Wednesday, 27 June 2012

CINTA KFC 14


BAB 14

“Aku terima nikahnya Roselaila Binti Ruslan dengan mas kahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai.” Jelas, terang dan lantang suara Ezran melafaz kabulnya. Aku masih ternganga mendengarnya. Satu kali lafaz je.. fuyyoo aku dah jadi isteri orang. Selesai ijab dan kabul kami semua bertadah tangan sebagai tanda kesyukuran. Doa dipanjatkan oleh Ezran sendiri. Kemudian aku dipanggil untuk mendengarkan lafaz taklik dari suami aku A.K.A Ezran Erlanda bin Suhaimi. 

Hebatnya Dia melafazkan taklik tanpa membaca di kertas. Semuanya dia ingat dalam kepala. Hrmm.. aku mendengar dengan teliti. Bagus! Bagus!.

Selesai sudah terus majlis membatalkan air sembahyang. Seutas rantai leher putih beserta loket di pakaikan ke leher aku sebagai tanda membatalkan air sembahyang. Kemudian Ezran memberikan duit mas kahwin yang telah digubah menjadi sejambak bunga. Aku menyambut dengan senyum ikhlas. Aku dan Ezran bersalam, tangannya aku cium. Tanpa segan dia memeluk aku dan terus mencium dahi aku. Nak ikut hati nak je aku tolak dia supaya jangan peluk aku. tak bestlah macam ni. nak tak nak aku senyum juga.

Hari ini aku terpaksa jadi model raja sehari, mana tidaknya kamera sana sini. Semuanya fokus kepada kami berdua. Aduh! Dah tak larat nak bersimpuh. Tapi memandang keadaan tak mengizinkan untuk aku bersila, aku sabar. Sabar tahap gaban.

“Terima kasih.” Perkataan pertama yang dibisikkan ke telinga aku. aku terus pergi bersalam dengan keluarga sebelah Ezran. Orang pertama yang tuju ialah mak dan abah kemudian mak mertua aku dan ayah mertua aku. ciuman hingga dipipi bila aku bersalam dengan mak dan mak mertua aku.

“Comel menantu ibu.” Kata ibu Ezran dia mencubit pipi aku. Aku masih tersenyum. Selesai bersalam dengan semua orang aku di arahkan supaya masuk ke bilik untuk menukar baju untuk sesi bergambar di atas pelamin. Inilah part yang aku malu. Sangat malu! Kena bergaya ala-ala model. Kalaulah tak de pelamin mesti best. Tak payah nak bergambar sangat. Lagipun lepas ni kami kena berpisah juga. Ni semua lakonan semata-mata. kalau aku bagitau orang tua kami mesti ada yang terluka. Heyy!! Tak boleh.

“Kenapa termenung lagi ni? cepatlah salin baju. Nak bergambar lepas ni. jom!” Ajak Ezran.

“Jom kemana?” Tanya aku.
                                                                                                           
“Salin baju.” Kata Ezran.

“Gila ke apa. Nak masuk bilik sama-sama. Nak kena salin baju sama-sama. Haiiyya.”bisik aku. bulat mata aku memandang Ezran.

“Yelah habis tu saya nak pergi salin ke mana?”

“. Tapi awak salin dulu. Siap awak salin baju awak terus kena keluar dari bilik saya.”

Kak Ita sudah bergerak ke tempat lain setelah selesai kerjanya menempelkan make-up yang sederhana di mukaku. Awal-awal lagi dia sudah mengajarkan aku cara memakai baju untuk sesi bergambar. Semuanya aku angguk sahaja. Malas hendak bertanya. Lantaklah! Janji aku sarungkan aje baju ni.

“Yelah..jom!..Jom!” Kata Ezran sambil menarik tangan aku ke bilik. Aku yang tak berapa redha terpaksa mengikut. Keliru juga aku, ini rumah dia ke rumah aku. kenapa dia pula yang lebih-lebih.

“Hai! Pengantin nak pergi mana tu? kok ye pun sabar-sabarlah dulu.” Usik saudara-mara yang ada diluar. Terhenti langkah kami di pintu bilik. Kecil mata aku memandang Ezran dek kerana mendengarkan usikan mereka.

“Nak tukar baju je.” Kata Ezran tangan aku masih digenggam erat. Aku menoleh ke belakang seraya tersenyum dengan usikan mereka.

Ezran tutup pintu bilik. Aku mulalah serba salah bila kena berdua-duaan macam ni. Rasa marak muka aku seperti aku menghadap unggun api. Tapi Ezran sedikit pun tak menunjukkan apa-apa. Selamba dek je muka dia. Baju melayu warna putih ditanggalkan.

“Nanti!”

“Kenapa?”

“Awak pakai tuala ni dulu. Haish!! Boleh pengsan saya kalau macam ni.”lurus lidahku berkata mungkin kerana terlalu gementar. Ezran menyambut tuala yang aku hulurkan.

“Awak kena tolong saya pakai kain samping.” Kata Ezran.

“Awak ni mengada-ngada la. Tu kat luar tu ramai yang boleh tolong. Danish ada, ayah ada, abah ada, ibu ada pergi la minta tolong dengan dia orang. Awak dah langgar perjanjian, sepatutnya saya tak payah kawin dengan awak, tapi awak main taktik kotor.. awak jerat saya...” Tak sempat aku nak menghabiskan kata-kata Ezran meletakkan jari telunjuknya ke bibir aku supaya aku diam. Tergamam dengan tindakan Ezran hampir kelu lidah aku.

“Sampai hati awak cakap macam tu. awak tau tak malam ni saya kena kerja. Awak tak kesian ke saya ni?” Tanya Ezran. Jari telunjuknya masih di bibir aku. Perlahan aku alihkan jarinya dari bibir aku. haish! Macam nak luruh jantung aku.

“Yelah saya tolong ikhlas. Awak kena ingat, awak hutang saya banyak sangat. Tapi tak pe untuk hari ni saya simpan sebab ini antara kita berdua je. Keluarga tak masuk campur. Saya tak nak memalukan keluarga kita.” Kataku sambil membantu Ezran mengikat kain sampin.

“Esok saya ambil awak, kita balik rumah kita ye. Lagipun esok hari minggu ibu dan ayah mesti nak beramah mesra dengan menantu dia ni.” Walaupun marah aku tetap membantu Ezran menggayakan kain sampingnya. Adakah aku sukakan dia atau aku mahu menunjukkan  aku seorang yang sangat bertolak ansur. Entah.

“Okey.. saya berikan kerjasama yang sebaiknya. Tapi... saya rasa kita kena betulkan perjanjian kita balik. Hrmm.. okey.. esok kita baiki perjanjian kita. Deal?”aku yang masih tak berpuas hati mencari kepastian.

“Baiklah puan, saya ikut je.” Ezran tersengih nakal.

“Eiiiuu.. puan?” aku mencebik.

“Habis tu.... baru tadi aku terima nikahnya.... sayang sekarang ni awak dah tukar statuslah... puan...” Ezran tersengih lagi. Pintu bilik diketuk beberapa kali. Cepat aku membukanya. Terpacak abang aku didepan pintu bilik.

“Ni kawan-kawan korang berdua nak berjumpa. Cepat sikit ada yang dah nak balik ni.”

“Okey..okey” kataku. Perlahan aku tolak Ezran keluar. Aku sengih leper. Nampak macam jahat sangat aku ni.

“Awak keluar dulu... giliran saya salin baju.”Kataku lagi.

Dua puluh minit aku ambil untuk menukar baju. Sepatutnya tidak selama itu untuk aku menukar baju. Bila aku sarungkan baju pengantin aku, mulalah aku berangan sampai ke puncak Gunung Tahan. Aku pun tak tahan dengan angan tak sudah aku ni. Kenapalah aku ni kuat sangat berangan. Sehingga pintu bilik di ketuk beberapa kali.

“Lah! Kenapa tak keluar kalau dah siap... cepat.. nak kena bergambar dengan keluarga kedua-dua belah pihak ni.” Marah abang aku. Aril yang turut disebelah abang tersengih.

“Oh!! Baru je siap, lambat sikit tak pandai nak pakai baju macam ni.” aku menunjukkan baju yang begitu bling-bling kepada abang aku. Dia dan Aril ketawa ketawa.

“Tak pernah abang tengok kau pakai baju macam ni. Harap tak hujanlah hari ni.” Gurau abang aku. aku mencebik kemudian menjelirkan lidah.

“Harap jugak pelamin tak runtuh ye bang..”Kata Aril.

“Eleh mengata dulang paku yang serpih, mengata orang aku yang lebih.” Kataku sambil meletakkan tangan dibahu dan mataku memandangke atas kemudian aku jelirkan lidah.

“Ha! Lawa sangat;ah buat macam tu. macam minah senget je. Kata Aril. Nasib baik si doktor tu nakkan awak tau.. kalau tak taulah laku ke tak laku.”Aril geram dengan gayaku. Alah doktor tu pun sama.. nasib baik aku setuju nak tolong jadi isteri tipu dia.. kalau tak tak taualah laku ke tak doktor tu.

“Jomlah abang....Aril.... harap cepatlah majlis ni habis.. dah penat ni..” Rungut aku serius. kami sama-sama berjalan menghampiri Ezran.

Inilah majlis pekahwinan tanpa pengapit.. padan muka. Peganglah kipas tu.. kalau rasa panas kipas diri sendiri. Tak payah nak mengada-ngada suruh orang lain kipaskan tak tinggi pun darjat duduk kat atas pelamin kalau untuk sehari je. Lagipun manalah aku tau majlis ni berlangsung dengan agak meriah walaupun sederhana. Ezran punya pasallah ni... langsung tiada perbincangan kemudian antara keluarga kami berdua. Majlis ni agak pelik dan menghairankan. Aku yang begitu independant bersiap sendirian tanpa bantuan orang lain. Apa yang bagusnya keluarga Ezran langsung tak banyak songeh. Mereka hanya mengikut sahaja. Betullah apa yang dah Danish cerita masa kami makan di KFC tempoh hari.

Majlis bergambar kami abadikan bersama keluarga aku dan Ezran. Teman-teman Ezran juga tidak dilupakan. Diana? Sudah tidak menjenguk untuk majlis hari ini. Dia meminta maaf kerana morning sickness sangat teruk. Aku panggil Kak Teh dan Kak Esah untuk bergambar sekali. Seronoknya bukan main lagi mereka berposing mengalahkan aku yang naik pelamin.

Bagi kawan-kawan emak yang menjayakan majlis perkahwinan aku turut aku panggil untuk sesi bergambar. Aku memang ikut suka hati aku je nak panggil siapa. Seronok juga dapat duduk atas pelamin ni. Terasa juga macam raja. Kira-kira akulah paling hot hari ini. Sekejap aku pandang ke sini.. sekejap aku senyum ke sana fokus kepada kamera. Mak Aiii!! Lupa sekejap dengan orang sekeliling yang ada.

Disebabkan seronok bergambar aku lupa untuk makan. Sehingga Ezran memberitahu aku yang dia lapar. Rupanya saudara mara Ezran sudah menunggu kami untuk makan bersama diluar rumah. Haishh!! Boleh over pulak aku ni. Kami keluar rumah menuju ke meja makan. Kalau dilihat dari zahirnya memang aku tak langsung macam pengantin lain. aku sentiasa bermuka selamba. Berjalan pun tak payah nak beriringan bersama berpegang tangan. Tak pe aku boleh jalan sendiri. Cuma tadi je masa masuk bilik je aku agak meroyan sedikit bila Ezran menggenggam  tangan aku sekuatnya.

Hidangan pengantin disediakan oleh Kak Teh and The Gang. Ezran mengambil segelas air putih yang diletakkan di meja makan kami untuk diminum. Belum sempat gelas mencecah bibir aku cuit lengan dia.

 “Kenapa?”

“Tak baca Bismillah ye...” mungkin geram dengan teguran aku dia terus meletakkan cawan dan terus membaca doa makan. Kedua tangan aku tadahkan amin. Tak payah aku baca doa makan sendiri. Aku senyum dapat juga aku mengenakan dia. Danish yang duduk di sebelah Ezran tergelak kecil melihat kami berdua. Ibu ezran duduk di sebelah aku dan ayahnya duduk di sebelah Danish. Mak dan abah turut sama menemani kami makan. Mereka beramah mesra antara satu samalain. Saudara maranya yang lain-lain aku tak tau nama. Cuma senyuman sahaja yang dapat aku berikan.

Hidangan  makanan yang ada didepan mata kami jamah. Sedap.. memang sedap.. ikan Kerapu masak Tiga Rasa memang membuka selera aku. Ya Allah! Semuanya makanan yang sedap-sedap udang, sotong, ayam, sayur menggecurkan liur aku.  Air buah tembikai laici membasahi tekak aku yang kering. Tapi semuanya aku control sopan santun. Kalau nak ikut hati maunya tak... mesti penuh mulut aku suapkan. Ezran yang duduk disebelah aku makan dengan tertib. Acara suap-menyuap?... tak payah.. tak de dalam hukum. Suaplah ke mulut masing-masing.
*****

Selesai semua majlis hari ini. Jam menunjukkan hampir pukul 4.00 petang. Semua tetamu dan ahli keluarga Ezran sudah pulang. Tinggalah kami sekeluarga sahaja. Riak wajah kepenatan tergambar di muka emak, abah, abang-abang termasuk Aril dan kakak-kakak ipar. Kasihan mereka.

Ezran! Entah mana dia? sebelum aku mencari dia elok aku tukar baju aku panas lagi merimaskan. aku masuk ke bilik mencari seluar track dan baju t-shirt yang berlipat di dalam almari. Terus aku salin baju aku. Eh! Ada beg pakaian atas katil aku? oh! Ya ini beg Ezran. Aku angkat dan letaknya dibawah. Aku mudar mandir di dalam bilik memikirkan apa yang perlu aku buat. Hrmm... elok aku cari Ezran dulu.

Berpusing-pusing aku mencari Ezran keliling rumah. Batang hidung dia pun aku tak nampak. Mana hilangnya dia ni. Kereta dia.. ada di tepi halaman rumah. Takkan lari pula.

“Abang long... nampak Ezran tak?”

“Siapa? Ezran je Ros panggil dia? Adik.... suami tu.. cuba wujudkan panggilan hormat... abang ke... adalah sopannya.” Satu teguran hinggap dimuka aku. Memang nak kena panggil abang ke?.. tak pe... aku cuba.

“Ezran tak suruh pun panggil dia macam tu. kena panggil macam tu ye?” bukan aku tak tahu tapi saja buat bodoh.

“Kau berdua dah berapa lama bercinta. Takkan itupun abang long nak ajar.”

“Mana ada orang bercinta dengan dia.. kawin ni pun se...” Tak sempat aku menghabiskan ayat. Celupar betul mulut aku. hampir terbuka rahsia. Aku tampar mulut aku sendiri.

“Eleh.. dah kawin pun tak mengaku lagi.. nampak sangat nak menipu.” Kata abang.  Aku senyum jahat.

“Ye orang tipu je... mana dia.” Aku cuba cover ketelanjuran cakap aku tadi.

“Tadi ada kat belakang rumah.” Buat apa dia kat situ? Sepatutnya dia dah boleh bersiap untuk pergi kerja ataupun dia kena berehat untuk stanby kerja malam ni. aku terus ke belakang rumah mencari suami aku. kenapa aku ambil berat sangat ni. hai ada taman bunga dalam hati ke?
******

“Ya Allah... awak basuh semua ni? Aril ajak Ezran basuh ni semua?”

“Mana ada... Ezran yang nak tolong.” Jawab Aril.

“Ye lah... nak juga merasa mencuci periuk belanga...”

“Awak berdua dah berkenalan ke?”Tanyaku. kening double jerk terangkat.

“Dah? Kenapa?” Jawab Ezran. Aril memandang aku dengan mengerutkan kening.

“Kenapa?”Aril bertanya.

“Saje mengeratkan silaturrahim.” Jawabku sambil memandang Ezran. Bukan aku pandang saja-saja. Segar lagi dalam ingatan aku... sebab aku dan Aril dia bagi aku status murah. Kalau ikutkan sakit hati sampai hari ni masih lagi terasa.

“Ohh!!...”Kata Aril. Ezran memandang aku senyum tak senyum. Lantaklah.. kalau aku cerita hal yang sebenarnya pada Aril.. kenalah aku Ezran. Tapi aku ni jenis yang malas nak panjangkan cerita. Ambil jalan mudah je, selesai masalah.

“Awak tak sayang tangan awak? Eh! Nanti pesakit awak tengok mesti dia orang cakap apa punya doktorlah jari pun karat.” Aku ketawa perlahan.

“Tak pe hari ni saya tukar kerjaya.... jadi tukang  cuci periuk belanga. Ada gaya tak?” Aku cebik bibir.

“Mak dah cakap jangan buat.. dia cakap dia nak merasa juga...” Sampuk emak yang dari belakang.

“Tak pelah mak biar dia rasa.” Jawabku selamba. Dua ibu jari aku terangkat kearah Ezran. Tapi dia hanya tersenyum. Suka sangat hati aku tengok Ezran beria-ia membasuh periuk belanga yang hitam legam. Rasakan.... menggaras periuk hitam.

Aku menyinsing lengan baju untuk membantu. Walaupun aku ni jahat pada zahirnya... tapi tak sampai ke dalam hati.
*************

“Awak nak ikut?” aku geleng. Baru tadi dia kata esok baru nak ambil aku. ini dah lain pulak.  Kipas diruang tamu rumah emak ligat berputar. Sejuklah sikit badan aku yang tengah panas ni.

“Pergilah ikut... teman suami tu...” Tingkah abah. Ini yang buat kacau daun ni. haila... bila abah masuk campur aku tak boleh kata apalah. Nak tak nak.. kenalah ikut. Kalau tak gerenti seminggu tutup aku kena ceramah perdana.

“Iyalah... pergilah ikut Ezran tu.” Emak turut membela. Aku angguk tapi dalam hati terbakar. Menyampah aku tengok muka Ezran bila mak abah aku membela dia. Geramnya!!

“Bolehlah...” jawab ku langsung tak ikhlas. aku bangun masuk ke bilik. Aku capai kain tudung Ariani yang bersangkut di dalam almari. Hrmm!! Dulu aku free hair hari ini semuanya berubah. Aku akan pakai tudung. Itu nazar aku sekiranya aku berkahwin aku akan bertudung. Hari ini aku mesti tunaikan nazar aku.

Emak menepuk peha abah perlahan. Aku nampak tapi sengaja aku tak endahkan. Muncung mulut emak menghala kearah aku. mungkin mereka hairan kenapa hari ini aku bertudung.

“Ni Nazar orang...” beritahuku tanpa perlu mereka bertanya. Ezran hanya diam memandang aku.

“Syukur Alhamdulillah.” Kata abah.

“Amin Ya Robbalalamin.” Sampuk aku sambil tangan aku raup ke muka. Ezran tersengih.

“Sempat lagi dia main-mainkan kita ye abahnya...” Emak geleng kepala. Aku buat tak tahu.

“Jomlah apa tunggu lagi.” Seperti aku pula yang hendak pergi kerja sedangkan Ezran masih bersandar di sofa. Sebelum pergi aku bersalam dengan abah dan emak. Restu mereka aku tetap pohonkan walaupun aku sudah bersuami untuk tempoh yang aku tidak tahu lagi. Ezran juga menuruti aku bersalam dengan emak dan abah.
***********

Selama lima belas minit didalam kereta aku tidak mengeluarkan sepatah kata. Hati masih panas. Pandai betul dia memancing aku mengikutnya di depan orang tua aku. mesti aku kena paksa rela makan umpan pancing dia. aku pun satu bila dah mati akal mulalah macam burung belatuk lapar.. mengangguk je.

“Apa status kita sekarang ni? Berapa lama lagi?”

“Suami isteri.. kejap lagi sampailah...”

“Eiii.. bukan itu? Maksud saya.. berapa lama nak kena teruskan kawin tipu-tipu ni?”

“Apa yang kawin tipunya.... tadikan ada tok kadi... ada wali.. ada saksi.. ada kenduri... kawin tipu apanya...”jawabnya. Susah betul bercakap dengan doktor kurang akal ni.

“Senang cakap.... bila kita nak bercerai?”

“Bergegar tiang arash awak cakap macam tu....”

“Habis tu?”

“Kita dah kawin... habis apa lagi?”

Aku terus diam. Sakitnya hati aku. kenapa dia jawab macam ni. takpe.. aku cuba lain kali. Mesti dia jawab juga nanti. hutang kejutan yang dia buat ... akan aku balas dengan kejutam juga. Tunggulah hari dan waktunya. Kereta Ezran terus laju menuju ke ke dentinasi yang aku sudah pasti.
*****

CINTA KFC 13


BAB 13

Aku bernasib baik kerana permohonan cuti selama dua hari diluluskan. Pada mulanya bos aku tidak benarkan, tapi entah macam mana mood bos aku bertukar baik dia luluskan. Syukur segala urusan aku dipermudahkan. Kebiasaannya kalau orang lain mahunya dua minggu untuk cuti berkahwin, aku pula dua hari sudah memadai. Cukuplah janji boleh cuti.

Suasana pagi di luar rumah bising kerana kawan-kawan emak sedang sibuk membantu apa yang patut untuk majlis hari esok. Aku masih seperti biasa. Hantaran sudah disiapkan malam tadi dengan bantuan Kak Teh And The Geng. Diana tidak dapat membantu kerana dia sudah mabuk. Hrmm... Diana ni masa aku memerlukan dia macam ni tak de pulak. Cepat betul Diana mendapat razeki.  Syukur Alhamdulillah. Kaki  aku mengatur langkah  keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku. Tambahan pula teruja bila aku dengar suara Mak cik Gayah Gosip yang riuh di luar rumah.

“Hai untunglah badan dapat bertunang dengan doktor. Kawin terus pulak tu. tapi kenapa kau kawin gantung? Tak rasa rugi ke? Orang lain kawin kenduri besar-besaran yang kau kawin makan gulai Lemak Nenas Ikan Masin je.” Mak cik Gayah mula hendak memanaskan keadaan bila aku sampai dekat dengan mereka. Aku tersenyum leper memandang Mak cik Gayah. Orang tua ni memang dendam tak habis dengan aku ni.

“Dia sibuk kerja la mak cik, tak sempat nak kenduri besar-besaran, lagipun kami tak de duit. Ishh! Mak cik ni mana ada rugi... untung apa.. tak payah penat-penat nak kenduri-kendara, cuba mak cik bayangkan kalau saya buat kenduri besar-besaran. Mesti mak cik penat membuat kerja. Lagi satu saya tak payah nak berhutang-piutang disebabkab nak nampak gah pada orang kampung.” Aku dah masak benar dengan perangai orang tua  ni. sebenarnya dah lama dia mencari cerita pasal aku.

“Aku ni bukannya apa, kesian menengok kau ni. semuanya ambil mudah. Sampai nak kahwin pun ambil mudah juga. Entahlah.” Kata Mak cik Gayah. Biarlah mak cik... janji Allah tahu apa yang aku lakukan. Aku bercakap dalam hati. Sudahlah jangan layan orang tua ni. Makin dilayan makin menjadi. Aku meminta diri untuk meninjau ke tempat lain.

Emak dan abah sibuk keluar masuk ke dalam rumah mengeluarkan peralatan memasak yang masih tak cukup. Abang-abang aku juga sibuk memunggah kayu dari ladang getah berhampiran untuk dibuat kayu api. Kakak-kakak ipar sibuk didapur meyediakan makanan untuk orang yang sedang bergotong-royong. Aku pula berlagak seperti Yang Berhormat turun padang melihat perkembangan anak buah membuat-buat sibuk dekat orang yang sedang  bergotong-royong. Aku ni memang berangan tak habis.

“Eh! Pengantin mana boleh duduk dekat luar. Masuk dalam  rumah nun.” Arah kak Esah sambil jari telunjuknya menuding ke dalam rumah. Aku pulak buat-buat tak tahu aku pusing kiri pusing kanan melihat kot-kot dia arahkan orang lain selain aku.

“Kaulah pengantin. Mana ada orang lain dah.” Aku tersengih memandang kak Esah.

“Kenapa kak berdosa ke kalau saya keluar macam ni. Saya bukan buat apa-apa pun, saya nak tengok orang dekat luar je. Lagipun bolehlah saya bantu apa yang patut.” Harap Kak Esah maklum dengan penerangan aku yang serba ringkas.  

“Ya Allah! Ros kau tu esok dah nak kahwin. Pengantin mana ada buat kerja dah. Kau pergi masuk dalam rumah duduk diam-diam je.” Kak Esah membebel. Kenapa tak aku tak boleh buat kerja. Setidak-tidaknya ringan beban mak dan abah. Kasihan mereka, tak sampai hati aku melihatnya. Ini semua gara-gara doktor kurang akal tu.

“Tak pelah kak. Saya bukannya tuan puteri, saya ni hamba abdi je. Tak de salah saya buat kerja kat luar ni. Kalau ayam tegur pun tak pe saya bukan pakai inai pun.” Jawabku lagi. Petua orang dulu-dulu kata kalau pakai Inai jangan keluar rumah nanti ayam tegur Inai tak merah.

“Astagfirullah hal adzim... kenapa  tak pakai Inai.. patutnya pakai Inailah... Kak Teh biarlah saya pergi cari daun Inai dulu. Melampau betul budak ni nak kawin tak nak pakai Inai.” Marah Kak Esah.

“Dia ni memang teruk. Takkan kau tak tau. Masa Diana kawin dulu, kau yang sibuk-sibuk tolong inaikan dia. Tapi bila kau yang nak kawin kenapa tak pandai nak buat.” Sampuk Kak Teh. Kak Esah dan kak Teh menarik aku ke tepi supaya jauh sikit dari orang ramai. Mesti ada benda yang nak ditanya ni.

“Alah kak ni, kawin gantung je, tak payah nak beria-ia sangat. saya tak kisah pun kak.”

“Ros, akak ni hairan kenapa kau kena kawin gantung? Kau ada buat masalah ke?” Tanya kak Teh. Aku faham masalah yang dimaksudkan tak lain tak bukan mengandung. Aish!! Tak terlintas nak buat perkara terkutuk tu.

“Takdelah kak. Masalahnya kalau akak hairan kenapa saya kawin gantung,  saya lagi hairan kenapa saya kena kawin. Pening...pening.” Kataku sambil menggeleng kepala.

“Budak ni soalan kita tak dijawabnya. Dia pulak yang bagai soalan.”Kata Kak Esah.

“Yelah akak mana ada khabar angin mengatakan kau nak kawin ke .. nak bertunang ke.. langsung tak de. Tiba-tiba je kan?” Kak Teh menambah lagi.

“Hrmm.. tau tak pe. Saya ni lagilah tak tahu macam mana nak hadapi hari-hari mendatang. Akak agak-agaklah cerah ke gelap masa depan saya nanti ye?” Soalku pula kepada kak Teh dan kak Esah sambil mata aku memandang ke langit biru . Kak Teh sudah  menggeleng-gelengkan kepala. Kak Esah memandang aku dengan dahi yang berkerut.

“Kau ni dah nak kawin pun boleh buat main-main lagi?” Marah Kak Esah. Main-main? Betul apa soalan aku tadi. Aku menggaru telinga.

Sebuah lori masuk ke halaman rumah. Mata kami tertumpu kepada lori yang salah alamat. Huh! Lori kanopi.  Perbualan antara aku, Kak Teh dan kak Esah terhenti seketika. Mesti lori ni salah rumah, sebab kami hanya kenduri kecil ala-ala koboi  tak perlu pasang kanopi. Confident je pemandu lori tu mengundurkan lorinya mencari parking yang selesa di hadapan rumah aku.  

“Encik salah rumah ni. kami tak de menyewa kanopi. Kenduri kami kecil je. Mesti rumah orang lain punya ni.” Aku memberitahu pemandu lori. Abah bergegas datang dekat denganku. 

“Yelah encik kami tak sewa kanopi sebab kami dah ada kanopi kampung. Lagipun kenduri biasa je.” Sampuk abah.

“Kalau mengikut alamat yang diberikan betul ni pakcik. Ini rumah Roselaila Ruslan? Kenduri untuk hari esokkan?  Betul?” Tanya pemandu lori. Tiga orang pekerjanya mula menurunkan barang tanpa kami sempat mencapai kata putus. Invois yang dihulurkan aku sambut baik. Aku meneliti invois yang sudah ditulis, betul nama aku siap dengan nombor telefon sekali. Orang kampung yang menolong kami asyik memandang ke arah kami yang sedang kecoh sedikit. Agaknya orang bunian yang menyewa kanopi ni. Pandai menggunakan nama aku. Memang nak kena ni. menyusahkan!

“Tapi encik anak saya tak ambil perkhidmatan encik ni. saya rasa elok encik angkat balik barang-barang encik.” Kata Abah.

“Betul.. betul.. angkat  balik. Saya tak nak perkhidmatan kanopi fofa ke beruang koala ke.. saya tak nak.” Kataku yang mula kalut.

“Pak cik, mak cik, adik sabar dulu.. ini sudah dibayar, jadi tak perlu risau. Tugas saya  memasang kanopi ni. Saya mengikut arahan. Apalah orang bagi free pun tak mau.” Rungut pemandu lori masih muda itu. Eh! driver lori ni merungut pulak aku cilikan mulut dia dengan sambal tempoyak baru tau.

“Nanti... siapa yang bayar semua ni?” Tanyaku. Serta merta langkah pemandu lori itu terhenti. Kakinya seperti sudah dipaku oleh pertanyaan aku. Abah dan emak sudah terdiam.

“Kalau tak salah saya encik Danish. Dia kata ini majlis kawin abang dia.” Jawab pemandu lori tanpa berpaling.

“Danish?? Memang nak kena ni.” Aku mengetap gigi kerana geram. Tak pasal-pasal kecoh rumah aku sekejap.

“Kalau macam tu pasanglah encik tak payah nak kecoh.  Pasang dekat depan ni je pun tak pe.  Tak payahlah kita ambil kanopi kampung kita. Ini pun dah lebih dari cukup.” Kata abah. Aku masih menggaru-garu kepala. Aku terus masuk ke dalam rumah. Misi aku untuk menelefon Ezran. Kali ni aku tak peduli dia sedang bertugas. Lantaklah!

“Hello assalamualaikum.” Bila talian dia angkat.

“Waalaikumsalam, kenapa?” Ayat pertama keluar dari mulut dia.

“Saya nak tanya... Danish sewa kanopi dan hantar ke rumah saya kenapa?” Aku pula mengajukan pertanyaan yang serupa di hujung ayat.

“Oohh!! Saya yang suruh Danish sewa. Hrrmm.. caterer dah ada telefon awak?” Ezran bertanya. Terlompat aku bila mendengar perkataan caterer.... banyaknya duit nak ambil caterer. Siapa yang nak bayar nanti alamatnya bergolok bergadailah aku.

“Caterer??” Penuh dengan persoalan pertanyaan aku.

“Yelah.. untuk majlis kita esok. Tak payah mak abah sibuk masak-masak. Kesian dia orang dah tua, penat buat kerja macam tu.” Amboi sikit punya bagus doktor ni. Belum rasmi lagi jadi mak abah kau.

“Apa awak buat ni? Awak tau tak mak abah saya siap masaklah untuk esok. Kenapa awak ingat mak abah saya ni teruk sangat ke sampai nak kena makan biskut masin cecah air kosong untuk majlis esok?” Panas betul hati aku. Lagilah pening kepala aku ni. apa semua ni. Agak-agak kalau aku pergi berendam ke sungai mesti sejuk sikit suhu badan aku ni.

“Janganlah marah. Saja je nak suprisekan awak. Awak tak kesiankan saya? Hrmm...Lagi satu pelamin tak sampai lagikan?” Tanya Ezran.

“Pelamin??? Siapa pulak yang nak bersanding atas pelamin  tu?” aku lagi kalut ditambah dengan buntu. Apa ni? kata bertunang ijab dan kabul sahaja. Tapi ini betul-betul dah lari tajuk.

“Awak janganlah kalut sangat. kita berdualah yang duduk atas pelamin tu atau awak tak kisah kalau saya duduk kat atas pelamin tu dengan orang lain?” Soalan Ezran yang ini buat aku rasa tercabar. Eleh! Aku tak heran pun.. duduklah dengan siapa pun yang kau nak encik doktor.

“Saya... saya.. saya tak kisahlah kalau awak duduk dengan orang lain.” Jawabku geram.

“Betul awak tak kisah? Tapi saya kisah kalau awak dengan orang lain.” Beritahu Ezran.

“Yelah... saya tau awak kisah.” Alamak apa yang aku cakapkan ni? terlepas cakap. Perasannya aku ni.

“Bagus kalau awak tau.  Tolong beritahu mak dan abah, saya dah ambil caterer dalam 600 orang makan. Cakap dengan mak abah tak payah penat-penatlah nak masak. Okeylah saya sibuk sikit ni. Assalamualaikum.” Tak payah penat-penat? Habis tu barang-barang kenduri semua dah beli. Orang ramai dekat rumah aku ni bukannya tengah main pondok-pondok, dia orang tu semua bertungkus-lumus membantu apa yang patut. Siapa suruh tak bagi tau awal-awal. Nantilah... kejap lagi nak beritahu abah. Pantas kaki aku berlari keluar rumah mendapatkan mak abah.

“Mak.. abah.. Ezran dah tempah caterer untuk makan esok. Dia cakap mak abah tak payah penat-penat nak masak.” Terkejut mereka yang ada berhampiran mak abah. mereka mula berbisik sesama sendiri. Bisiklah.. mak cik, maklong, mak ngah semua yang ada memang majlis ni kelam-kabut nak buat macam mana. Aku sendiri pun tak tahu nak buat macam mana.

“Eh! Kenapa dia tak bagi tau awal-awal. Banyaklah pulak makanan esok. Kita sediakan gulai nenas ikan masin, ayam masak merah, ulam dengan sambal tempoyak. Hrmm.. tak pelah razeki harimau nampak gayanya hari esok.” Kata abah sambil ketawa.  Emak masih membuat muka keliru.

“Saya ni tak faham langsung dengan bakal menantu kita tu. kenapa dia tak berbincang dulu dengan kita. Setidak-tidaknya bagilah tau kita ni. Ini tak main terjah je.” Kata emak memandang abah. Baru mak tau Ezran tu macam mana. Aku lagi tak faham kenapa jadi macam ni.

“Takpelah mak.. abah cakap tadi razeki harimau.” Kataku tersengih.

“Tu ada van putih masuk tu.. ada apalagilah agaknya.” Kata emak. Panjang muncung emak menunjuk ke arah van yang masuk ke halaman rumah kami. Abah menggaru-garu kepala. Kawan-kawan emak semuanya tertanya-tanya apa masalahnya. Terutamanya Mak cik Gayah penyebar gosip. Kerja mereka semuanya tergendala. Masing-masing duduk di pangkin menjadi penonton masih berbisik sesama sendiri. Nanti kalau mereka dah penat mesti mereka berheenti berbisik. Eh!! penat apa asyik berbisik macam tu. Cakap kuat-kuat apa salahnya.

Dari van tersebut keluar seorang perempuan muda lingkungan umur pertengahan 30-an.
“Ini rumah Roselaila Ruslan kan?” tanya perempuan tersebut kepada ku. Aku angguk kepala sahaja.

“Mana dia?” Tanya perempuan itu lagi. Mak abah juga sudah sudah pening dengan apa yang telah berlaku. Aku sebagai heroin dalam majlis ni mesti menyelamatkan keadaan supaya jangan jadi kecoh. Chewahh!! Kononnya.

“Sayalah.” Jawabku ringkas.

“Okey.. saya kak Ita, kami nak pasang pelamin, jadinya kat mana tempat yang nak dipasangnya?” Tanya kak Ita.

“Kalau macam tu, saya nak akak tengok kat dalam rumah saya tu, ruang mana yang paling sesuai. Saya tak kisah.” Jawapan yang mudah dan memeningkan kepala. Pasanglah dekat mana pun janji siap.

“Okey, lepas ni akak pasang pelamin ni akak kena andam sikit muka kamu dan terus berinai sekali ye.” Beritahu kak ita.

“Oh! Patutlah tak nak berinai rupanya dia dah siap booking semuanya.” Belakang aku ditepuk oleh kak Esah. Rupanya dia mencuri dengar perbualan aku.

“Akak saya ni tengah pening. Sebab semua ni tak de dalam agenda majlis saya ni. tapi sekarang sudah jadi lain. Macam mana ni kak?” Dengan muka aku yang berkerut dan hampir berkedut aku memandang Kak Esah.

“Lah kenapanya?” Kak Esah buat muka pelik.

“Tak delah kak saya tak de pun order semua benda alah ni.” jari ku menunjukkan ke arah kanopi yang sedang dipasang dan ke arah van pelamin. Muka aku berkerut. Tercengang-cengang Kak Ita mendengarnya. Aku sudah tidak peduli. Ezran kau berhutang banyak dengan aku hari ini. Kau buat mak abah, adik beradik aku, dan aku yang terlibat pening dalam perancangan tanpa dirancang.

“Akak pergilah tengok dulu dalam rumah tu kat mana yang sesuai akak nak letak pelamin ni.” kataku kepada kak Ita. Kebetulan dua orang kakak ipar aku keluar melihat apa yang berlaku.

“Okey... Jom! Punggah barang masuk rumah.” Arah Kak Ita kepada pekerjanya. Kawan-kawan mak menyambung semula aktiviti mereka yang tergendala dek  kerana iklan shampoo cap kerbau berkubang tadi. Aku pun turut sama masuk ke rumah. Aku tarik dua kakak ipar aku sebelah kiri dan kanan  masuk ke dalam rumah terus ke dalam bilik aku.

“Kak saya pening ni. apa nak jadi dengan majlis ni. haru biru ni kak. Ni baru hari ni... esok entah apa yang jadi. Saya dah naik kesian tengok mak dengan abah. Kalau macam ni saya tak kawinlah kak.”keluh aku.

“Hey! Kenapa macam tu.. baguslah pihak lelaki sediakan. Kau tak teruja ke tengok semuanya sampai ke tepi lutut. Mak abah dah tak payah nak bersusah payah dengan majlis ni lagi dah semuanya dah settle. Kau tengok pelamin pun ada sekali. Kalau akaklah gembira sangat.” Mukadimmah yang disampaikan oleh kak long. Kak ngah mengangguk macam orang mengantuk.

“Tak delah kak saya tak kisah pun nak buat pelamin ke.. majlis kenduri menjemput satu Malaysia ke.. janji beritahu saya.” Keluh aku lagi.

“Ni akak rasa dia nak buat suprise kat kau la ni. dia sayang sangat dengan kau ni.” Tambah kak ngah pula dengan bersungguh. Ini bukan kejutan tapi hanya menyusahkan. Muka aku yang suci nak diandam. Suka-suka hati Ezran je nak buat apa. Dia ingat aku ni tunggul kayu agaknya. Haish! Makin bertambah hutang dia dengan aku. sampai bila-bila aku tak lupa. Aku catit dalam buku tiga lima untuk peristiwa hari ini.

“Dahlah tak payah fikir sangat, esok dah nak ijab kabul. Tak baik masam muka macam ni. akak kena keluar dulu nak sambung kerja kat dapur tu.” Kata kak Long.

“Yelah kak saya ikut jelah...” Kataku akur.

Aku berbaring di atas katil. Mata aku pejamkan walaupun matahari terang-benderang. Fikiran aku berlegar-legar. Tindakan drastik aku yang bersetuju untuk bertunang telah merubah keseluruhan hidup aku. Perancangan yang aku rancang telah gagal. Ezran lebih bijak mengatur strategi dari aku. Punah! Punah!

Pintu bilik diketuk beberapa kali. Time macam ni mana boleh nak larikan diri dari masalah. Aku mesti hadapinya. Lagipun masalah ni aku yang menciptanya sendiri. Boleh dikatakan padan dengan muka aku. Tombol pintu bilik aku buka. Terpacak abah di depan pintu.

“Kenapa abah?” Ringkas soalan aku. mesti hal penting.

“Abah nak kau bagitau Ezran yang majlis ijab kabul esok dalam pukul 8.30 pagi. Suruh dia datang awal sikit biar kita yang menunggu tok kadi jangan tok kadi yang menunggu kita.” Pesan abah.

“Yelah abah. Untuk esok macam mana abah? Hrmm.. abah tak rasa banyak sangat ke makanan nanti?”

“Tak pe kita masak juga. Kalau ada makan yang dah ditempah tu tak pe. Itu dari Ezran yang ini pulak dari abah.” Kata abah lagi.

“Abah! Terima kasih banyak berkorban untuk majlis saya.” Kataku terharu. Entah kenapa kasihan aku melihat abah yang sudah tua. Sedih rasa hati aku. Sepatutnya dari mula aku patut menolak. Tapi tidak kerana ego aku turut kata hati. Betul kata orang tua kerana mulut badan binasa. Ikut kata hati mati.

“Berkorban apanya. Majlis ni abah tak payah nak susah-susah. Semua Ezran sediakan, Cuma dia tak bagitau kita je. Ros sepatutnya bersyukur dapat bakal suami yang bertanggungjawab. Dia tahu apa yang dia patut buat. Abah bersyukur sangat tengok dia ada budi pekerti, ada asas agama. Abah tak memandang pangkat dia. Yang penting kelakuan dia baik. Kalau pangkat tinggi tapi langsung tak de adab sopan abah tak boleh terima.” Abah mula berceramah motivasi membersihkan akal aku yang semakin sempit. Bab abah memuji tu aku tak puas hati. Boleh abah cakap dia bertanggungjawab. Bagi ini bukan bertanggungjawab tapi ini tunggang-langgang.

“Yelah abah. saya pun bersyukur sangat. tapi abah dulu janji nak ijab kabul je. Tapi sekarang dah jadi lain. Macam mana ni abah?”

“Semua yang jadi mesti ada hikmahnya. Inilah razeki. Cuba Ros tengok balik. Tak semena-mena Ezran sewa kanopi, dia ambil catering, dia sewakan pelamin. Ini semua razeki. Syukur Ya Allah. Bertuah anak abah.” Kata abah sambil bertadah tangan kesyukuran lantas abah aku peluk erat. Airmata aku mengalir perlahan. Haish! Kenapa aku emosional sangat ni. malu kalau orang tengok aku menangis segera aku menyeka airmata.

“Ingat! esok Ros dah jadi isteri orang, perkara utama syurga di bawah tapak kaki suami. Lepas ijab kabul nanti dah terlepas semua tanggungjawab abah pada Ros. Ingat jaga maruah suami macam mana Ros jaga maruah kami dulu.” Pesan abah lagi. Airmata aku bergenang lagi di birai mata. Abah ni buat aku betul-betul sedih.

“Yelah abah saya janji, saya buat yang terbaik.” Janjiku pada abah. Pasti ke janji aku ni boleh pakai? Seolah-olah cakap aku ini hanya untuk menyedapkan hati orang tua. Aku tersepit diantara perasaan serba-salah. Jangan tak tunaikan janji nanti munafik jadinya. Ya Allah... ampunkanlah dosa hamba Mu ini.

“Kalau macam tu abah nak keluar dululah. Jangan lupa bagitau Ezran.” Pesan abah lagi. Aku mengangguk tanda faham. Terus aku capai telefon di atas almari. Aku mencari nombor Ezran. Khidmat pesanan ringkas aku hantar. Malas aku nak menelefon sebab tadi dia kata dia sibuk. Selang lima minit SMS aku berbalas. Ezran kata dia akan sampai sebelum subuh. Amboi! Terangkat kening aku membacanya.  Aku ni tak de perasaan ke? Semuanya biasa je. Macam tak de apa-apa yang berlaku.

“Ros..Ros...”Panggil suara dari luar bilik. Mati angan-angan aku. aku segera bangun dan keluar dari bilik. Penat rupanya jadi pengantin..apa-apa orang cari kita.

“Ye kenapa kak?”

“Ni Kak nak suruh Ros tengok pelamin ni.” Kata Kak Ita.

“Saya dah tengok dah kak. Okey je.. cantiklah tu.” Kataku menipu. Padahal haram aku jenguk. Malas aku nak ambil pusing pasal pelamin anganku musnah tu. Biarlah pelamin tu terpacak kat situ. Kalau ada masa kejap lagi aku jenguk.

“Oh! Dah tengok.. kalau macam tu kita berinailah pula.” Kata Kak Ita memandang muka aku. Kak Teh dan Kak Esah datang dekat kami.

“Kak Teh bolehlah kita tengok Ros berinai dengan berandam sekali.” Kata Kak Esah memandang Kak Teh.

“Okey..jomlah kak.” Kataku kepada mereka bertiga. Baik hati aku memberikan kerjasama yang jitu. Nasib baik abah menyedarkan aku. Insaf sekejap. Kami berempat sama-sama masuk ke bilik. Kak Teh dan Kak Esah terus duduk di atas katil manakala aku dan Kak Ita hanya bersila di lantai.

“Kak saya nak Inai dua jari je.. saya tak nak Inai semua jari tangan dengan kaki.” Pintaku.

“Dik mana ada orang nak kawin inai macam tu. kena inai semua jari baru cantik.” Kata Kak Ita. Kak Teh dan Kak Esah masing-masing sudah menepuk dahi.

“Ros kau ni suka-suka hati je. Tak pernah dibuat orang. Kalau kau nak Mak cik Gayah ketawa  berguling-guling tiga hari tiga malam kau buatlah.” Kata Kak Esah. Kak Teh pula menggangguk-anggun tanda mengiyakan apa yang dikatakan Kak Esah.

“Kok ye pun nak buat lawak janganlah sampai dalam majlis kawin pun kau nak melawak. Adoi!! Putus urat kentut aku nak ketawa esok.” Kata Kak Teh. Inilah bodohnya aku, ikut suka hati. Betul juga cakap dia orang nanti orang ketawa pula. Maruah mak abah kena jaga. Pendek kata kena berhati-hatilah dalam apa yang aku nak buat.

“Yelah buatlah apa yang patut. Saya ikut je mana yang baik.” Kataku mengalah.
***********

Aril baru sampai dari Johor lepas Asar tadi. Sempat aku berbual dengan dia. Sekarang Aril sedang sibuk membantu abah di luar. Diana terbaring di atas katil aku. Khai berada di luar juga sedang beramah mesra dengan orang kampung agaknya. Bau minyak angin tiger balm memenuhi ruang bilik aku. memang mabuk benar kawan aku sorang ni. Aku pula entah kali yang keberapa asyik memandang cermin. Habis kening aku dicantas. Aku rasa buruk benar muka aku selepas diandam. Aku  malu nak tengok muka sendiri.

“Kenapa kau asyik tengok cermin? Dah cantik muka kau tu.” Kata Diana lemah.

“Aku rasa muka aku ni dah macam alien je aku tengok. Kalau nak ikutkan hati aku tak rela muka aku dibuat macam ni. Kau tengok kening aku, bulu roma romantik aku kat muka habis kena buang. Buruknya!!” Kataku separuh menjerit sambil memegang muka. Diana ketawa kecil.

“Esok lagilah kau kena touch-up muka tu, lukis sana, lukis sini... cantik apa.”Kata Diana lagi.

“Aku tak redha betul muka kena buat macam tu. Kalau tak ikut karang salah. Haish!! Malu betul nak keluar rumah hari esok. Tapi takkan nak terperap dalam bilik macam ni.”aku mengomel sendiri. Tapi Diana dengar apa yang aku omelkan.

“Aku mintak dengan kau, untuk hari esok kau korbankan ego kau tu. Hari esok kau kena jadi hipokrit. Kau kena senyum riang gembira. Sebab esok majlis kau.”Pinta Diana.

“Kenapa muka aku ni tak ikhlas ke? Nampak ke?”

“Muka kau okey.. tapi hati kau tak ikhlas. Ini dah jodoh kau elok kau terima seadanya.” Kata Diana lagi.

“Aku tau tapi itu bukan masalahnya. Kau kena faham aku dengan dia ibarat macam bumi dengan langit. Berbeza sangat berbeza. Siapa cakap aku tak suka dia?” Aku terlepas cakap. Alamak kantoilah aku kalau macam ni.

“Oh! Maknanya kau suka dia? Kau boleh terima dia jadi suami kau?” Diana mula menguntum senyum.

“Aku suka dia sebagai kawan je.. mana ada terlintas aku nak kawin dengan dia. Haish! Kau ni suka sangat menyasar.” Nafi aku.

“Eleh nak tipulah tu.. baik kau mengaku je.. kau sukakan dia kan? Kan?”Diana tergelak dapat meneka isi hati aku.

“Syyyy!!! Kalau dah tau diam-diam. Jangan bagitau dengan bakal suami aku. Aku percayakan kau sorang je.”
********