka kerana doktor langsung tidak mempedulikan dia walaupun dia cuba menarik perhatian Doktor Erlanda dengan membuat pura-pura sakit kepala.

“Doktor nak ajak kita makan ke? Kita sudi sangat-sangat tambahan pulak doktor yang ajak.” Kata Elya dengan gaya yang menggelikan perut.

“Lain kali la Elya..ni special untuk patient saya yang  katil hujung tu.” Beritahu doktor sambil jari telunjuknya di tunjukkan kearah ku. Doktor Erlanda berlalu dari kaunter menuju kearah ku.

Tergambar perasaan marah bercampur cemburu di dalam hati Elya. Kakinya dihentakkan ke lantai melepaskan perasaan. Jururawat yang lain ketawa melihat dia yang berkelakuan seperti budak berumur empat tahun.

Dari jauh Erlanda  tersenyum, aku buat bodoh seperti aku tidak melihat dia. aku tidak suka jururawat di kaunter asyik bercakap mengenai hal aku dan Doktor Erlanda. Dari mula Doktor Erlanda memeriksa aku dan kami berbual-bual pandangan tajam jururawat Elya kepada tidak henti-henti. Aku sangat pasti ada rasa tak puas hatinya tapi aku tidak peduli bukannya aku yang terhegeh-hegeh meminta simpati Doktor Erlanda menjaga aku.

“Awak..makan ni…saya suruh bibik masak untuk awak…dia kirim salam.”

Belum sempat lagi Doktor Erlanda meletakkan mangkuk tingkat dan bungkusan KFC, aku memandangnya dengan pandangan yang tidak puas hati.

“Awak…kenapa marah ni? Saya ada buat salah ke? Awak tak sihat ke?” Tanya Doktor Erlanda hairan.

“Marah.. kenapa nak marah.. Cuma saya hairan.” Kataku.

“Hairan apanya?” Kata Doktor Erlanda sambil membuka bekal mangkuk tingkat yang berisi bubur dan sup ikan merah disalinkan ke dalam mangkuk dan menyuruh aku makan.

“Tu.. nurse tu.. dia sukakan awaklah dia cakap dengan saya tadi.. cuba awak tengok mata dia asyik memandang ke sini je.. masalah ni.. saya tak nak terlibat dalam masalah berat.” lurus kenyataan yang aku keluarkan.

Kelihatan Elya seperti cacing kepanasan melihat aku dan doktor hanya berdua di katil. Aku  masih tidak menjamah makanan yang dibawa. Doktor Erlanda mengambil mengambil mangkuk berisi bubur mahu menyuapkan ke mulut aku. Terbeliak mata Elya melihat perlakuan Doktor Erlanda idaman hatinya.

“ Saya dah sihat.. boleh makan sendiri.. tangan pun masih ada dua lagi. terima kasih.” Kataku perlahan sambil tersenyum.

“Awak tak usah ambil kisah dengan si Elya tu..dia memang macam tu..perasan..huh! saya pun takut dengan dia…” Doktor Erlanda bercakap perlahan takut didengar orang keliling agaknya.

“Awak takut? Kenapa? Jodoh tu..” Kataku.

“Haishh!! Mintak simpang.” Kata Doktor Erlanda. Kami sama-sama ketawa kecil.

Muka Elya merah padam mungkin marah teramat yang teramat sangat. Dia pura-pura sibuk lalu-lalang dihadapan kami mungkin untuk menyiasat apa yang kami lakukan. Doktor Erlanda terus menarik langsir seakan dia dapat membaca tujuan Elya.

“Eh! Dia cantik apa..sesuai dengan awak…doktor vs jururawat…sangat sesuai..” Aku memuji sambil ketawa.

“Suka hati awak je….awak tak nampak ke apa yang saya buat ni…tuhan je yang tahu perasaan saya untuk awak. Awak je yang tak suka dengan saya.” Doktor Erlanda membuat pengakuan. Aku buat-buat tidak faham.

“Jangan nak buat drama kat sini…saya tak suka bila ada scene nangis saya kena nangis…baik saya makan dulu....awak tak nak makan?”

“Nak..sebelum tu boleh tak awak bagi saya sekali je…sekali je..saya nak suapkan awak makan..pleaseee.” Erzan merayu.

“Jangan nak mengada-ngada…saya ada tangan.” Aku terus menyuap makanan ke mulut aku. Doktor Erlanda hanya memandang aku sambil tersenyum.

Tiba-tiba sedang kami berbual-bual sambil makan, Elya datang menyelak langsir. Dengan muka yang sangat manis dia tersenyum lebar.

“Boleh saya nak join juga berbual dekat sini?” Minta Elya.
                                                                                      
“Apa salahnya..marilah kita duduk-duduk sambil makan-makan.” Jawabku. Tanpa rasa segan Elya terus duduk di tepi kati aku menghadap Doktor Erlanda yang sedang makan ayam goreng. Tangannya terus mencubit sedikit daging ayam yang ada ditangan Doktor Erlanda yang sedang enak menjamu selera. Terkejut dengan tingkah laku Elya, Doktor Erlanda terus berhenti makan.

Aku terkejut juga dengan tindakan berani Elya isyarat peace aku tunjukkan sambil mengangkat kening seraya tersenyum  kepada Doktor Erlanda. Kalau hendak ikutkan hati mahu sahaja aku berguling-guling di dalam Wad Anggerik melihatkan perlakuan Elya. Elya masih tidak puas hati, dia mengambil pula coleslaw dan cuba disuapkan ke mulut Doktor Erlanda, mungkin dia hendak menunjukkan kepadaku betapa mesranya hubungan dia dan Doktor Erlanda yang kacak itu.

“Doktor.. makanlah ni.. saya suapkan ye..” Kata Elya. Dia marah apabila Doktor menepis tangannya. Aku turun dari katil, Elya langsung tidak menghiraukan aku yang menjadi penonton. Aku langsung tak cemburu, suka hati kaulah Elya.

“Sayang awak nak pergi mana tu?”Doktor Erlanda bertanya kepada aku. Bulat biji mata aku memandang Doktor Erlanda. Elya pula tersipu-sipu apabila mendengar perkataan sayang, dikira itu panggilan untuknya.

“Doktor ni panggil saya sayang pula..malu la saya depan patient ni. Nanti apa pula dia cerita dekat orang lain.”

“Awak ni apa hal Elya? Saya tengok awak ni macam ulat beluncas je…. Bila masa pula saya panggil awak sayang...perasanlah awak ni..saya rasa elok awak pergi sambung kerja awak..jangan nak menyibuk-nyibuk dekat sini.” Halau Doktor Erlanda. Elya masih tercegat dekat katil. Perempuan ni pun satu memang degil, sudah tahu orang tidak mahu janganlah terhegeh-hegeh mendambakan cinta pada yang tidak sudi.

“Doktor jangan marah-marah…relaklah….bukan kena bayar pun Elya duduk kat sini… lantaklah… aku serabut alam betullah tengok kau orang ni!!” kataku perlahan bercampur geram. Aku terus pergi ke bilik air membawa tuala untuk mandi. Doktor Erlanda dan Elya aku tinggalkan. Aku mahu beri peluang kepada Elya untuk bercakap dengan doktor idaman hatinya.
*******
Aku keluar dari bilik mandi dengan menyanyikan lagu Twinkle-Twinkle Little Star. Sampai di katil aku lihat Elya masih berada di situ sementara Doktor Erlanda sudah pergi. Fuhh!! Lega kataku dalam hati. aku menyikat rambut dan mengikat tinggi. Seperti biasa aku memakai track dan t-shirt sahaja.

PANGG..penampar hinggap di muka ku. “Kau buat aku sakit hati, sekarang kau rasa betapa sakitnya hati aku ni....kau tak mengaku ada hubungan dengan doktor tu..” aku diserang hendap oleh Elya tanpa ada sebarang isyarat. Memang nak sakit perempuan ni . setidak-tidaknya aku balas dengan penumbuk dan penerajang, baru dia tahu siapa aku. jururawat lain yang berada di kaunter datang ke katil aku.

“Apahal kau tampar aku? Kau dah psiko?” Ringkas soalan aku.

“Aku dah kata aku akan buat apa saja… kalau ada yang menghalang cinta aku dan doktor tu!!” Kata Elya seperti kena Histeria. Jururawat lain memegang Elya supaya dia tidak menyerangku lagi.

“Elya mengucap Elya…malu..kau masih dalam uniform ni..kenapa serang patient..teruk kau nanti kena tindakan tatatertib…hilang akal ke kau ni? Hanim pergi panggil Doktor Erlanda cepat. Kalau pengarah tahu teruk kita satu wad kena tindakan. Pesakit yang lain hanya memandang dari katil masing-masing. Nasib baik pesakit Cuma ada tiga orang sahaja termasuk aku dan mereka bukan sakit kronik.

“Kalau nak ikutkan hati saya…nak je saya pijak awak ni Elya..hilang dah hormat saya kat awak ...tapi saya masih ada harga diri… malu disebabkan lelaki nak gaduh-gaduh, saya tak de masa nak layan orang macam awak ni. Buat malu kaum perempuan je.” Aku meluahkan apa terpendam. Aku terus duduk di atas kerusi. Hampir mengalir juga airmata aku. Aduh! Malunya..seganas-ganas aku pun hendak menangis juga dibuatnya.

Elya ditarik oleh jururawat lain pergi ke kaunter sambil menenangkan Elya. Kak Ju datang dekat denganku mengusap-usap belakangku.

“Akak dah agak Elya akan buat hal hari ni..sebab semalam dia ada cakap dengan akak yang dia benci tengok Doktor Erlanda layan adik baik sangat… sebelum ni kita orang memang tak pernah tengok atau jumpa doktor tu dengan orang perempuan… jadi Elya rasa dia ada peluang untuk mendekati doktor..tup…tup dia tengok doktor rapat dengan adik. Tambahan pula dia dengar dari  jururawat bertugas di wad ni mengatakan doktor minta doktor lain menggantikan dia bertugas malam adik masuk ke sini dan sanggup jaga adik sampai ke pagi.” Cerita Kak Ju kepadaku dia memanggil aku adik kerana nampak raut wajahnya dalam lingkungan umur 40-an jauh lebih tua dari aku. Aku mendengar dengan teliti.

“Saya faham perasaan Elya sebab saya pun perempuan.. Cuma caranya saya tak suka memalukan orang perempuan.. mak saya selalu berpantun ‘buah beka-beka dimakan kera betina, rupa tak mengapa perilaku yang bawa hina’.. walaumacamana suka sekalipun janganlah tunjukkan sangat hingga mendedahkan keaiban diri sendiri.” Aku meluahkan lagi apa yang terbuku dihati.

Sedang berbual dengan Kak Ju, Doktor Erlanda masuk ke dalam wad laju kakinya melangkah ke arahku. Elya terus berlari-lari anak mendapatkan Doktor Erlanda. Kak Ju terus beredar dari katil menuju ke kaunter.

“Doktor..doktor…patient ni kurang ajar…sakit hati saya..” kata Elya yang ingin menutup perbuatannya padaku tadi.

“Elya saya dapat tahu awak tampar dia kan? Kenapa awak tampar dia? apa masalah awak? Sebagai seorang jururawat awak mestilah bersikap professional hal sebegini sepatutnya tidak berlaku. Tindakan tatatertib akan dikenakan keatas awak saya akan laporkan hal ini ke pihak atasan.” Tegas Doktor Erlanda kepada Elya.

“Apa salah kita? Dia tu yang mulakan dulu… doktor kita betul-betul sukakan doktor.. siapa dia ni?.. kenapa doktor layan dia baik sangat?... dia cakap dia jiran doktor je.. tapi kenapa doktor panggil dia sayang..sayang… sakit betul hati mendengarnya… ” Elya membuat pengakuan yang akan memalukan dia seumur hidup. Aku pula tercengang-cengang mataku memandang ke arah doktor, Elya, jururawat dan pesakit… kalau dibuat drama ni bagus. Apa yang berlaku seolah-olah dalam drama confirm laku kalau ditayangkan. Dalam keserabutan aku masih boleh berangan, cepat aku tersedar kembali ke alam realiti.

Aku menjadi penonton setia dengan muka yang cool, tapi dalam hati kalau boleh hendak rasanya aku lempang kedua-dua makhluk yang menyusahkan aku. Pasal tidak pasal sudah berlaku pertelingkahan disebabkan cemburu dan cinta tidak berbalas.

“Dia ni bakal tunang saya… lepas dia keluar dari hospital ni.. saya akan bertunang dengan dia...”

“Tunang!!! Tak..tak mungkinnn!!” terjelepuk Elya terduduk ke lantai. Aku yang sudah hampir sembuh cuba membantu dia bangun namun ditepis oleh Elya. Aku juga terkejut dengan pengakuan berani Doktor Erlanda di hadapan kakitangan bawahannya.

Aku mencapai handphone terus melangkah ke luar dari wad. Hari ini terjadi pula drama yang agak dahsyat sepanjang 23 tahun aku hidup. Spesis manusia apa yang ada disekeliling aku ni semuanya pelik belaka. Ada yang terlalu mencintai, ada yang menolak cinta dan ada yang tak menghiraukan cinta.
********

“Adik bagi akak Milo suam satu dengan mee goreng satu, makan sini ye.” pesanku, tangan ku meraa-raba ke dalam poket mencari duit. Nasib baik ada RM10 lega rasa hati, kalau tidak dapat malu free. Jam di dinding cafĂ© hospital menunjukkan pukul 4.00 petang, penat kepala otak aku mengenagkan peristiwa yang baru berlaku. Itulah kehidupan, mungkin daripada peristiwa ini dapat aku belajar sesuatu yang bermanfaat.

“Hello..Diana kau kat mana?” Aku menguhubungi Diana.

“Aku kat KL ni, Mr. Leong suruh aku ke sini melatih kerani baru buat order untuk syarikat yang baru buka ni. Sorry lah aku sibuk sangat hari ni. Barang-barang kau, aku hantar ke Doktor Erlanda je. Adakan dia bagi?” Kata Diana dihujung talian.

“Oh..patutlah kau tak jengok aku langsung.. barang tu sampai ke tangan aku..terima kasih.. aku bosanlah duduk kat sini..dah lah hari ni ada gaduh yang maha dahsyat…heeiii serabut otak aku… belum sampai sehari aku masuk wad.. tajuk pergaduhannya Cinta Tak Berbalas aktornya aku yang telibat.”  Diana memang faham dengan ayat pelik-pelik aku ni.

“Gaduh apanya? Ada yang marah ke Doktor Erlanda baik dengan kau? Doktor tu dah tangkap sayang dengan kau…terima je lah..tak payah pikir-pikir dah…”

“Amboi senang kau cakap… ok lah aku nak makan ni..karang kita bergosip semula.” Kataku memutuskan talian.

Makanan sampai depan mata, perut yang lapar aku isi. Milo suamku hirup dengan perlahan mee goreng didepan mata membuatkan air liur aku kecur. Sudah separuh pinggan mee goreng aku nikmati, disaat perut lapar begini bagilah apa pun semua aku telan tolak batu dengan kayu sahaja.

“Ya Allah kat sini dia rupanya..saya ni bagai nak gila cari awak keliling hospital..” Doktor Erlanda terpacak di hadapanku. Aku menoleh  melihat mukanya.

“Kenapa tak gila je terus…. sayalah orang pertama yang akan menghantar awak ke Tanjung Rambutan kalau awak gila..” ayat bodohku sudah keluar semula. Tercengang Doktor Erlanda bila aku berkata begitu terhadapnya.

“Awak… boleh je awak lari masa tengah kecoh tadi…siap datang makan pula kat sini, awak ni tak de perasaan ke? Boleh cool je walaupun dah kena lempang dengan Elya..”

“Perut lapar mengatasi segalanya.. well kalau nak ikutkan hati nak je saya pijak si Elya tu.. pelempang dia pun bukannya kuat sangat pun, duduklah makan sekali, tapi kalau nak order bayar sendirilah… dalam poket saya ada RM10 je.” Aku mempelawa Doktor Erlanda. Dia duduk di depan aku yang sedang makan.

“Saya pun tak makan lagi.. saya terkejut betul masa Elya datang kat kita tadi.. biasanya dia tak macam tu..”

“Dia suka sangat dengan awak tu.. kesian awak buat dia macam tu.. terimalah dia.. mental nanti minah tu. Dahsyat betul cinta dia pada awak..ibaratnya lautan api boleh direnangi.” Kataku lagi. Doktor Erlanda menarik nafas panjang.

“Dalam hati saya hanya awak je sorang. Tiada dua tiada tiga. Yang lain-lain saya tolak tepi.” Doktor Erlanda membuat pengakuan. Kami terus berbual dalam kebisingan suara-suara orang yang sedang menjamu selera.
*******

Diharap masih sudi membaca dan memberi teguran yang sewajarnya.